Hamil Tak Halang Safura Berteater

29 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

JIKA nak diikutkan, doktor menasihatkan penyanyi dan pelakon Safura Ya’cob berehat di rumah bagi menjaga kandungannya yang kini mencecah usia lima bulan.

Apatah lagi, ketika membuat pemeriksaan kandungan bulan lalu, doktor mengesahkan dia menghidap tekanan darah rendah dan perlu menjaga pemakanan serta mengambil ubat seperti disarankan doktor.

“Berat badan saya mencecah 60 kilogram bulan lalu. Dalam hal ini, saya perlu menjaga pemakanan kerana keluarga saya memang ada sejarah tekanan darah rendah ini.

“Selain mengambil ubat, saya juga memastikan mengambil vitamin tambahan untuk memastikan kesihatan anak dalam kandungan, maklumlah waktu penggambaran selalunya sehingga lewat malam,” katanya.

Safura berkata, kehadiran anak dalam kandungannya itu cukup dinantikan mereka sekeluarga.

“Sebelum ini, saya menjalani pembedahan membuang fibroid dan hanya lapan bulan selepas itu, baru saya disahkan mengandung.

“Sampai hari ini, saya tidak buat imbasan jantina bayi kerana kami sekeluarga ingin menantikan kejutan nanti.

“Sebenarnya, saya tidak kisah sama ada bayi lelaki atau perempuan kerana apa yang penting dia sihat dan dilahirkan cukup sifatnya.

“Kedua-dua anak saya, Mohd Daniel, 8, menyediakan nama untuk adiknya itu. Jika anak lelaki dia beri nama Mohd Yusof Daniel. Manakala, kakaknya, Natasha pula beri nama Nur Aishah Maria jika adiknya itu perempuan,” katanya.

Bercerita mengenai persiapan, Safura lebih suka berjimat cermat.

“Saya belum beli baju mengandung kerana tiada salahnya saya pakai baju mengandung kepunyaan adik yang mengandung tahun lalu.

“Cuma baju bayi, saya sudah beli beberapa helai. Secara kebetulan, saya tengok pusat barangan bayi, Mother Care buat jualan murah dan terus membelinya. Sekurang-kurangnya, baju itu boleh mengubat rindu pada bayi yang sekian lama dinantikan dalam keluarga kami,” katanya.

Safura berkata, dia sudahpun mendaftarkan tempat untuk melahirkan anaknya iaitu di Hospital Ampang.

“Sebelum ini, saya menjalani pembedahan membuang fibroid dan selama dua minggu dirawat di Hospital Ampang. Justeru, saya sudah ada rekod perubatan dengan pihak hospital itu,” katanya.

Sekalipun sudah mempunyai dua cahaya mata, Safura tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan takut untuk melalui proses kelahiran anaknya itu.

“Memang saya ada pengalaman melahirkan anak tapi selepas lapan tahun tidak melahirkan anak, sudah pasti perasaan takut sukar dikikis.

“Apatah lagi, saya melahirkan anak dalam usia mencecah 35 tahun,” katanya.

Namun, kalau sudah namanya anak seni, Safura tidak menjadikan alasan mengandung untuk tidak bekerja seperti biasa. Maklumlah, dia cari makan dengan menyanyi dan berlakon.

“Banyak tawaran berlakon yang datang adalah watak ibu dan sesuai dengan keadaan saya mengandung. Sebagai anak seni yang sudah biasa bekerja, saya tidak senang hati jika sekadar duduk di rumah saja,” katanya.

Ketika dihubungi Rap, Safura sedang bersiap-siap untuk menjalani latihan projek terbarunya, teater Randai berjudul Kasih Menanti yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 9 hingga 18 Mei nanti.

“Watak saya sebagai ibu kandung kepada teraju utama teater ini, Bujang (lakonan Haris Kadir). Haris adalah pelakon teater dan penari berbakat besar yang boleh diketengahkan pada masa depan.

“Sekalipun watak ibu, ia turut memainkan peranan penting menghidupkan teater ini,” katanya.

Apa yang menarik, kata Safura, dia juga menyanyi secara langsung dalam teater muzikal yang ada drama tari dan lagu.

“Randai belum pernah dipentaskan saya sendiri tidak pernah buat Randai sebelum ini.

“Selain itu, saya tidak tahu latar belakang Randai itu sendiri. Apa yang saya tahu Randai ada kaitan dengan budaya Minang.

“Dalam keadaan mengandung, saya tidak menari tapi ada sedikit pergerakan dalam teater ini,” katanya.

Teater itu turut dibintangi Datuk Yusni Hamid yang juga ibu angkat kepada Bujang dan pelakon veteran Zulkifli Zain.

“Saya juga ada cadangkan nama penyanyi Ezlynn jika pihak produksi teater ini mencari bakat baru sebagai heroin kerana watak itu memerlukan artis yang boleh menyanyi dan berlakon. Tapi pihak produksi belum putuskan lagi,” katanya.

Selain drama bersiri Intan Asmara, Safura turut memegang watak ibu dalam drama untuk RTM, Hero Komik arahan Asri Ali.

Pada masa sama, Safura berkata, rezeki suaminya yang juga pelakon, Sahronizam Noor juga murah dan tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, suami banyak dapat tawaran berlakon di Kuala Lumpur.

“Antaranya, drama bersiri 26 episod, Cempaka Bunga. Dia juga terpaksa menolak tawaran berlakon filem Jangan Tegur kerana sudah ada komitmen drama lain ketika itu,” katanya.

“Selain itu, dia juga dapat tawaran berlakon teater pendekar, Hang Tuah,” katanya.

Powered by Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: