Tidak Labur Jika Tiada Perjanjian Lisan – Sheila

23 Apr

KUALA LUMPUR 22 April – Pelakon dan pengacara, Sheila Rusly memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak akan melabur dalam perniagaan restoran Nasi Dagang House sekiranya tiada perjanjian lisan dibuat antaranya dengan Azlina Che Abdullah.

Menurutnya, beliau melaburkan wang sebanyak RM30,000 untuk perniagaan tersebut setelah kedua- dua mereka bersetuju melabur dengan jumlah itu setiap seorang sebagai modal permulaan.

Dengan persetujuan tersebut, beliau menyangkakan syarat- syarat perkongsian sudah muktamad sebaliknya apabila beliau menambah pelaburan berjumlah RM25,000 lagi, Azlina menyatakan mereka perlukan perjanjian bertulis.

Sheila, 37, selaku saksi plaintif pertama berkata demikian ketika disoal pada pemeriksaan semula oleh peguam Azlina, Mohd. Firuz Jaffril pada hari kedua perbicaraan kes saman beliau terhadap rakan kongsinya itu yang didakwa telah memungkiri perjanjian lisan antara mereka berdua.

Dalam saman yang difailkan pada 16 Disember 2005, Sheila sebagai plaintif antara lain menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya, modal RM55,000 dikembalikan dan perjanjian perkongsian lisan itu dibatalkan.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, beliau dan Azlina bersetuju membuka restoran Nasi Dagang House dengan perkongsian sama rata di No.45-G, Jalan Melati Utama 3, Melati Utama, Setapak, di sini yang mula beroperasi pada 11 Julai 2005.

Azlina, 41, selaku defendan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya pula mendakwa Sheila yang telah melanggar persetujuan dan tanggungjawab untuk menjayakan restoran itu.

Dengan itu, Azlina menuntut semula modal dan modal tambahan berjumlah RM69,200 dan wang modal RM200,000 atas perbelanjaan membuka restoran baru.

Menurut Sheila, sepanjang tiga bulan restoran itu beroperasi, beliau tidak menerima gaji bulanan dan tidak tahu sama ada defendan menerimanya.

Jelas beliau, walaupun tidak dipersetujui, draf pertama perjanjian ada menyatakan gaji bulanan atau keuntungan hanya diterima selepas enam bulan restoran itu beroperasi.

Mengenai promosi, kata Sheila, defendan mungkin ada melakukannya melalui promosi mulut ke mulut tetapi menafikan bahawa ahli-ahli perniagaan jualan langsung yang diusahakan oleh defendan kerap datang makan di restoran tersebut.

”Bukan saya nak meninggi diri tetapi yang ramai datang adalah peminat-peminat saya seperti yang dimaklumkan oleh kakitangan restoran. Saya percaya mereka datang melalui promosi surat khabar,” katanya.

Menjawab soalan lain, Sheila berkata, semasa pertama kali pergi ke premis restoran itu selepas ia tidak beroperasi, beliau mendapati bahagian dapur restoran hanya tinggal sebuah peti sejuk dan dua kampit beras.

”Barang-barang kering yang lain sudah tidak ada. Rak tempat letak makanan kosong dan dalam peti sejuk hanya tinggal barang-barang yang macam dia sudah sediakan untuk masak bagi restoran barunya,” ujar beliau.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Badariah Sahamid bersambung Khamis ini.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: