Marsha Dibuang Keluarga?

12 May

Oleh FAIZAL SAHARUNI

TEMPIAS khabar angin bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) Marsha, 23, dibuang keluarga kerana memilih ‘kekasih’ yang bukan ‘sealiran’ benar-benar terkena dan menyentak dirinya.

Tiada pepohon yang bergoyang, malah tiada pula ribut taufan melanda, namun fitnah yang tidak diketahui asal-usulnya itu terus berlagu riang mengganggu jiwa gadis jelita ini.

“Saya dan keluarga memang tiada sebarang masalah. Kami tetap bersama dan masih seperti biasa.

“Cerita saya dibuang keluarga itu tidak betul. Orang tua saya di kampung juga terkejut tatkala mendengar cerita ini.

“Saya tidak mahu ia terus diperbesarkan. Tak tahulah macam mana gosip ini boleh timbul sedangkan kami baik-baik belaka.

“Enggan ia menjadi lebih buruk dan beri kesan, saya beritahu keluarga, kita tak boleh hendak berbuat apa-apa dengan tohmahan ini.

MENGAKUI hubungan intimnya dengan Kefli sudah sedikit renggang.

“Apa jua yang kita cakap, orang lain tetap akan perkatakan,” kata Marsha optimis ketika ditemui pada sidang media drama online Kerana Karina 2 di ibu negara baru-baru ini.

Menolak ke tepi soal dibuang keluarga, Marsha memperlihatkan keterujaan untuk pulang ke kampung halamannya di Tamparuli, Sabah.

“Sebenarnya saya terima undangan nyanyian sempena Pesta Menuai bersama Felix AF3.

“Alang-alang dah balik ke Sabah, lalu saya ambil keputusan untuk menghabiskan masa dengan keluarga beberapa hari,” beritahu Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh.

Kontroversi Marsha dibuang keluarga mula beraja disebabkan Marsha dan Kefli yang juga bekas pelajar AF3 dikatakan dilamun cinta, namun mereka terang-terangan memberi jawapan klise – “Kami hanya kawan.”

Bukan setakat itu sahaja, ramai yang terserempak dengan dua pasangan secocok ini. Mereka sering bersama walau ke mana jua berada.

MARSHA bijak mengawal diri dalam keadaan kecemasan.

Mana mungkin hati tidak mengiakan. Gaya dan lenggok tubuh badan Marsha dan Kefli jelas mengisyaratkan mereka sedang mabuk dilanda asmara.

Mahu kembangkan karierAndai cerita Marsha dimusuhi dan dijauhi keluarga menjadi rekaan semata-mata, barangkali Marsha tiada sebarang masalah bercinta dengan pemuda bukan seagama apatah lagi lampu hijau sudah diperoleh daripada famili.

“Bab jodoh saya tak boleh nak ulas lanjut. Saya dan Kefli memang kawan rapat macam biasa.

“Belum terfikir soal cari pasangan hidup. Kalau boleh saya nak kembangkan karier. Andai terlampau sibuk bercinta, ditakuti kerjaya saya entah ke mana,” ungkapnya yang dilahirkan pada 6 Disember 1985.

Dalam keriuhan mulut masyarakat berbicara tentang kisah kurang enak itu, Marsha mengakui hubungan yang terjalin dengan Kefli menjadi sedikit renggang.

“Mungkin juga,” jawab Marsha ringkas tatkala diaju persoalan sama ada khabar angin itu menjejaskan ‘persahabatan’ yang mereka bina selama ini.

BUKAN wanita materialistik yang boleh dibeli dengan wang ringgit.

Marsha menyambung, dia dan Kefli masing-masing ada komitmen sendiri dan sibuk bekerja terutama dalam melebarkan sayap sebagai pelakon.

“Kami sibuk sangat sekali gus membuatkan saya dan Kefli jarang ada kesempatan bertemu.

“Begitu pun, kami masih berhubung menerusi SMS bertanya khabar antara satu sama lain,” ujar Marsha berterus-terang.

Menggigil terima panggilan misteriSukar dinafikan, sikap mesra dan manja yang selalu ditonjolkan Marsha sering disalah tafsir. Pandangan umum biasanya mengaitkan wanita jenis ini mudah didekati dan mudah diperkotak-katikkan.

Bukannya berlakon atau sengaja berkelakuan sedemikian di khalayak, Marsha mengakui sudah menjadi tabiatnya cepat ramah dengan sesiapa sahaja yang menghampiri terutama peminat.

“Rasa terkilan sangat sebab perangai saya sering disalah anggap. Baru-baru ini ada seseorang menghubungi saya. Tak tahu macam mana dia dapat nombor telefon bimbit saya.

“Orang itu beritahu bos dia nak bayar RM6,100 untuk berjumpa saja dengan saya untuk satu malam.

TIDAK berhenti berharap untuk muncul dengan album sulungnya.

“Ketika terima panggilan itu, jantung saya berdebar-debar dan tangan pula menggigil. Takut sangat dengan apa yang dikatakan individu itu.

“Nasib baik dalam keadaan kecemasan itu saya terus dapat idea. Saya beritahu orang itu saya bukan Marsha, sebaliknya teman Marsha,” jelasnya mengimbas saat dia mahu ‘dibeli’ dengan harga RM6,100.

Tegas Marsha, dia bukannya wanita yang mudah dibeli dengan wang ringgit atau materialistik. Duit memang jadi keutamaan di zaman ini, cuma cara haram memang bukan permainan Marsha.

“Saya sanggup kerja kuat selama 24 jam. Tak mungkin saya nak terima pelawaan yang barangkali ada niat jahat itu.

“Kalau ada yang anggap saya jenis perempuan yang boleh dibeli dengan wang dan kemewahan, ternyata dakwaan itu salah,” tutur Marsha mempertahan prinsip dan kehormatannya sebagai wanita bermaruah.

Album dalam persiapanDi waktu bekas pelajar AF lain sudah membuat album dan terus mengutip bintang-bintang bertaburan di laman seni, Marsha pula masih mencari haluan dalam bidang nyanyian.

“Saya masih menyanyi, malah saya terus terima undangan nyanyian korporat dan pertunjukan lain, cuma tiadalah sebarang publisiti.

“Jangan tak tahu, jadual nyanyian saya masih kencang,” kata Marsha mengingatkan ramai kemunculannya dalam industri ini bertitik awal daripada rancangan realiti nyanyian terkenal, AF3.

Marsha kini meneruskan perjuangannya dalam seni suara dengan dipayungi syarikat milik penyanyi dan komposer terkenal, Ajai iaitu Wake The Baby Sdn. Bhd. sejak tahun lalu.

“Saya rakamkan lagu dengan Ajai sejak tahun 2007. Boleh dikatakan sebanyak 60 peratus bahan telah disiapkan untuk album pertama saya yang bakal menemui peminat tahun ini kalau ikut perancangan.

SERASI bergandingan dengan Zizan Nin menerusi dua siri Kerana Kirana.

“Ajai tak habiskan keseluruhan album ini pada satu waktu kerana dia ada komitmen sendiri. Jika Ajai punyai waktu terluang, dia akan teruskan pembikinan album saya.

“Kalau dia sibuk dan jadualnya padat, proses penghasilan album saya akan dihentikan buat seketika.

“Tak kisah kena tunggu lama asalkan saya ada album sendiri,” beritahu Marsha yang kini berjinak-jinak sebagai pengacara dalam program Gaya Ratu untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Marsha yang terkenal menerusi watak Karina dalam drama laman web pertama di Malaysia Kerana Karina yang kini berhasil memasuki musim kedua turut memberitahu, dia melibatkan diri dalam dunia lakonan bagi mencabar diri sendiri.

“Saja nak tengok sejauh mana kemampuan saya. Kalau boleh nak jadi artis versatil dan tak hanya bergantung pada satu cabang semata-mata.

“Selain itu, peminat dapat lihat Marsha masih wujud dalam industri hiburan. Sambil tunggu nak habiskan album, lebih baik saya ambil tawaran berlakon,” jelas Marsha bijak merencana masa depannya.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: