Jatuh Bangun Bintang

27 Mar

SENYAP atau lenyap daripada industri hiburan tidak bermaksud seseorang artis itu hilang buat selama-lamanya.

Mungkin ingin berehat, mencari ilham mahupun mempunyai komitmen lain, ramai artis memilih jalan ini pada zaman ‘kemunduran’ mereka.

Bagi artis berkumpulan pula, kebanyakan daripada mereka berpisah atas pelbagai masalah tetapi yang utama adalah apabila salah seorang daripada mereka menarik diri. Maka, malangnya sesebuah kumpulan itu perlu dibubarkan.

Tidak kira apa penyebab kepada pengunduran mereka daripada industri, minggu ini kita lihat beberapa kisah kejayaan penyanyi yang membuat keputusan untuk kembali ke arena selepas berehat seketika.

Mariah pernah diusir

Mungkin ramai yang berpendapat fenomena Mariah Carey sudah berakhir. Dia yang sering kali dilihat keluar masuk hospital dan sebenarnya penggiat muzik telah ‘mengusir’nya daripada industri hiburan.

Namun, kemunculan album The Emancipation of Mimi (2005) telah mengubah segala-galanya. Album ke-10 Mariah ini yang disertai oleh penerbit seperti The Neptunes, Kanye West serta Jermaine Dupri menjadi album paling laris pada tahun 2005.

“Album ini adalah seperti sebuah album parti. Ia melibatkan proses ‘bersolek’ dan bersiap sedia untuk keluar berparti. Saya mahu membikin album yang memberikan gambaran sebegitu,” kata Mariah, 37 tahun.


MARIAH CAREY hampir-hampir tersingkir daripada industri hiburan.

Meneruskan karier dengan konsert jelajah pada pertengahan tahun 2006, The Adventures of Mimi Tour menjadi konsert jelajah paling berjaya dalam hidupnya. Pada penghujung tahun 2007, Mariah mencipta satu lagi sejarah penting dalam hidupnya apabila dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame.

“Kejayaan The Emancipation of Mimi telah memberi keyakinan untuk meneruskan album studio seterusnya, E=MC². Album ini dijadualkan bakal menemui peminat pada April tahun ini tetapi single, Touch My Body sudah dimainkan di corong radio,” tambahnya.

Gabungan terakhir Spice Girls

Sindrom Spice Girls belum lagi pudar walaupun sudah sembilan tahun tidak beraksi di atas pentas yang sama. Mengumumkan penggabungan semula pada Jun, 2007, tiket konsert mereka di London habis dijual dalam masa 38 saat.

Dan pihak penganjur terpaksa menambahkan 16 konsert di London sahaja kerana dilaporkan hampir sejuta pembeli telah mendaftar untuk membeli tiket di United Kingdom dan hampir lima juta pembeli dari seluruh dunia.


SPICE GIRLS kembali bergabung untuk kali terakhir.

Konsert di Las Vegas, Los Angeles, San Jose, Chicago, Boston dan New York juga ditambah atas permintaan.

Anggotanya, Melanie Chisholm (Mel C), 34, Emma Bunton, 33, Melanie Brown (Mel B), 33, Geri Halliwell, 35, dan Victoria Beckham, 33, telah merealisasikan konsert penggabungan semula itu di 11 negara sekitar Disember 2007 dan Januari 2008, bermula di Vancouver, Kanada di hadapan 15,000 penonton.

“Bayangkan anda telah bercerai dan kemudian kembali bersama bekas suami anda,” luah Geri yang keluar daripada kumpulan ini pada tahun 1998 untuk karier solo.

Single comeback kumpulan ini, Headlines (Friendship Never Ends) mula menemui peminat pada November 2007. Namun, apa yang menyedihkan, Spice Girls telah mengumumkan penghujung konsert jelajah mereka di Toronto pada 26 Februari atas komitmen terhadap keluarga.

Ini bermaksud, konsert di Beijing, Hong Kong, Shanghai, Sydney, Cape Town dan Buenos Aires terpaksa dibatalkan.

“Kami meminta maaf jika kami tidak berpeluang untuk bertemu dengan anda kali ini. Kami semua mempunyai tanggungjawab lain dalam hidup. Namun, siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” kata mereka.

Kylie selepas barah

Kanser payu dara bukan titik noktah kepada karier Kylie Minogue. Selepas menjalani pembedahan pada Mei 2005, Kylie menjalankan konsert Showgirl – Homecoming Tour di Sydney, pada 11 November 2006 sebelum bertemu peminat lain di seluruh Australia.

“Konsert ini berlangsung selepas penangguhan selama 18 bulan. Ini adalah konsert yang sangat beremosi bagi saya,” kata Kylie kepada penonton semasa konsert.

Sungguhpun pergerakan tariannya tidak begitu lancar, namun, persembahannya diterima baik oleh peminat serta pihak media. Selepas menyambut Krismas bersama ahli keluarga, Kylie meneruskan konsert jelajah di Eropah.

“Segala penantian telah berakhir. Album studio ke-10 saya, X akan menemui peminat pada 26 November 2007 selepas empat tahun tidak menerbitkan album,” kata Kylie pada laman web rasminya.

Pada 28 November 2007, Kylie mengumumkan bahawa dia akan mempromosikan album X dengan konsert jelajah Eropah, KYLIEX2008. Kesemua tiket untuk lapan persembahan habis dijual dalam masa 30 minit.Kylie juga muncul pada majlis anugerah tahunan Brit pada Februari 2008 dan memenangi anugerah Artis Wanita Solo Antarabangsa Terbaik.

“Saya berjaya menanganinya (barah). Ini sangat menakjubkan,” tegas Kylie kepada peminatnya.

Hadiah 25 tahun Michael

Buangkan isu pencabulan atau bankrap dan berikan fokus kepada bakat nyanyian Michael Jackson. Dia bukan sebarang penyanyi yang muncul selalu tetapi figura yang berjaya mengubah industri muzik sejak 25 tahun lalu.

Namun, disebabkan pelbagai isu peribadi, Michael, 49, sudah tujuh tahun tidak aktif dalam bidang seni. Dan sempena ulang tahun ke-25 pembabitannya, Michael menerbitkan semula album Thriller dengan judul Thriller 25.

Mengandungi sembilan lagu asal, album ini juga membabitkan penglibatan penyanyi seperti will.i.am, Fergie, Kanye West dan Akon. Turut mengandungi single seperti The Girl Is Mine 2008 dan Wanna Be Startin’ Somethin’ 2008 telah bermain di corong radio.

Thriller 25 berjaya dijual sebanyak 1.5 juta unit di seluruh dunia dengan hanya lima minggu dipasarkan. Di Amerika Syarikat sahaja, album ini terjual sebanyak, 166,000 unit pada minggu pertama,” kata satu sumber.


ALBUM terbaru Michael Jackson meletup.

Selepas pemasaran Thriller 25, Michael dilaporkan akan bekerja untuk album studio terbarunya. Ada yang menyatakan dia akan berganding dengan will.i.am, Teddy Riley, Akon serta Chris Brown. Album Michael sebelum ini, Invincible (2001) bagaimanapun kurang mendapat perhatian ramai.

Nama Take That masih kukuh

Tahun 1990-an adalah era kegemilangan kumpulan Take That yang dianggotai Gary Barlow, Mark Owen, Howard Donald, Jason Orange dan Robbie Williams. Berpisah sekitar tahun 1996 selepas Robbie menarik diri dari kumpulan itu, Take That menyaksikan penggabungan pada tahun 2005 untuk merakamkan dokumentari.

Mereka kemudian bersama-sama menjayakan konsert jelajah, The Ultimate Tour 2006 serta merakamkan album dengan syarikat Polydor Records (kontrak bernilai £3,000,000).

“Selepas sebulan sahaja, album ini, Beautiful World dijual sebanyak 1.5 juta unit di United Kingdom. Album ini merupakan album keempat paling laris sepanjang tahun 2007,” kata satu sumber.


TAKE THAT meneruskan hayat mereka.

Pada tahun 2007, Take That menandatangani kontrak baru dengan Interscope dan memulakan konsert jelajah Eropah dengan 49 persembahan pada 23 Disember 2007.

Take That juga dilaporkan sedang menghasilkan lagu-lagu untuk album baru yang dijadualkan menemui peminat pada penghujung tahun ini. Namun, masih belum ada pengesahan rasmi daripada kumpulan ini.

“Kami ingin berehat seketika dan bermula dari situ. Kami juga berkemungkinan besar tidak akan menjalankan konsert jelajah tahun ini,” kata Gary.

Mungkin disebabkan kepenatan yang dialami semenjak bergabung dua tahun lalu, Take That bagaikan ingin berehat pada tahun 2008.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: