Kejam, Ganas Dan Duit

13 Apr

PEJAMKAN mata dan bayangkan seorang manusia ditembak di lehernya dari jarak dekat, kemudian darah merah pekat berbuih membuak-buak keluar. Dia masih belum mati dan bunyinya seperti lembu yang baru disembelih, menggelupur kemudian diam. Kekejaman sebenarnya memang sudah lama menjadi elemen “hiburan” dalam sesebuah filem. Semakin kejam, semakin menghiburkan. Tetapi selain mengumpan penonton, adegan kekejaman dalam filem juga menyumbang kepada pembangunan cerita dan perwatakan.

Stigma terhadap kekejaman dalam filem menjadi begitu subjektif. Tingkat pengertian dalam konteks filem hanya terletak kepada keperluan dan bukan elemen “hiburan” untuk melariskan filem. Perihal nyawa manusia menjadi sedemikian murah juga adalah salah satu cerita manusia di semua ceruk di alam ini. Tetapi jika ada yang belum bersedia mendepani darah yang membuak-buak, filem No Country for Old Men bukanlah pilihan terbaik.

Tetapi filem ini dinanti-nantikan, bukan kerana di dunia ini banyak manusia kejam. No Country for Old Men ditunggu kerana pembikinnya, yang menghamparkan satu stail dan subjek yang konsisten dengan karya sebelum ini. Maka banyak yang mahu membandingkan filem ini dengan yang sebelum ini.

No Country for Old Men diperkatakan bukanlah semata-mata kerana dipilih sebagai Filem Terbaik Anugerah Academy tahun ini. Sekiranya tewas di Anugerah Academy sekalipun, No Country for Old Men tetap akan menarik perhatian khususnya pengkritik dan pengkaji filem kerana ia dihasilkan oleh dua beradik, Ethan Coen dan Joel Coen. Filem adik-beradik Coen sebelum ini, Fargo menjadi satu penanda aras kepada pengkritik untuk melihat konsistensi, subjek dan ketaksuban mereka kepada filem.

No Country for Old Men sebuah kelangsungan adik-beradik Coen terhadap genre yang mirip noir, penuh dengan pembunuhan, kaya dengan elemen thriller dan mendekati genre road movie. Filem ini memberikan nuansa yang puitis permainan cahaya dan bayang, kerja kamera yang agak agresif dan sesekali merehatkan mata dengan pemandangan saujana mata memandang. Tetapi di sebalik kesunyian yang hanya dipuput desir angin gurun itu, untaian cerita terburai satu demi satu. Penonton pasti berpeluang meresapi pengalaman menonton filem-filem yang menyingkap kehidupan koboi di old west, tetapi adik-beradik Coen bukan menoleh jauh. No Country for Old Men hanya berlatarkan tahun 1980 di sempadan Texas dan Mexico.

Filem ini diadaptasi dari novel judul yang sama karya Cormac McCarthy. Adegan demi adegan dibina dengan penuh berhati-hati dan menjadi hambatan untuk ke adegan seterusnya. Kesan thriller filem ini bukanlah kepada adegan pembunuhan yang dianggap begitu sadis. Thriller terbina daripada komposisi cerita, pembinaan adegan dan kerja kamera yang membuatkan penonton tidak mempunyai ruang untuk berpaling.

Filem ini dibuka dengan suara Tommy Lee Jones sebagai narator sebelum No Country for Old Men membawa perhatian penonton ke satu kawasan gurun yang luas saujana mata memandang. Kepada yang selalu menonton filem-filem adik-beradik ini, tentu dapat menangkap bahawa syot di kawasan luas saujana mata memandang ini adalah kegemaran mereka. Kawasan gurun ini selain memberikan identifikasi alam kepada cerita, di situ juga menjadi simbol yang akan berlaku seterusnya dalam No Country for Old Men.

Llewelyn Moss (lakonan Josh Brolin) terserempak dengan pembunuhan pengedar dadah yang berurus niaga di sebuah kawasan gurun di Texas. Sebelum itu Moss yang gemar memburu telah menembak seekor rusa tetapi apabila dia mendekati, anjing hitam yang cedera pula yang ditemui. Moss menemui sebuah beg yang berisi AS$2 juta dan dia mengambil duit itu tanpa mengetahui dalamnya terdapat cip pengesan.

Dalam kumpulan pengedar dadah itu, hanya seorang yang masih bernyawa ketika itu. Lelaki Mexico itu meminta air di tengah-tengah gurun. Moss pulang tetapi pada malamnya dia teringat lelaki yang meminta air dan membawa sebotol air ke kawasan berkenaan. Di sinilah bermulanya lingkaran Moss dalam jenayah yang dia sendiri tidak tahu hujung pangkalnya.

Moss menjadi buruan pembunuh psiko Anton Chigurh (lakonan Javier Bardem). Anton digambarkan pembunuh yang tidak mempunyai deria jiwa, dia membunuh dengan menembak mangsa tanpa secara selamba dan mendepani mangsa yang menggelepar tanpa sebarang rasa. Pekan kecil yang banyak terlakar dalam filem-filem old west sepi sekalipun pembunuh gila itu bermaharajalela. Syerif tua, Tom Bell (lakonan Tommy Lee Jones) hampir putus asa memburu Anton Chigurh.

Filem ini berpaksi kepada tiga watak utama, Anton, Moss dan Tom Bell. Tetapi ketiga-tiganya tidak ditemukan. Mereka tidak berdepan dalam satu adegan, cuma bertemu dalam filem. Ketiga-tiga watak memerlu dan memberikan kekuatan antara satu dengan lain untuk menghantar asakan kesan drama yang penuh cukup mendebarkan.

Momentum pemburuan Anton memang menyesakkan dada, jurukamera Roger Deakins memberikan kerja kamera yang sangat impresif. Deakins dianggap banyak memberikan sumbangan untuk membawa No Country for Old Men kepada satu perjalanan yang menakutkan. Filem ini bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, sama seperti filem-filem koboi yang mirip road movie. Plot berkembang selari dengan perkembangan watak-watak utama ini. Gabungan adik-beradik Coen dengan jurukamera ini sebenarnya telah lama. Mereka memahami keperluan antara pengarah dan jurukamera. Menariknya apabila jurukamera mampu mengangkat kehendak pengarah dengan menghasilkan satu komposisi imej yang mantap.

Plot berkembang tidak memberi ruang kepada penonton untuk menjangka apakah yang berlaku seterusnya, jauh sekali penamatnya. Malah yang berlaku di luar jangkaan sama sekali dan inilah nikmatnya menonton buah tangan terbaru adik-beradik Coen ini. Lihat saja bagaimana pengarah memanipulasi perhatian penonton pada adegan Tom Bell ke bilik motel Anton. Gerak-geri Tommy Lee Jones membuatkan penonton resah, tetapi adegan ini selesai tanpa sebarang tragedi.

No Country for Old Men memperlihat ketelitian pada pembinaan adegan dan keperluan mise en scene. Ini dibantu dengan hasil kerja kamera yang cemerlang selain pengarahan seni yang sangat teliti. Lihat saja bagaimana pengarah membina adegan semasa Anton datang mencari Moss di motel, Moss pula dalam keadaan ketakutan mahu mengeluarkan beg berisi duit AS$2 juta dari saluran udara. Adegan yang mendebarkan ini dibina dengan cemerlang, dan kesan bunyi juga diberi peranan untuk mengisi banyak adegan-adegan yang sepi No Country for Old Men.

Dari segi lakonan, berbanding persembahan Tommy Lee Jones sebelum ini, kehadiran dia dalam filem ini tidak begitu memberangsangkan. Lakonannya tidak seimbang dengan Javier Bardem dan Josh Brolin. Momentum Tommy Lee Jones kelihatan agak perlahan, bukan kerana dia seorang syerif tua. Dia kelihatan perlahan kerana kedua-dua watak utama lain kelihatan dinamik.

No Country for Old Men membentangkan kepada kita bahawa duit bukanlah segala-galanya dalam hidup. Hidup Moss yang miskin, tinggal dalam kabin dengan isterinya, duit AS$2 juta bukan mengubah hidup menjadi lebih baik. Malah duit mengubah hidup menjadikan setiap langkah penuh dengan ketakutan.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: