Kolaborasi Baru Kris Dayanti

24 Apr

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

RAKAN akrab 3 diva (dari kiri), Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ.

APA sahaja kisah tentang diva tersohor dari seberang ini, pastinya akan meraih perhatian yang cukup meluas. Bukan sahaja mempunyai wajah yang cantik dan jelita, kewibawaannya sebagai seorang penghibur yang cukup lincah dalam memberikan persembahan bertenaga tidak perlu disangkal lagi dan ditambah pula dengan keramahannya menjadikan Kris Dayanti begitu disenangi ramai.

Hujung minggu lalu, penerima Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 (APM 08), itu berada di ibu negara.

Selain menghadiri acara gemilang itu, Kris juga berada di Malaysia kerana memenuhi undangan majlis Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality di Martrade, Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Seperti kebiasaannya, Kris tidak pernah lupa bertemu media tempatan untuk bertanya khabar selain berkongsi cerita.

Salah satunya ialah dia cukup rancak berbicara mengenai projek album duetnya bersama seniman tersohor Indonesia, Iwan Fals yang kini sudah pun selesai menjalani rakaman dua buah lagu.

“Saya sebenarnya cukup gembira dan tiada kata yang mampu saya lafazkan apabila penyanyi hebat sepertinya menyatakan persetujuannya untuk meneruskan projek album duet ini,” kata Kris memulakan cerita.

Kesediaan Iwan bekerjasama dengannya dianggap Kris seperti bulan jatuh ke riba lantaran penyanyi jelita itu sedia maklum Iwan bukan seperti seniman popular lain.

Personaliti dan karakter Iwan yang serius dan begitu cerewet serta mementingkan nilai-nilai estetika yang tinggi dalam setiap kerja seninya menyebabkan Kris gentar pelawaannya terhadap ikon seni yang dihormatinya itu tidak diterima.

“Iwan seperti M. Nasir yang cukup cerewet dan keberatan untuk berkerja dengan penyanyi wanita di Indonesia.

“Rancangan ini berlaku secara kebetulan apabila kami terlibat dalam satu persembahan di Indonesia.

“Tiba-tiba saya menyuarakan hasrat ingin berkolaborasi dengannya dalam sebuah album dan terus sahaja dia menyatakan persetujuannya. Terkejut juga saya dibuatnya tetapi sudah pasti saya gembira kerana sudah lama saya kepingin untuk terlibat dalam projek seperti ini bersamanya,” ujar Kris begitu gembira.

Kris memberitahu, sebelum masuk ke studio rakaman, dia serta suaminya Anang, Abdee dari kumpulan Slank dan isteri merangkap pengurus Iwan Fals sendiri iaitu Rosanna terlebih dahulu berbincang mengenai konsep lagu yang sesuai untuk gandingan mereka berdua.

“Berdasarkan rancangan kami, album ini nanti akan memuatkan enam hingga lapan buah lagu tetapi memikirkan karakter Iwan yang sukar diramal dan sentiasa berbuat sesuka hatinya, saya tidak berani meramalkan berapa jumlah lagu dalam album ini.

“Takut tiba-tiba saya kata lain, nanti produk akhirnya lain, saya juga yang susah nanti. Untuk itu, saya sudah bersiap-sedia dengan kekuatan mental dan fizikal dalam berdepan dengan situasi tersebut (ketawa),” Kris menyambung perbualan.

Bagaimanapun, penerbitan album kolaborasi ini ujar Kris, menampilkan konsep muzik yang berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Kerjasama ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk karier saya dan Iwan. Ia juga mampu mengembangkan lagi karier seni saya khususnya untuk mencuba sesuatu yang baru,” jelas wanita kelahiran Malang, Jawa Timur ini lagi.

Dalam pada itu, Kris yang kali terakhir muncul dengan album solonya, Krisdayanti tahun lalu yang memuatkan lagu popular, I’m Sorry Goodbye menjelaskan, buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melahirkan album solonya.

“Anang mahu saya memberikan sepenuh perhatian terhadap projek album duet ini. Saya juga enggan terburu-buru dan mahu melakukan sesuatu perkara itu dengan cermat dan perlahan-lahan,” ujar Kris yang mencipta populariti luar biasa di Malaysia menerusi lagu Menghitung Hari pada tahun 1999.

Di sebalik kegembiraan tersebut, kesedihan Kris terhadap kontroversi serta musibah yang melanda 3 Diva baru-baru ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap dirinya serta dua sahabatnya, Ruth Sahanaya dan Titi DJ.

‘Perkahwinan’ yang dibina pada tahun 2006 oleh 3 Diva bersama maestro muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa menemui jalan penyudahnya apabila Erwin mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam apa jua persembahan bersama 3 Diva.

Ia berikutan Erwin dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa insiden dan berita yang kurang tepat berkenaan dirinya sepanjang terlibat dengan 3 Diva.

“Memang kami sedih dengan apa yang telah berlaku tetapi perjuangan perlu diteruskan juga. Erwin telah banyak membantu 3 Diva. Saya akan pastikan hubungan persahabatan di antara kami tetap terjalin,” kata Kris dalam nada sedih.

Pada masa yang sama, Kris menjelaskan, 3 Diva kami baru sahaja melahirkan album mini yang diberi judul DI3VA yang memuatkan tiga lagu baru iaitu A Lotta Love, Adilkah Ini Untukku dan Mencinta.

“Sehubungan itu, kami akan mengadakan pertemuan dengan peminat kami di sekitar Pulau Jawa dan mengadakan persembahan di sana untuk mereka,” kata ibu kepada Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah ini lagi.

Berlakon filem

Kris yang juga mencipta nama sebagai seorang pelakon filem dan sinetron turut memberitahu, dia dalam perancangan untuk membintangi sekuel filem Gadis Marathon yang pernah menjadi sebuah filem box-office pada tahun 1981 di Indonesia lakonan Yenny Rachman.

“Ketika ini Indonesia dibanjiri dengan filem-filem yang berteraskan cinta dan filem yang memperjuangkan kisah atlet Indonesia jarang dipaparkan.

“Mereka tidak seharusnya lupa kepada atlet-atlet Indonesia yang banyak berkorban dan berjasa kepada tanah air. Disebabkan itu juga, saya menyokong penuh dengan penghasilan filem sekuel ini agar atlet Indonesia diangkat ke tempat yang sepatutnya,” jelasnya yang kali pertama berlakon filem Jatuh Cinta Lagi pada tahun 2006.

Jangan salah anggap

Ramai yang memperkatakan tentang ucapan Kris apabila dia menyebut tentang keikhlasan penyanyi nombor satu negara yang juga sahabat karibnya, Datuk Siti Nurhaliza terhadap dirinya sewaktu memberikan ucapan menerima anugerah Artis Wanita Terbaik APM 08 Ahad lalu.

Tidak mahu peminat kedua-duanya salah faham, dengan pantas Kris memberitahu apa yang dimaksudkan adalah keikhlasan Siti merestui kemenangannya memandangkan Siti tewas di negara sendiri.

“Selama lapan tahun APM dianjurkan, dua kali saya memenanginya dan pernah sekali kami berkongsi trofi berkenaan.

“Mungkin sudah menjadi rezeki saya memenanginya pada malam itu memandangkan Anugerah Muzik Indonesia baru-baru ini, saya gagal membawa pulang sebarang anugerah,” luah Kris dengan jujur.

Saat ditanya dengan soalan tidakkah dirinya mempunyai sebarang perancangan untuk menerbitkan sebuah album duet bersama Siti Nurhaliza, Kris menjelaskan impian dan perancangan tersebut sudah ada dan cuma menunggu masa yang sesuai sahaja.

“Kini saya sudah bernaung di bawah syarikat saya sendiri dan begitu juga dengan Siti. Jadi, hendak berkolaborasi itu tidak ada masalah kerana masing-masing tidak terikat dengan syarikat rakaman. Tunggu sahajalah perkembangan terbarunya kelak,” jelasnya menyimpul senyuman yang penuh bermakna.

Persembahan mantap

Persembahan Kris pada Minggu Setiausaha begitu mantap dan energetik sekali. Selama satu jam menghiburkan hampir 650 penonton yang membanjiri dewan tersebut, kehadiran diva ini sememangnya amat ditunggu.

Memulakan persembahan dengan lagu Mencintaimu, momentum pada petang itu terus meningkat tanpa meninggalkan sebarang rasa resah mahupun bosan melihat persembahannya.

Lagu-lagu seperti Menghitung Hari, Pilihlah Aku, Mahadaya Cinta, Joget dan Cinta sudah cukup membuktikan juara Asia Bagus pertama pada tahun 1992 ini berada dalam kelas tersendiri.

Bijak dan manja dengan penonton terutama sang jejaka yang turut mengambil peluang untuk mendekatkan diri dengan penghibur jelita saat diajak ke pentas untuk menari bersamanya sehingga menimbulkan histeria di dalam dewan.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: