Archive | April, 2008

Pertembungan AF6, AIM15 Tiada Masalah

30 Apr

KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2008: Dua acara besar iaitu konsert Akademi Fantasia 6 (AF6) minggu ke-7 dan Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang akan berlangsung serentak pada masa yang sama, Sabtu ini dikhuatiri akan menjejaskan bilangan penonton kedua-dua program.

AIM15 dan Konsert AF6 yang berlangsung 3 Mei ini akan ke udara secara langsung pada waktu yang sama tetapi saluran yang berbeza, iaitu AIM15 disiarkan di ntv7 manakala konsert AF6 di Astro Ria.

Demi menampilkan impak dan kelainan, pihak Astro turut mengubah haluan lokasi program daripada Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ke pentas gah Istana Budaya (IB). Malah, pada konsert kali ini juga, persembahan pelajar akan diiringi 40 pemuzik Okestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang dipimpin oleh Pengetua AF6 sendiri, Ramli MS.

Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, menjelaskan pendiriannya bahawa pihak Astro turut menyokong program AIM15 dan turut mengatakan pertembungan masa pada Sabtu ini adalah satu cabaran bagi kedua-dua pihak.

“Seperti tahun lepas kedua-dua program ini juga bertembung pada masa yang sama. Pihak kami tidak akan mengubah waktu konsert kerana jadual program ini telah ditetapkan. Saya menyokong program itu (AIM15) kerana ia turut membabitkan bekas pelajar-pelajar AF. Saya percaya kedua-dua program ada peminat masing-masing.

“Saya turut menganggap ia suatu cabaran pada kami. Saya percaya dengan pembabitan muzik orkestra ia menjadikan keistimewaan pada konsert AF6 ke-7 ini. Malah Ramli MS dan pelajar AF6 akan menggalas cabaran ini apabila ia melibatkan perubahan raptai berbanding konsert sebelumnya,” kata Khairul.

Pada konsert minggu lepas, menyaksikan pelajar Mama Rina yang mempersembahkan lagu Ular, tersingkir. Dengan keputusan itu, ia bermakna hanya tinggal 7 pelajar iaitu Stacy, Toi, Nadia, Riz, Stanly, Aliff dan Nubhan akan meneruskan saingan pada Sabtu ini.


Murai

Nubhan (Boboy) 3 Kali Putus Cinta!

30 Apr

KUALA LUMPUR, 2 MEI 2008: Belum pun keluar Akademi Fantasia 6 (AF6), nama Nubhan semakin meniti di bibir gadis-gadis yang meminati wajah comelnya itu.

Bahkan, Nubhan yang pernah gemuk dan berwajah tembam ini telah mencetuskan satu lagi perhatian di mana wajah comel yang dimilikinya itu dikatakan mampu menjadi taruhan terbaik untuknya bergelar artis popular. Benarkah?

Apa yang pasti, Nubhan adalah antara pelajar lelaki AF6 yang mampu mencairkan hati peminat prempuan. Bagaimanapun, sebelum ini murai.com.my ada menerima info di mana Nubhan lebih dikenali dengan panggilan Boboy di kalangan teman rapatnya. Dia juga pernah menjalinkan perasaan cinta dengan gadis senegerinya sebelum menyertai AF6 tetapi kini ianya hanya tinggal memori.

Paling istimewa, krew murai.com.my turut mendapat maklumat eksklusif daripada teman rapat Nubhan yang ingin menyembunyikan identitinya mengenai percintaan jejaka comel itu bersama beberapa gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini.

“Okaylah… secara kesimpulannya, setahu saya, Boboy pernah 3 kali putus cinta. Tetapi nama gadis itu tidak boleh diberitahu. Apapun, Ucu Manja yang dikatakan teman wanita Boboy itu bukan sama sekali kekasihnya. Ucu Manja hanyalah sekadar kawan Boboy semasa menuntut kolej dulu. Sebab itulah, dia banyak menyimpan foto Nubhan di zaman kolej.

“Saya pernah lihat foto awek Boboy. Mukanya cantik dan lagi putih dari Ucu Manja. Boboy pernah minta pendapat saya mengenai percintaannya dengan awek berkenaan. Malah, sebelum putus cinta, Boboy pernah tanya patutkah dia sambung semula percintaannya itu.

“Tapi… saya tak pernah jawab soalannya itu. Saya hanya cakap, it’s up to you….if you think she’s the one… then continue but if not….jangan teruskan. Nasihat saya sebagai kawan rapatnya. Selain itu, Boboy pernah pernah cakap alasan dia tak mahu continue dengan awek itu. Salah satunya because he’s not ready yet,” jelas temannya itu.


Nubhan nak jadi wartawan!

Selain cinta, temannya itu juga sempat menceritakan pengalamannya sepanjang menjalinkan persahabatan bersama Nubhan sebelum dia memasuki AF.

“Ada satu benda yang saya kagum pada Boboy. Dia seorang yang amat bertanggungjawab dan pandai simpan duit. Ini semua sebab saya tengok Boboy kerja keras masa buat sales dulu. Kalau nak tahu, cita-cita asal Boboy kalau tak dapat masuk AF ialah menjadi jurukamera.

“Boboy memang suka ambil gambar. Masa kami bercuti di Genting Highlands dulu , Boboy saja yang gemar merakamkan gambar kami sekumpulan. Boboy tak kisah ambil gambar apa. Kiranya dia ini ala-ala wartawan jugalah,” ujar temannya mengakhiri perbualan.

Istimewa buat semua peminat Nubhan, murai.com.my juga ada mendapat gambar percutian Nubhan bersama kawan-kawan di Genting Highlands dulu. Selain itu, murai.com.my juga mendapat video Nubhan sewaktu dia berkaraoke di majlis kahwin temannya sebelum memasuki AF6.


Murai

Rai Kini Dalam Dilema

30 Apr

MUMBAI – Pelakon jelita Bollywood, Aishwarya Rai kini dalam dilema kerana dia terpaksa membuat keputusan yang sukar dalam dunia perfileman, lapor sebuah akhbar semalam. Bekas ratu cantik itu dilaporkan perlu memilih dua projek pembikinan filem oleh penerbit terkenal India dalam tempoh singkat. Rai perlu memilih untuk berlakon hanya dalam sebuah filem. Dia berada dalam dilema sama ada untuk berlakon dalam filem arahan Maniratnam atau Shankar.

Kedua-dua mereka mempunyai peranan besar dalam kerjaya wanita berkenaan dalam dunia perfileman. Filem Rai bersama Maniratnam akan menyaksikan dia digandingkan bersama suaminya, Abhishek.

Dalam filem arahan Shankar, Robot, Rai bakal bergandingan dengan Rajinikanth. Kedua-dua filem itu kini dalam peringkat prapenerbitan. Menurut akhbar itu, persoalan kini adakah aktres itu akan meminta kedua-dua pengarah itu memastikan jadual penggambaran tidak bertembung supaya dia boleh ebrlakond alam ekdua-dua filem. – Agensi

Kosmo

A Big-Budget Kiddie Project

30 Apr

A plucky but willful Abigail Breslin, a cute array of animal friends who exude human behaviour, Jodie Foster attempting to flex her dusty old comic muscles and the yummy but useless Gerard Butler as a lost-at-sea Dad – all wrapped up in a Swiss Family Robinson package complete with a Home Alone greeting card – make Nim’s Island a perfectly innocuous kiddy adventure that is part well-intentioned fantasy story, part yawn-fest.

This safari tour for tweens is boringly safe and formulaic, save for the occasional laugh-out-loud moment and splendidly lush island/playground. Because of (or sometimes in spite of) the alternating hit-and-miss performance of Breslin (as the mostly delightful Nim) and an over-acting Foster (as the slapstick-campy Alexandra Rover), you wonder if the film’s message mantra about the need to be the hero of one’s own life story, successfully filters through to a mildly-engaged audience.

While the film will most certainly tickle the funny bones of those below nine and might even appeal to some pre-teens, this big budget kiddie project strangely lacks the whimsical charm it shows only glimpses of throughout the film, and never quite rises to its potential of being enchanting.

Sadly, the only one mystifying component you come away with is wonderment of how a remote island – which is almost impossible to find in the South Pacific – can have such constant high-speed Internet connection that lasts through tornados and other natural disasters. –

Channel News Asia

Anak Faizal Ismail Meninggal

30 Apr

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

SEKALIPUN berat hati melepaskan pemergiannya, tetapi itulah hakikat yang harus dilalui penyampai radio Hot fm, Faizal Ismail, 32, dan isteri, Nor Azlina Ahmad Din, 32, apabila bayi lelakinya, Adam Haikal Iman meninggal dunia akibat kegagalan jantung, jam 5.30 pagi semalam.

Kegembiraan menyambut kelahiran anak kedua selepas lima tahun menanti, nyata hanya sementara apabila bayi berusia 12 hari itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh, Rawang pada jam 12.30 tengah hari.

Faizal berkata, selepas dilahirkan pada 17 April lalu di Hospital Sungai Buloh, Adam Haikal seperti bayi normal lain yang hanya dikesan menghidap penyakit kuning.

“Selepas enam hari ditahan di Hospital Sungai Buloh bersama ibunya yang disahkan menghidap darah tinggi, arwah kemudian dibawa pulang ke rumah. Namun beberapa hari selepas itu arwah dikesan menghidap penyakit kuning lagi.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Putra Sungai Buloh. Hari kedua di hospital itu, sakit kuningnya dikesan agak tinggi. Justeru, kami diminta merujuknya ke Pakar Kanak-Kanak dan Jantung, Hospital Tawakal.

“Ketika mendapatkan rawatan di hospital itu, tahap kuningnya sudah menurun, tetapi doktor memaklumkan jantungnya menghadapi masalah degupan tidak normal.

“Kata doktor, masalah anak saya rumit kerana ada bahagian injap jantungnya tidak lengkap,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya.

Penyampai Radio Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) ini berkata, walaupun dimaklumkan doktor mengenai masalah anaknya itu, dia dan isteri tetap menaruh harapan anaknya selamat dan sihat semula.

“Bagaimanapun awal pagi tadi (semalam) doktor menghubungi saya memberitahu keadaan bayi kami kritikal. Selang 10 minit kemudian, saya dimaklumkan Adam Haikal sudah meninggal dunia.

“Memang saya amat sedih mengenangkannya. Ditambah pula di saat dia hendak ‘pergi’, saya dan isteri tidak bersamanya kerana berada di rumah.

“Apapun, semuanya ketentuan Tuhan dan saya sekeluarga akur serta reda dengan takdir Ilahi,” katanya.

Katanya, kehadiran Adam Haikal cukup dinantikan mereka sekeluarga, malah anak sulung, Nur Khairina Iman, 6, sudah memilih namanya.

“Isteri saya sudah tentu orang paling sedih dengan pemergiannya maklumlah selama sembilan bulan bayi itu dalam kandungannya. Malah, sepanjang hamil, isteri saya juga mengalami alahan teruk hingga sering dimasukkan ke hospital.

“Anak saya dilahirkan secara pembedahan dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan dan beratnya pula hanya 2.17 kilogram,” katanya.

Powered by Harian Metro

Peminat Cemburui Dayang

30 Apr

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

MENJADIKAN Anuar Zain antara idolanya, Marcel atau Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan menilai kejayaan persembahan Minggu Setiausaha yang dijayakan tidak hanya bergantung kepada dirinya seorang.

Malah kemunculan bersama Dayang Nurfaizah dan Imran Ajmain dari Singapura serta pelawak Dee selaku pengacara menjadikan kombinasi mereka bertambah mantap dan berbaloi untuk ‘santapan’ tetamu.

Marcel turut menyampaikan lagu Pertama Kali, Selama Bumi Berputar, Jangan Pernah Berubah, Jelita, Denganmu, Jiwa Yang Hilang, Ohh… Child dan medley Aku Rindu, Ketika Kau Menyapa, Kau Bisa Aku Bisa, Firasat, Semusim dan Mendendam.

Dayang pula yang muncul sebelum Marcell sememangnya tidak menghampakan peminat dengan rangkaian lagu seperti Survival, medley lagu Hindi, Bole Chudiyan, Chaiyya Chayyia dan Kuch Kuch Hota Hai dan lagu hitnya sendiri, Cerita Cinta Dayang.

Menariknya, Dayang kemudian bergandingan bersama Marcell menerusi lagu Separate Love. Ternyata, paduan suara antara mereka membuatkan persembahan itu romantis hingga kelihatan peminat wanita cemburu melihat Marcell memeluk mesra Dayang sebaik persembahan berakhir.

Tidak hanya memfokus di pentas saja, Dayang juga mengambil kesempatan mendekati peminatnya dengan bertanya khabar dan memberi peluang kepada peminat untuk menyanyikan lagunya yang diminati.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan ini apatah lagi dapat menonton Marcell dan berduet bersamanya. Tiga artis bergabung dalam satu persembahan adalah acara yang cukup menarik dan saya sendiri mengharapkan matlamat acara ini tercapai.

“Bagi saya, acara bermatlamatkan amal ini harus diteruskan dan walaupun tidak dapat menghulurkan sumbangan yang banyak dalam membantu golongan tidak bernasib baik tetapi menerusi acara sebegini, ia menjadi peluang terbaik bagi saya untuk tampil membantu,” katanya.

Bagi Imran yang tampil dengan lagu popularnya, Seribu Tahun turut menganggap peluang mereka bertemu dalam persembahan kali ini umpama kombinasi yang tepat.

“Saya tentunya gembira apabila terbabit dalam persembahan ini dan ia peluang bagi saya untuk mempromosikan diri dan terus meraih perhatian peminat di negara ini,” katanya.

Selain pertaruhan tiga penyanyi itu, persembahan turut dimeriahkan dengan penampilan Dee yang seksi dengan kebaya biru dan usikan manjanya bersama tetamu menjadikan persembahan bertambah gamat dengan gelak tawa. Variasi persembahan juga tertumpu pada persembahan Imran yang tampil dengan lagu Seribu Tahun dan ketiga-tiga penyanyi ini berduet menyanyikan lagu penutup Keep On Smiling.

Powered by Harian Metro

Bual Fesyen: Peranan Jurusolek Dipandang Sepi

30 Apr

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kerja di belakang tabir tidak diberi tumpuan meskipun fesyen dan solekan saling berkait rapat

PERANANNYA tidak dirasai sungguhpun sentuhan tangannya kunci kehebatan dunia kecantikan dan peragaan. Dior, Shu Uemura dan Chanel antara nama besar peringkat antarabangsa yang mampu menggandingkan gaya dan solekan dalam satu, hingga menjadi ikutan seantero dunia.

Gaya smoky eyes yang mula diperkenalkan Dior menerusi sentuhan jurusolek sehingga ke hari ini berjaya menjadi ikutan di pentas peragaan, hinggalah ke jalanan. Daripada model terkenal hingga gadis biasa, di situlah peranan jurusolek dalam menentukan arah tuju serta gaya terkini dunia persolekan yang realitinya sentiasa ligat berputar.

Di Malaysia, nama model terkenal dan selebriti ternama, hampir semua pernah mendapat sentuhan jurusolek dan penggaya rambut, Razlan Bahari. Cuma berbeza namanya tidaklah sebesar mana. Siapa ambil peduli kerana yang paling mustahak, insan yang menerima sentuhannya mesti cantik dan molek dipanah lensa kamera. Begitulah hukumnya kerja belakang tabir.

Memulakan kerjaya pada usia 19 tahun, Razlan sedar di Malaysia peranan jurusolek tidak begitu dirasai sungguhpun pada peringkat antarabangsa, kelompok itu menjadi cukup penting dalam menentukan arah serta hala tuju, bentuk dan gaya solekan yang pasti bertukar setiap musim.

Jurusolek peringkat antarabangsa pula mampu menzahirkan karya dan kreativiti apabila bentuk solekan diadaptasikan ke gaya pakaian dalam menjayakan pertunjukan fesyen yang rancak diadakan di Paris, Milan atau New York. Karya mereka selalunya ditunggu-tunggu dan menjadi rebutan majalah fesyen untuk dimuatkan dalam terbitan masing-masing.

Citra berpeluang menemubual jurusolek artis dan penggaya rambut yang kini semakin dikenali namanya, malah tidak keterlaluan dikatakan sentuhannya menjadi rebutan. Solekan selebriti penghias kulit depan majalah dan pentas peragaan, sering memberi impak besar.

Citra : Bagaimana Razlan mula meminati bidang solekan?

Jawapan: Ketika di bangku sekolah dulu, sayalah budak kelas sains tetapi amat meminati fesyen. Ketika bersekolah dulu saya gemar menatap majalah antarabangsa seperti Vogue dan Glamour. Gambar kulit depan yang popular ketika itu Brooke Shileds, Iman dan saya selalu terfikir, bagaimanakah kerja mereka belakang tabir hingga boleh menghasilkan gambar kulit muka depan yang cukup mengagumkan. Kadangkala wanita berkenaan kelihatan cukup cantik. Minat saya itu menjadikan saya sudah dapat mengagak dunia glamor itu bakal menjadi milik saya. Lepas sekolah saya bekerja di salon selebriti Noor Kumalasari (kini sudah tutup) di Petaling Jaya. Bermula sebagai pembancuh air, saya akhirnya dibenarkan ‘memotong’ rambut dan menyolek. Saya belajar daripada pengalaman, sambil mengambil inspirasi gaya solekan Barat ketika itu. Kini sebagai jurusolek bebas, saya bebas menyolek di mana-mana, tetapi lebih gemarkan peragaan dan majalah.

Citra : Sejauh manakah peranan jurusolek dalam dunia fesyen dan kecantikan?

Jawapan : Peranan yang dimainkan jurusolek, sangat besar. Bayangkan kalau semua model tidak memakai sebarang solekan, tidakkah ia cukup membosankan? Hakikatnya solekan tidak sekadar menampal rona menarik pada wajah model, tetapi ia tampil bersama tema tertentu yang mempengaruhi dunia fesyen dan gaya solekan untuk sesuatu musim serentak. Kalau di Barat pereka seperti Alexender McQueen akan berbincang dengan penata gaya untuk menentukan gaya yang bakal dihasil.

Jenama tersohor seperti Christian Dior umpamanya melancarkan fesyen dan solekan sekali gus yang baru-baru ini mengambil ilham tahun 30-an dan 40-an, tetapi diperkaya dengan labuci dan kilatan. Malah ilham berkenaan diangkat menerusi koleksi alat soleknya.

Di sini pula, saya pernah terbabit dalam penggambaran kulit majalah Ziana Zain untuk memperkenalkan gaya solekan Chanel yang mengambil ilham gaya Shanghai pada 1950-an lalu. Kami berbincang terlebih dulu mengenai gaya solekan dan pakaian yang hendak digayakan, maka lahirkan kulit majalah yang cantik sebegitu, dan sampai maksud untuk mempromosi pakaian diserikan solekan yang bertepatan.

Citra : Bagaimanakah bentuk kolaborasi solekan dalam menjayakan sesebuah pertunjukan fesyen?

Jawapan : Gaya solekan menyampaikan maksud ilham rekaan seseorang pereka. Masih menggunakan contoh Dior, kolaborasi ini jelas sekali di dalam koleksi Ultra Shine, teknologi makmal bekerjasama dengan kumpulan pakar Dior menghasilkan solekan berkenaan dan diaplikasikan dalam pertunjukan fesyennya. Pada peringkat antarabangsa pertunjukan fesyen oleh jenama besar selalunya amat ditunggu-tunggu malah berebut-rebut pembeli fesyen, orang dalam industri fesyen dan sebagainya ingin mengetahui mengenai apa buah tangan terbaru daripada jenama berpengaruh ini. Selalunya solekan dipertunjukkan pentas itu digayakan lebih keterlaluan dan mempunyai konsep tertentu, yang disesuaikan dengan gaya fesyen. Kalau ia memilih gaya anggun, gaya solekan sedikit lembut, manakala kalau fesyen berkenaan funky, maka solekan umpamanya menjerit. Sebagai contoh sekiranya nama besar seperti Chanel itu menggunakan rona berkilat untuk solekan, dan fesyen, maka seantero dunia menggunakan rona yang sama.

Citra : Benarkah jurusolek yang menggunakan jenama solekan seperti Shu Uemura boleh terkenal lebih cepat berbanding jurusolek bebas?

Jawapan : Saya memulakan kerjaya sebagai jurusolek bebas sejak berbelas tahun yang lalu, dan pada saya jawapan kepada soalan itu betul dan ada tidaknya. Betul kerana jurusolek berkenaan menggunakan jenama ‘jurusolek Shu Uemura’ atau ‘jurusolek L’Oreal’ dan sebagainya menjadikan mereka cepat terkenal. Tetapi tidak juga kerana sekiranya kita terikat, maka kreativiti jurusolek berkenaan mungkin terhad, dengan menggunakan alat solek daripada jenama tertentu. Saya tidak gemar terikat kerana ia hanya akan mengehadkan kreativiti saya. Saya senang begini, membawa segala jenis jenama kerana saya bereksperimen dengan ronanya. Saya tidak suka terikat kerana kadangkala segelintir jenama punyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Jurusolek Laura Mercier antara yang bertuah kerana hasilkan produk sendiri, dan gaya solekan selalu menjadi rujukan. Bagi saya menjadi sepertinya? Mungkin tidak akan berlaku, malah jurusolek lain pun di Malaysia mungkin tidak akan jadi seperti Laura kerana industri kita terlalu kecil.

Citra : Bagaimanakah daripada segi pendapatan? Adakah nasibnya sama dengan model tempatan, yang tidak boleh dibanggakan?

Jawapan : Kalau dibandingkan dengan peringkat antarabangsa, perkembangan solekan negara ini jauh 20 hingga 30 tahun ke belakang. Daripada segi pendapatan, ia bergantung kepada kesungguhan jurusolek. Kalau rajin maka pendapatan anda juga hebat. Saya juga buat pelbagai kerja, daripada solekan pengantin, selebriti hingga kulit majalah, semuanya saya boleh lakukan, tetapi kalau solekan pengantin memang saya sengaja tidak buat banyak kerana saya tidak mahu dikaitkan sebagai pak andam. Kecenderungan saya lebih cenderung kepada dunia peragaan dan glamor. Hari ini saya merasakan peranan jurusolek semakin dihargai, dengan kewujudan majalah fesyen seperti Glam, saya dapat merasakan kepuasan. Ini kerana kalau sebelum ini dan mungkin dalam majalah wanita yang lain, jurusolek hanya akan dipanggil selepas gaya yang dipaparkan untuk muka depan diputuskan oleh jawatankuasa majalah, tetapi di majalah ini, jurusolek, penata gaya, penulis malah jurugambar akan duduk semeja, berbincang bagaimana dan apa yang perlu dipaparkan untuk majalah keluaran terbaru. Kepuasan dalam bekerja ada di situ.

Sungguhpun begitu masa depan insan seni seperti saya masih samar. Saya juga agak kecewa kerana tidak ada badan yang memberi sokongan menjadikan ramai yang tidak nampak kepentingannya. Ini berlainan sekali dengan Indonesia yang mana mereka ada produk sendiri seperti Mustika Ratu dan Sari Ayu, tetapi dalam majlis yang gah, mereka selalu dipanggil menjadi entiti rasmi.

Citra : Siapakah antara model atau selebriti yang paling anda gemari untuk dirias?

Jawapan : Nasha Aziz, Tengku Azura dan Datuk Siti Nurhaliza kerana mereka mempunyai gaya tersendiri. Nasha Aziz mampu ‘membawakan’ setiap solekan yang mana ia satu kemahiran yang bukan mudah untuk dilakukannya. Kadangkala ada orang yang kita solek garang dan mahukan ‘rupa’ garang juga, tetapi ada yang tidak mampu menggayakannya, tetapi berilah apa pun kepada Nasha kerana beliau mampu membawakan apa saja. Saya juga senang bekerjasama dengan Tengku Azura kerana bentuk wajah yang tajam selain gelaran supermodel menjadikan bonus untuk dirinya bergaya hebat. Sementara Datuk Siti pula, daripada rupa gadis biasa sederhana, solekan boleh membuatkan dirinya kelihatan cukup jelita. Ini adalah satu kelebihan kerana ada wanita yang sungguhpun cantik, tetapi bila disolek kelihatan biasa, nasib tidak baik jadi tidak cantik pula.

Citra : Siapakah pula individu yang anda teringin benar untuk merias wajahnya?

Jawapan : Kalau tempatan, saya impi sangat untuk menyolekkan Raja Permaisuri Agong dan kalau pada peringkat antarabangsa, saya teringin menyolekkan Madonna. Mungkin kerana minat dan memuja maka kedua-dua ini menjadi cita-cita saya untuk menyolekkan mereka.

Citra : Apakah istilah solekan yang baik?

Jawapan : Orang selalu berkata, kerja menyolek itu tampak mudah dan siapa saja boleh melakukannya. Memang betul, tetapi seorang jurusolek, berfikir bagaimana menjadikan solekan itu memikat, tampak cantik dan diterima ramai. Bagi orang biasa, rutin seharian adalah biasa seperti mata, pipi dan bibir. Untuk jurusolek mungkin musim ini mengetengahkan gaya bulu mata palsu yang keterlaluan, tetapi bibir hanya dibias pengilat bibir. Pada pandangan saya seorang jurusolek perlu menghasilkan solekan yang cantik. Saya pernah membawakan solekan muka depan majalah fesyen tempatan Glam oleh pelakon Ida Nerina. Kalau tengok dari jauh memang menakutkan, tetapi ia sesuatu yang cantik dan tidak jemu di pandang.

Saya sebenarnya sukakan gaya solekan 1980-an dulu yang mana lebih kepada pop art. Ketika itu artis seperti Noor Kumalasari, Sudirman gemar tampil dengan gaya dan solekan yang dramatik dan ‘over’. Pada saya ia sangat menarik kerana mereka berani dengan gaya begitu. Begitupun dikalangan selebriti Indonesia, mereka gemarkan solekan tebal yang tahan berhari-hari, malah segelintir artis membuang semua bulu mata dan kening supaya mudah mengenakan yang palsu. Mereka lebih ekstrim. Tetapi saya tidak suka begitu, saya gemar kekalkan yang asli dan saya lihat orang sekarang pun gemarkan kesederhanaan, dan kita cuba ikut cara begini.

Powered by Berita Harian

Mahu Lupa Showbiz!

30 Apr

Oleh Zaidi Mohamad


Waheeda

Waheeda nafi gosip cinta, perkahwinan dengan Akhil Haya punca pengunduran

BINTANG jelita bertudung, penyanyi dan pelakon Waheeda akhirnya mendedahkan bahawa dia sudah bersedia meninggalkan dunia hiburan yang pernah mengangkat namanya sebagai seorang artis popular. Bagaimanapun, Waheeda menafikan hasratnya itu ada kaitan dengan gosip cinta dan perkahwinannya dengan Akhil Hayy, seorang penyanyi dan pendakwah yang lebih senang bergelar ustaz.

Mengakui sedikit tertekan dengan apa yang diperkatakan, Waheeda reda menghadapi kontroversi yang dianggapnya sebagai satu ujian Yang Maha Esa. Malah, cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapinya sepanjang bergelar artis lebih membuatkan dirinya dekat dengan Tuhan.

“Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan dan tiada mengena langsung dengan apa yang saya hadapi. Saya akan berhenti terus daripada segala-gala yang berkaitan dunia seni. Saya rasa sudah tiba masanya saya mengundur diri seiring dengan usia yang semakin meningkat. Hal ini sudah lama saya fikir dan rancang, namun sebelum ini ada saja kekangan yang menghalang. Sekarang saya nekad untuk ‘berhenti’ dalam masa yang terdekat, paling lewat pada tahun ini juga.

“Saya tidak menyesal dengan keputusan ini. Semuanya dilakukan kerana Allah Taala. Apa-apapun saya masih ada tanggungjawab yang perlu dibereskan seperti menyudahkan baki penggambaran sitkom Anak Mami dan pembikinan album terbaru yang bersifat eksperimental, hanya memuatkan lima hingga enam lagu saja. Mungkin juga selepas ini saya akan lebih terarah untuk mendidik, barangkali menjadi cikgu tadika.

“Saya memang tak nafikan ada mendengar gosip yang mengaitkan saya dengan Ustaz Akhil Hayy termasuklah dikatakan sudah berkahwin dan tinggal bersamanya. Semuanya karut dan saya menafikannya. Saya masih berkawan baik dengannya dan dia juga baik dengan kawan-kawan saya. Ada kesempatan kami ada juga berjumpa,” tegasnya ketika ditemui selepas sidang media sitkom Anak Mami di Sri Pentas, baru-baru ini.


Akhil Hayy

Ditebak mungkinkah keputusan menoktahkan kerjaya seninya sebagai alasan dan persediaan untuk menamatkan zaman solo, Waheeda menafikannya. Sebaliknya apa yang ingin dilakukan terbit dari dalam hatinya yang tulus. Dugaan yang melanda dirinya membuatkan penyanyi yang dikenali dengan lagu Wassini ini lebih tegar menghadapi liku-liku kehidupan.

“Soal bila mahu kahwin memang sering diajukan kepada saya. Saya pun tiada jawapan yang pasti. Jujur saya akui apabila saya lebih dekat dengan Allah, soal kahwin langsung tidak terlintas di fikiran. Janji tanggungjawab saya sebagai anak, wanita dan hamba-Nya tidak diketepikan.

“Saya mengambil keputusan menoktahkan kerjaya seni ini bukan kerana mahu berkahwin, sebaliknya saya lakukannya untuk diri sendiri. Saya ingin berhenti bukan kerana orang lain. Apa yang telah berlaku membuatkan saya lebih dekat kepada-Nya, semuanya telah ditentukan-Nya. Ia mengajar saya untuk lebih bersabar dan menjadi lebih tabah, saya lebih tahu siapa diri saya yang sebenarnya,” ungkap Waheeda yang mengagumi dan menjadikan wali Allah, Rabiatul Adawiyah dan Noorkumalasari sebagai idolanya.

Waheeda

Nama: Norwahidah Abdul Wahab

Tarikh Lahir: 23 September 1978

Tempat Lahir: Johor Bahru

Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan model komersial

Album: Wassini, Binafsha, dan Melodi Ahlan

Filem: Jutawan Fakir, Tujuh Perhentian, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan I Know What You Did Last Raya.

Anugerah: Pemenang ke-3 Voice of Asia 2004; Anugerah Planet Music bagi Lagu Popular, Artis Baru Popular & Artis Wanita Popular 2004; Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi Artis Baru; Anugerah Juara Lagu 2003 bagi kategori Etnik Kreatif.

Powered by Berita Harian

Lukisan Tak Basah Dek Air…

30 Apr

OlehAzahar Mohd

DUA badan di seberang Tambak – Coral Malaysia dan Balai Seni Lukis Negara – bersama Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) mencatatkan sejarah apabila mereka menyiapkan lukisan terpanjang di dasar laut menjangkau 56.4 meter, Sabtu lalu.

Kerja-kerja melukis atas kanvas di dasar laut sedalam 12 meter berhampiran Pantai Air Batang, dekat Tioman, itu sekali gus menempatkan nama mereka dalam Buku Rekod Malaysia.

Lukisan mengenai alam semula jadi itu disiapkan dalam tiga selaman oleh 44 artis dan penyelam dari Malaysia serta Singapura.

Antara artis Malaysia yang terlibat adalah pelukis bawah air pertama Malaysia Ajis Mohamad, penyanyi terkenal yang juga duta Coral Malaysia Fauziah Latiff, Fauzan Omar dan Young Jefri.

Daripada sekitar 14 pelukis dari Singapura, lima merupakan anggota Apad manakala bakinya merupakan karyawan lain seperti dalam bidang rekaan dan pemasaran.

Pelukis dari Singapura itu termasuklah Suhaimi Sukiyar, Rosman Shahid, Victor Goh dan Dominique Chin.

Program itu diadakan sempena Hari Bumi Sedunia yang disambut pada 22 April di samping mempertingkatkan kesedaran umum terhadap pentingnya memulihara ekosistem marin.

Ketika dihubungi semalam, Encik Suhaimi, yang juga Presiden Apad dan juga penyelaras usaha melukis di dasar laut itu, berkata pihaknya berbangga kerana lukisan mereka telah diiktiraf Buku Rekod Malaysia yang kemudian telah menyerahkannya kepada Buku Rekod Guinness untuk dicatatkan.

‘Usaha menyelam itu sendiri mempunyai cabarannya yang tersendiri. Selain faktor cuaca, para penyelam juga berdepan dengan ombak yang kuat.

‘Namun alhamdulillah, cuaca agak baik dan kami dapat menyelesaikan lukisan itu dalam sehari,’ ujar Encik Suhaimi, 35 tahun, yang juga pensyarah sambilan di Maktab Seni La Salle.

Menurut Encik Suhaimi, antara persiapan yang dijalankan termasuk mengadakan bengkel lukisan dan juga latihan menyelam.

Lukisan di dasar laut itu akan didokumentasi dan dipamerkan di galeri Balai Seni Lukis Negara di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Powered by Cyberita

Mr. Mama – Rashidi OK, Jasmine Tolak

30 Apr

METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my


PENERBIT Mr. Mama, Shahrul Ezad Mohamedin (tiga dari kanan) bersama barisan pelakon Mr. Mama pada majlis pelancaran drama itu di The Curve, Damansara, baru-baru ini.

FENOMENA Mr. Mama atau lelaki meninggalkan kerjaya dan menjadi suri rumah manakala isteri keluar bekerja menyara keluarga sememangnya sudah lama diperkatakan.

Bayangkan, seorang lelaki memainkan peranan sebagai suri rumah dan membuat kerja-kerja seperti mencuci baju, memasak, menyediakan sarapan dan minum petang serta mengasuh anak.

Mungkin ada pihak yang memandang sinis akan perkara ini dan beranggapan ia bagaikan ‘menongkah hukum alam’.

Tidak kurang, ada yang melihat ia sebagai menjatuhkan maruah seorang lelaki yang seharusnya memegang ‘watak’ utama dalam mencari rezeki untuk keluarga.

Namun, bagi yang sudah pun bergelar Mr. Mama, pastinya mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat sedemikian.

Apa yang penting bagi mereka adalah asalkan wujud persefahaman antara sang suami dan isteri, segalanya tidak menjadi permasalahan.

Justeru, tidak kira sama ada pandangan positif mahupun negatif, ia sememangnya menarik untuk dibincangkan secara bersama.

Untuk itu, bagi menterjemah apakah sebenarnya pengertian fenomena tersebut, sebuah syarikat penerbitan, Radius One Sdn. Bhd. bertindak menghasilkan sebuah drama bersiri berjudul Mr. Mama.

Diarahkan oleh Rozi Izma, drama sebanyak 13 episod itu disiarkan di TV3 pada pukul 10 malam iaitu setiap Selasa bermula 29 April lalu.

Ia diterajui Rashidi Ishak yang memegang watak sebagai Fikri, Jasmine Ashraff (Suria) serta pelakon-pelakon cilik yang melakonkan watak sebagai anak-anak mereka iaitu Syainie Aida (Aliya), Muhammad Syahmi (Alif) dan Syahrul Emeer (Afif).

Drama ini mengisahkan kehidupan Fikri dan Suria yang sibuk mengendalikan projek besar syarikat masing-masing. Fikri yang merupakan seorang peguam, baru mendapat satu kes besar di syarikat guamannya dan jika berjaya, dia dijanjikan oleh ketuanya, Tuan Bakri untuk mendapat sebahagian daripada saham syarikat.

Suria yang bekerja sebagai arkitek pula sedang sibuk menyiapkan rekaan untuk binaan sebuah hotel lima bintang.

Pelbagai masalah melanda yang kemudiannya membuatkan Fikri sanggup melepaskan kerjayanya demi memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak.

Dalam pada itu, bagi mendapatkan pandangan mengenai fenomena Mr. Mama, Hits turut berkesempatan menemubual dua pelakon utama drama terbabit iaitu Rashidi dan Jasmine.

Rashidi nyata menyokong golongan lelaki yang bergelar Mr. Mama namun di pihak Jasmine, dia tetap mahukan bakal suaminya nanti bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab menyara keluarga.

Rashidi – tidak menjatuhkan taraf lelaki

Mengahwini pelakon popular, Vanidah Imran, lapan tahun lalu, Rashidi sememangnya memahami kesibukan isteri kesayangannya itu.

Ketiadaan Vanidah di rumah kerana sibuk di lokasi pengambaran, membuatkan Rashidi adakalanya terpaksa berkorban dalam menjaga anak-anak.

Lantaran apa yang dilaluinya selama ini, ia membuatkan Rashidi amat memahami situasi lelaki bergelar Mr. Mama.

“Tidak ada masalah jika seseorang lelaki itu mahu menjadi suri rumah asalkan kedua-dua pihak iaitu antara suami dan isteri faham situasi sebenar mereka.

“Bagi saya, Mr. Mama tidak menjatuhkan maruah lelaki. Keputusan terhadap apa yang berlegar dalam rumahtangga masih di tangan suami,” katanya.

Ujar Rashidi, masyarakat berhak untuk menyatakan pandangan masing-masing namun mereka sepatutnya memahami apakah sebenarnya yang berlaku sehingga memaksa seseorang lelaki bertindak menjadi Mr. Mama.

“Mungkin mereka dibuang kerja dan zaman sekarang ini pula susah hendak mencari kerja. Oleh yang demikian, jika ada persefahaman, tidak ada salahnya suami menjadi suri rumah,” jelas Rashidi.

Jasmine tolak Mr. Mama

Sementara itu, pelakon tinggi lampai berusia 28 tahun ini yang sudah pun mempunyai teman istimewa, mahukan bakal suaminya nanti mampu membantu dalam melakukan kerja rumah namun bukannya seorang lelaki bergelar Mr. Mama.

“Dia juga perlulah penyayang. Watak Rashidi dalam drama Mr. Mama adalah lelaki idaman saya tetapi bagi saya, dia perlulah bekerja dan saling bantu-membantu dalam menyara keluarga,” kata wanita berdarah kacukan Pakistan dan Afghanistan ini.

Ujar Jasmine, dia berharap teman istimewanya itu akan menonton drama Mr. Mama untuk menghayati watak penyayang yang ditonjolkan oleh Rashidi menerusi drama itu.

Ditanya mengenai karakternya sama ada menyamai apa yang dilakonkan dalam drama Mr. Mama iaitu garang, Jasmine bertindak menafikannya.

“Saya tidaklah garang. Memanglah dalam lakonan nampak sebegitu. Saya juga sukakan kanak-kanak,” jelasnya yang bekerja sebagai Penyunting Penapisan Filem di sebuah stesen televisyen.

Powered by Utusan Malaysia