Hati Mulia Yuni Dan Rakan

1 May

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


MAHU memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain.

JIKA Krisdayanti menubuhkan kumpulan 3 Diva bersama Titi DJ dan Ruth Sahanaya, Yuni Shara juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berpadu suara bersama lima orang rakan seperjuangannya.

Menamakannya sebagai kumpulan 5 Wanita, Yuni berganding dengan Rieke Roeslan, Iga Mawarni, Nina Tamam dan Andien.

Berbeza dengan 3 Diva, 5 Wanita mempunyai misi yang tersendiri. Melihatkan kebanyakan kaum wanita di Indonesia kurang berkeyakinan dengan kerjaya sendiri, 5 Wanita mahu menaikkan semangat dan memberi dorongan kepada mereka.

“Kebanyakan golongan wanita malu dengan kerjaya masing-masing terutamanya bagi yang menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

“Dengan meyakinkan kaum wanita diluar sana, lihatlah peranan kami sebagai ibu dan suri rumah walaupun membuat persembahan di pelbagai tempat.

“Bukan itu saja, kami juga membantu menyelamatkan wanita-wanita Indonesia yang ditindas,” ujar Yuni bersemangat ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.

Melihatkan cara Yuni berbicara, ternyata penyanyi ini seorang yang begitu protektif mengenai isu-isu wanita yang berbangkit.

Malah, pelbagai perancangan yang akan dilakukannya bersama rakan-rakannya seperti memberi motivasi kepada kaum-kaum hawa yang lemah serta menyelamatkan wanita-wanita tertindas dan teraniaya.

Selain itu, 5 Wanita ini turut menyertai misi-misi memberi bantuan kepada golongan hawa yang susah seperti memberikan ceramah penjagaan kesihatan dan kecantikan serta pemberian perubatan.

Menjadikan muzik sebagai medium untuk menyampaikan mesej, mereka telah pun mencipta sebuah lagu berjudul Wanita yang buat pertama kalinya telah pun disampaikan di Festival Java Jazz baru-baru ini.

“Saya rasa medium muzik adalah yang terbaik bagi menyampaikan mesej kerana kebanyakan masyarakat gemarkan muzik.

“Ini membuatkan lebih mudah untuk 5 Wanita dikenali sebagai penyelamat wanita dan bukan penyanyi berkumpulan,” tegas Yuni.

Mahu tandingi Krisdayanti?

Sedang asyik berborak bercerita mengenai misi menyelamat kaum wanita di Indonesia, penulis terus memotong dan bertanya, adakah ini salah satu cara untuk menandingi adiknya?

“Tidak sama sekali. Kami berbeza-beza. 3 Diva lebih pada nyanyian sahaja.” katanya memberikan penjelasan.

Tetapi Yuni tidak marah-marah atau menjawab dengan nada kurang selesa. Dia akur sebagai seorang kakak yang berkongsi dunia sama dengan adiknya, pasti akan ada perbandingan antara mereka.

“Orang selalu menganggap saya mencemburui Krisdayanti kerana popularitinya lebih daripada saya. Tetapi saya sudah melalui populariti itu sebelum adik saya lagi. Sekarang giliran dia pula dan saya anggap itu sesuatu yang biasa,” tutur Yuni sambil jari jemarinya bermain-main membetulkan rambutnya.

Menginjak usia 23 tahun di dalam industri muzik, Yuni tidak kisah jika namanya kurang dikenali di industri tempatan berbanding adiknya.

Pengaruh penyanyi kecil molek ini sungguh kuat di negara kelahirannya dan Yuni pernah menempa populariti yang luar biasa menerusi lagu Mengapa Tiada Maaf. Tempias populariti lagu itu juga tersebar sehingga ke Malaysia dan menjadikan penyanyi yang berusia 36 tahun ini masih menjadi penghibur yang dihormati.

Cuma Yuni sendiri agak kebingungan mengenai kelewatan dirinya untuk menawan peminat muzik tempatan.

“Saya perasan tentang kelewatan ini tetapi saya masih berpuas hati kerana setiap kali membuat persembahan, kebanyakan mereka mengenali saya.

“Walaupun album saya dijual tidak sehebat Kris, saya tidak kisah. Yang penting, sedikit demi sedikit orang Malaysia dapat menerima muzik saya,” ujarnya tanpa rasa sebarang kekesalan di hati.


YUNI tidak pernah mencemburui adiknya, Krisdayanti yang jauh lebih popular di Malaysia.

Tidak suka jurusolek

Suatu benda yang jarang-jarang berlaku pada kebanyakan artis apabila mereka menyolek sendiri wajah mereka.

Melihatkan Yuni asyik dengan menambahkan solekannya, tertanya-tanya seketika mana perginya juru solek peribadinya?

Seperti memahami persoalan itu apabila melihatkan mimik muka wartawan yang penuh dengan persoalan, terus saja Yuni berkata:” Saya tidak ada jurusolek. Solek sendiri saja,” katanya. Rupanya wanita ini langsung tidak menyukai jika mukanya disentuh oleh jurusolek profesional.

Bagi Yuni, solekan jurusolek profesional sama saja dengan kebolehan yang ada dalam dirinya.

“Kalau orang menyolekkan saya, pasti berjam-jam untuk saya menadah muka. Padahal hasilnya lebih kurang sama saja dengan solekan sendiri.

“Penat rasanya menunggu muka ini di rias. Kadang-kala tengkuk saya bertambah lenguh menanti masa untuk disiapkan. Saya tak boleh bayangkan bagaimana kebanyakan artis sanggup menahan muka berjam-jam untuk disolek,” seloroh penyanyi bersuara lantang ini.

Walaupun penyanyi ini tidak memerlukan jurusolek, Yuni tetap mempunyai sedikit masalah mengenai pengurusan rambutnya.

“Itu saya tak boleh nafikan, memang saya perlukan pendandan kerana saya tidak pandai mendandan rambut sendiri walaupun berambut pendek,” katanya.

Rumahtangga porak peranda

“Siapa kata rumahtangga saya hancur?”

Soalnya kembali apabila wartawan ingin mendapatkan kepastian mengenai ura-ura yang mengatakan Yuni sedang berhadapan dengan pergolakan rumah tangga.

Senyuman dan lirikan manja Yuni terus berubah menjadi seriusapabila berbicara mengenai keluarganya. Dia mengakui, memang kadang-kala dia mempunyai sedikit salah faham dengan suaminya, Henry Siahaan.

Namun ini tidak bermakna, hubungan Yuni dengan suaminya sudah sampai ke penghujung. Malah, kata Yuni, mereka semakin akrab lebih-lebih lagi kini Yuni lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

“Saya masih bahagia. Rasanya, banyak sangat khabar angin di sebarkan yang bukan dari mulut saya.

“Tetapi, itulah yang perlu dihadapi jika mahu menjadi seorang artis bukan? Sebab itu saya tidak hairan dengan gosip-gosip yang disebarkan. Malah keluarga saya sudah lali dengan khabar angin ini,” akhirnya.

Powered by Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: