Aliff Rakan Duet Baru Aishah

7 May

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

BERPENGALAMAN menyanyi selama 20 tahun dan pernah popular ketika bersama Fan Club, Aishah kini merupakan antara artis yang masih berjaya mengekalkan popularitinya.

Dikenali menerusi lagu Janji Manismu sekitar tahun 1990-an, fasa kehidupan yang dilalui Aishah penuh dengan pelbagai warna.

Ada yang ceria, tidak kurang pelbagai ranjau dan kesukaran yang harus dilaluinya di persada seni tanah air.

Apa yang pasti, segala cabaran hidup yang dilaluinya membuatkan Aishah ‘kebal’ dan tidak terpinggir walaupun dengan kehadiran penyanyi-penyanyi generasi baru.

Ketika di era kemasyhurannya, Aishah dianggap sebagai generasi artis yang bijak merencana karier seninya.

Bermula dengan Fan Club sehingga tampil solo dan pernah digandingkan bersama Datuk Ahmad Jais, Herman Tino serta beberapa lagi artis, kini Aishah bakal berduet dengan seorang penyanyi yang boleh dianggap sebagai anaknya sendiri.

Pemilihan penyanyi berasal dari Singapura, Aliff yang baru berusia 17 tahun yang kini popular menerusi lagunya, Sayang Sayang menjadi pertaruhan terbarunya.

Walaupun masih belum diketemukan, Aishah tidak kisah jika digandingkan dengan penyanyi comel itu.

“Ini adalah perancangan syarikat rakaman yang mahu saya bergandingan bersama Aliff. Mereka mahukan sesuatu yang baru.

“Memang saya belum pernah berjumpa dengannya tetapi saya suka suara Aliff,” kata artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman SonyBMG Music (M) Sdn. Bhd., ketika ditemui pada sidang media sambutan Hari Ibu dan Bapa di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Restoran Melayu, Rosli Rahmat, Datuk Jamali Shadat dan penyampai radio Suria fm, Khairil Rashid.

Menurut Aishah, perancangan berduet dengan Aliff, tidak diambil sebagai satu kerja mudah.

Sebaliknya, Aishah mengakui, kolaborasi itu kelak bakal memberikan cabaran bukan saja pada dirinya bahkan juga kepada komposer untuk menyesuaikan antara imejnya dan penyanyi berkenaan.

Namun begitu, satu soalan yang sudah tentu tidak mampu ditepisnya ialah keraguan mengenai kesempatan Aishah menumpang populariti Aliff.

Sebagai artis yang sudah masak dengan sepak terajang dunia hiburan, Aishah ada jawapan tersendiri untuk soalan sedemikian.

“Saya sudah 20 tahun dalam industri muzik. Soal siapa tumpang populariti siapa, itu tidak perlu diperkatakan.

“Apa yang penting adalah, kedua-dua pihak memperoleh manfaat masing-masing,” katanya menjelaskan pendiriannya itu.

Album baru berkonsep nasyid?

Tahun lalu, Aishah pernah tampil dengan album Kurnia dan menjelang hujung tahun ini pula, album terbarunya akan dipasarkan.

Bermula dengan penghasilan single yang menjadi trend masa kini, Aishah memberitahu, kemunculannya nanti akan menampilkan penghijrahan yang sangat besar dalam kerjaya seninya.

Bukan lagi album yang berteraskan muzik pop, sebaliknya, anak seni yang berasal dari Negeri Sembilan ini memilih untuk beralih ke genre nasyid pula.

“Semua itu juga masih dalam perancangan. Saya harus merujuk kepada pengurusan syarikat rakaman yang saya naungi terlebih dahulu.

“Secara peribadi, saya mahu mengembangkan karier. Namun, itu tidak bermakna album terbaru nanti sepenuhnya memuatkan lagu nasyid.

“Ia lebih kepada unsur-unsur nasihat dan ketuhanan. Sekarang ini pun, anak-anak muda mendengar lagu-lagu begitu dan tidak ramai artis wanita yang mahu membuat konsep sedemikian.

“Saya akan mencari tema-tema lagu yang boleh dikaitkan dengan kehidupan harian,” jelasnya penuh teruja mengenai perancangan kerjaya seninya itu.

Menjayakan Hari Ibu dan Hari Bapa

Dalam pertumbuhan pesat industri hiburan tempatan masa kini, Aishah seperti juga rakan-rakan artis yang lain masih menerima undangan mengadakan persembahan.

Terbaru, dia diundang menjayakan sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa yang berlangsung dalam tempoh terdekat ini.

Untuk acara berkenaan, Aishah menjadi pilihan Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur untuk menghiburkan pengunjung-pengunjung mereka pada 10 Mei ini.

Dengan bayaran dari RM65 hingga RM350, Aishah akan bergandingan dengan Jamali Shadat di samping Khairil serta Preimah (KL fm) yang bertindak sebagai pengacara.

Menariknya, selain disajikan dengan lagu-lagu popular penghibur itu, pelbagai aktiviti telah pun disediakan seperti pertandingan teh tarik, pertandingan memasak nasi goreng, 100 cabutan bertuah termasuk tiga cabutan utama yang akan membawa pulang barangan elektrik.

Mereka yang berminat untuk meraikan ibu atau bapa, boleh menghubungi talian 03-2145 1833.

Restoran Seri Melayu turut mengambil inisiatif dengan menjemput 30 orang warga emas dari Rumah Limpahan Kasih, Puchong untuk bersama meraikan hari yang istimewa tersebut.

Rindu arwah ibu dan bapa

Pada pertemuan selepas sidang media berkenaan, Aishah yang ditanya mengenai sambutan Hari Ibu kelihatan sebak apabila teringatkan ibunya, Kamariah Ujang yang kembali ke Rahmatullah pada 2001.

Bertambah sebak, Aishah memberitahu bapanya, Wan Arifin Pawanteh terdahulu telah pun meninggal dunia pada 1987.

“Kepada yang masih ada ibu serta bapa, jangan terlewat untuk menunjukkan kasih dan sayang kita kepada mereka.

“Sehingga kini, saya masih terasa kehilangan dua insan yang paling saya sayang itu,” katanya.

Selesa hidup bersama anak-anak

Bergelar yatim piatu, Aishah masih tabah untuk melaluinya, namun, dalam masa yang sama, kesedihan hidup bersendirian tanpa kehadiran lelaki bergelar suami sejak lapan tahun lalu juga sedikit sebanyak menyentuh sanubarinya.

Namun begitu, Aishah yang jarang memperlihatkan kesedihannya memberitahu, dia begitu selesa hidup bersama anak-anaknya.

Pada masa yang sama, dia sentiasa mengingatkan dirinya agar lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk berkahwin lagi kerana bimbang kesedihan silam berulang lagi.

“Sungguhpun begitu, saya tidaklah menutup pintu untuk berkahwin tetapi biarlah lelaki itu seorang yang akan diterima dan menerima anak-anak saya seadanya.

”Memang ada yang mencuba tetapi saya belum serius dalam hal berkenaan kerana sudah terlalu selesa dengan kehidupan sekarang ini,” tambahnya.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: