Membangkit Semula Industri Filem Melayu

1 May

OlehMohd Raman Daud

WALAUPUN Pesta Filem Antarabangsa Singapura (SIFF) yang ke-21 (4 hingga 14 April) sudah berlalu, kemunculan segelintir anak Melayu seperti Abdul Nizam Hamid (filem Keroncong Pak Bakar) telah meninggalkan kesan yang membawa harapan.

Pengarah Saniff Olek baru saja meraih Anugerah Filem Agama Terbaik menerusi Lost Sole (lakonan Mahadi Shor dalam bahasa Bawean) di Pesta Filem Antarabangsa India. Filem itu juga sudah ditayangkan di sejumlah pesta filem.

Antara lain, beberapa orang rakan menyatakan alangkah baiknya jika industri filem Melayu bangkit semula di sini.

Kawan lama saya, Yusnor Ef, yang kini giat di Kuala Lumpur, baru saja menghadiri satu seminar mengenai sumbangan P. Ramlee di persada global, di Jakarta.

Sering P. Ramlee dianggap yang terunggul dalam industri filem Melayu di Singapura, antara 1932 dengan 1933 bermula dengan filem Laila Majnun sehingga 1973 dengan filem Cathay Keris, Satu Titik di Garisan. Ia kini tinggal kenangan saja.

Adakah kita bermain dengan nostalgia campur angan-angan saja?

Sewaktu bertugas sebagai penulis skrip sepenuh masa yang pertama dengan Unit Drama Melayu Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), saya sempat bertemu dengan para pelakon silam seperti Pak Sharif Medan dan Yusof Latiff (keduaduanya arwah), yang ada kala diundang berlakon untuk rancangan Sandiwara.

Menurut mereka, tidak mungkin zaman gemilang itu berulang di Singapura kerana masa dan suasana sudah jauh berubah.

Pak Sharif, ‘Bapa Bangsawan’ dan juga penulis lakon dan seniman layar perak dengan merintis filem pertama, Laila Majnun, berkata kekurangan besar filem Melayu ialah pergantungan pada usahawan bukan Melayu.

P. Ramlee mekar di sini kerana Singapura merupakan pusat intelek, kebudayaan, percetakan dan juga industri filem Melayu. Tegasnya, bakat terbaik Dunia Melayu ketika itu ada di Singapura.

Namun untuk menjayakan filem Melayu, dua syarikat besar, Shaw Brothers and Cathay Keris, merupakan gergasi utama. P. Ramlee dan rakan-rakannya tidak perlu memikirkan soal kewangan, promosi dan edaran.

Bahkan menurut pelbagai buku mengenai industri filem di sini, tokoh besar seperti P. Ramlee dapat ‘minta apa saja’ demi memenuhi cita rasa seninya. Hanya baru kini kajian menunjukkan peralatan yang digunakan P. Ramlee dan rakanrakannya sudah jauh lapuk berbanding dengan Hollywood atau Hongkong. Jadi, tidaklah dipenuhi apa yang dihajatkannya, termasuk filem warna.

Singapura terhenti menjadi pusat filem Melayu setelah kemerdekaan Malaya (Malaysia) dan gelora politik termasuk Konfrontasi (1963- 1965) menjejas peranan itu.

Namun sesudah berkembang sebagai negara Dunia Pertama, kehadiran SIFF dan pelbagai usaha menjadikan negara pulau ini sebagai Kota Kebangkitan Seni di Tropika, potensi Singapura memang menyerlah. Ia boleh meraih peranan sebagai wadah industri filem serantau atau Asia. Potensinya sudah mula menyerlah kerana firma Raintree (sebahagian MediaCorp) kian mendapat penghormatan.

Mentelah sudah wujud Suruhanjaya Filem dengan bajet untuk sesiapa yang cekal dengan saranan meyakinkan. Juga ada unit khas Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Penguasa Pembangunan Media (MDA) dan sebagainya yang turut mendorong penerbitan setempat.

Tetapi dapatkah anak Melayu menghasilkan filem sebaik P. Ramlee? Belum tentu lagi.

Memang teknologi bikin wayang kini semakin memudahkan. Misalnya, Harman Hussin hanya menggunakan kamera video definisi tinggi (HD) yang mudah dibawa untuk merakamkan perjalanan menuju ke Makkah, Road to Mecca (sayangnya, tidak kesampaian).

Suntingan video kini dikatakan dapat dilakukan di komputer riba (laptop) kerana ada perisian atau sofwenya. Jika tidak panjang tempohnya, bolehlah anda memuatkan di YouTube untuk tontonan sedunia walaupun secara percuma.

Namun menghasilkan layar perak secara serius tentulah melibatkan pelbagai disiplin, termasuk animasi.

Rumus jaya filem seperti Ayat-Ayat Cinta diangkat daripada idea atau novel yang sudah berjaya – karya Habiburahman El Shirazy. Ia mesti dipakejkan dengan arahan teguh, lagu yang menarik, sinematografi, barisan pelakon, barisan ahli teknikal dan sebagainya. Ini semuanya menuntut pelaburan besar dan daya imaginasi usahawan Dhamoo dan Manooj Punjabi.

Apakah lainnya dengan rumus zaman P. Ramlee? Memang tiada jauh berbeza kerana kejayaan filem masih berupa rumus matematik: f(idea, arahan, sokongan teknikal, barisan pelakon, pelaburan).

Kini, dengan adanya kursus perfileman atau video di politeknik atau institusi setempat, saya yakin akan tampil anak Melayu yang cuba menempa nama. Namun ia mesti menguasai dua bidang: daya cipta dan usahawan.

Bolehkah kita menemui anak Melayu setempat yang seberani Yusof Haslam, penerbit dan pengarah Malaysia yang mempunyai sentuhan kreatif dan keusahawanan sekali gus kerana filemnya sering memecahkan box office?

Ini persoalan berat.

Pernah ketika saluran Suria baru dibentuk, muncul sejumlah syarikat penerbitan Melayu di sini, termasuk yang diterajui Lut Ali, seorang dramatis berkebolehan. Tetapi kini, entah ke mana perginya syarikat begini.

Jika ada pun firma anak Melayu, ScreenBox pimpinan Sujimy Mohamad dan isterinya, Haslinda Ali, tampak terus mekar dan menyerantau. Kejayaan mereka wajar dicontohi.

Selain itu, terdapat Oak 3 dengan Zaihirat Banu yang banyak menghasilkan dokumentari serantau.

Difahamkan pengarah dan penerima Pingat Budaya, Jack Neo, akan cuba menghasilkan filem Melayu dengan kerjasama seniman lakon serba boleh Suhaimi Yusoff.

Bahkan khabarnya Life Record akan mencuba layar perak juga selepas berjaya dengan siri drama videonya.

Pun tidak bermakna usaha seperti pengarah baru naik daun, Harman, tidak akan ke mana. Memang masih ada tempat untuk menghasilkan filem jimat cermat atau bajet kecil selagi ada tekad besar dan daya kreatif yang mengatasi segala-galanya.

Mungkin kelak industri filem pelbagai bangsa, termasuk Melayu, muncul di Singapura. Mentelah dengan adanya pasaran bersama Asean pada 2015 kelak, mungkin tiada masalah bagi bahan kreatif dari pasaran setengah bilion di rantau ini untuk beredar tanpa sekatan.

Kemungkinannya besar. Cuma bak kata koresponden hiburan/seni akhbar ini, Cik Hanim Salleh: orang Melayu memang kreatif tetapi tiada duit.

Powered by Cyberita

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: