Yuzwan Wahid (1956-2008): Lebih Berjaya Dalam Bisnes

4 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

SEHARI selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, kelmarin warga seni dikejutkan pula dengan berita kematian penerbit dan pengarah cukup aktif sekitar 90-an, Datuk Meswan Dol, 51 atau lebih dikenali dengan nama Yuzwan Wahid di kalangan orang filem.

Meswan disahkan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang yang dideritai sejak tiga tahun lalu.

Menurut anaknya Mohd Hatta, 22 bapanya disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di hospital itu sepanjang tiga minggu lalu.

Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim, anak, Zariyatul Akma, 23; Mohd Helmi, 19 dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir.

Sebelum bergelar penerbit dan pengarah, Meswan terlebih dulu menjadi pelakon dan pernah membintangi beberapa drama sekitar 80-an.

Pada 1993, di bawah produksi sendiri Daya Pentas Sdn Bhd (DPSB), Meswan menerbitkan dan mengarah filem pertama, Antara Gadis menampilkan pelakon popular waktu itu, Mas Anizan dan Zarina Zainuddin.

Walaupun filem sulung terbitan produksinya gagal di pawagam ia langsung tidak mematahkan semangat Meswan untuk menerbitkan filem kedua Sama Tak Serupa (STS) pada 1995.

Filem yang skripnya turut ditulis sendiri Meswan, menampilkan lebih ramai pelakon popular seperti Aznil Nawawi, Anne Ngasri, kumpulan Nico, Sasha, Jasmin Hamid dan Razzi Rahman. Selain itu DPSB pernah menghasilkan drama antaranya Geregai dan Kemelut.

Beberapa artis yang pernah bekerja dengan Meswan turut terkejut apabila terbaca berita disiarkan Harian Metro dan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

Pelakon, Zarina Zainuddin berkata selepas Allahyarham meninggalkan dunia perfileman mereka tidak lagi berhubung. Begitupun, katanya dia sering mengikuti perkembangan Meswan dalam dunia perniagaan dan politik.

“Sewaktu menjayakan filem Antara Gadis, selain menjadi pengarah dia turut berlakon. Setiap kali berbual, Allahyarham selalu bercerita mahu berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Waktu itu sebagai rakan, saya mahupun Mas Anizan selalu mengusik dengan mengatakan dia berangan besar, tetapi tidak sangka selepas itu apa yang dikatakan dikotakan. Perniagaannya benar-benar berkembang dan kerana sibuk dia terpaksa melupakan dunia perfileman.

“Namun, untuk berjaya dalam dunia hiburan terutama filem, sebenarnya dia tidak boleh senyap kerana orang akan lupa. Begitupun saya berasakan kecenderungan Allahyarham lebih kepada dunia perniagaan dan politik berbanding seni,” katanya.

Aznil Nawawi membintangi filem arahan Meswan, STS pula berkata sebagai penerbit, Allahyarham seorang yang sangat pemurah.

“Walaupun filem STS waktu itu tidak mendapat sambutan dan DPSB mengalami kerugian tetapi saya tetap mendapat bayaran penuh mengikut seperti apa yang dijanjikan.

“Satu lagi sikap Allahyarham yang saya cukup ingat adalah, dia suka menggembirakan hati orang. Mengambil contoh dia selalu membawa piza di lokasi semata-mata mahu melayan kerenah rakan pelakon lain, sedangkan waktu sama makanan sudah disediakan.

“Pada hari raya, pelakon filem STS turut menerima bonus. Padahal waktu itu filem belum lagi ditayangkan. Sebagai penerbit dia juga seorang yang peramah.

“Sekarang walaupun sudah bergelar Datuk dan tidak lagi aktif sebagai penerbit tetapi kalau bertemu di mana-mana, dia akan datang dan menegur saya dulu,” katanya.

Powered by Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: