Manjakan Anita

21 May

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


Koleksi beg tangan berjenama ikut cita rasa Mahathir

BUKAN mudah meyakinkan Anita Sarawak untuk bersetuju dengan hasrat Hip mengambil gambarnya bersama koleksi beg tangan mewahnya. Bimbang dikata menunjuk-nunjuk pula, kata superstar itu yang lebih mesra disapa Kak Nita.

Begitupun kerana enggan mengecewakan Hip, permintaan itu tetap ditunaikan dengan syarat tidak sesekali mendedahkan harga setiap beg yang diperagakan.

Lalu, pada suatu tengah hari, Kak Nita bersama suaminya yang nampak semakin muda, Mahathir Abdullah, muncul ‘mengheret’ dua bagasi berjenama Louis Vuitton yang diisi dengan pelbagai beg tangan berjenama.

“Bagasi LV yang ini usianya barangkali sudah 30 tahun. Masa itu, Kak Nita jeling-jeling saja beg itu. Iyalah… harganya memanglah mahal. Kena simpan duit dulu. Bila sudah rasa cukup duit, terus saja Kak Nita beli. Memang berbaloi. Tengok, masih elok lagi dan boleh digunakan. Nampak klasikkan?” katanya merujuk kepada bagasi jenama LV yang sudah pun ditukar pemegangnya, baru-baru ini.

Kecoh juga studio Balai Berita di Jalan Riong, Bangsar apabila Kak Nita dan Abang Mahathir sibuk mengeluarkan beg tangan yang disusun rapi untuk diletakkan di atas meja yang disediakan untuk sesi foto itu.

Bagi Kak Nita, bukan jenama yang menjadi kegilaannya tetapi beg tangan yang praktikal dan eksklusif pasti mendapat perhatiannya.

“Sebenarnya Kak Nita tidak gilakan sangat beg tangan sehinggalah berkahwin dengan Abang Mahathir. Dialah yang selalu membelikan Kak Nita beg tangan, kononnya sebagai koleksi untuk melengkapkan gaya dan senang untuk disuai padan dengan acara,” kata wanita popular yang ramah ini.

Kata penyanyi lagu Ular itu lagi, koleksi yang dibawanya hari itu hanyalah lima peratus daripada beg tangan dalam simpanannya. Sebahagian koleksinya masih berada di rumahnya di Las Vegas, Amerika Syarikat tempat dia pernah mencari rezeki bertahun-tahun lama.

Dia sendiri tidak pernah menghitung jumlah beg tangannya, bagaimanapun, dia pasti mengingati kebanyakan beg yang dimiliki.

“Namun, ada ketika kami terjumpa juga beg tangan yang sebenarnya sudah lama berada dalam simpanan, tetapi jarang digunakan,” kata Anita.

Antara yang masih disimpan di Las Vegas ialah edisi terhad jenama Judith Leiber yang bertatahkan kristal Swarovski. Beg tangan itu jugalah yang paling mahal dalam koleksinya. Begitupun, Anita menolak untuk mendedahkan harga sebenar beg berkenaan.

Walaupun dia dan suami lebih gemar memiliki beg tangan yang unik, namun beg tangan yang berbentuk asas tidak ditolak ke tepi kerana Anita mengaku, dia masih lagi seorang yang mengendalikan urusan secara tradisional – memuatkan segala butiran urusan dan jadual kerja di dalam buku catatannya daripada jenama LV. Justeru, beg tangan asas sentiasa diperlukan bagi membawa buku ‘cukup berharga’ itu.

“Selain buku berkenaan, Kak Nita juga selalunya meletakkan kad kredit, sedikit wang tunai, bedak, pelembap bibir dan telefon bimbit dalam beg tangan,” katanya apabila ditanya mengenai barangan yang sering dibawa bersama-sama dalam begnya.

Penyanyi yang juga pengacara terkenal ini tidak mengehadkan peruntukan tertentu untuk berbelanja membeli beg tangan. Begitu juga dia tidak membataskan berapa banyak perlu dibeli dalam sesuatu masa. Apabila dia dan suami terlihat sesebuah beg tangan yang dikira cukup menarik, maka ketika itulah si suami akan membelikannya.

Pasangan itu juga tidak memilih kota tertentu untuk membeli beg tangan. Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong atau Las Vegas, semuanya mampu untuk melemahkan lutut seandainya ada beg tangan yang membuatkan dia berasa cukup berkenan. Lagi pun, hampir keseluruhan beg berjenama adalah terkawal harganya.

“Abang Mahathir suka memanjakan Kak Nita dengan hadiah beg tangan. Tidak kira apa saja acaranya, dia akan belikan jika sudah menyukainya. Andai Kak Nita sendiri yang ingin membeli sesuatu, Kak Nita selalunya akan fikirkan dulu. Apabila sudah berkenan pula, barulah Kak Nita akan meminta pihak kedai menghantar ke rumah,”ῠujar Anita yang lebih suka menggunakan bagasi jenama LV untuk mengembara, kerana ketahanannya.

Pesan Anita, peminat jangan salah sangka dia hanya menggemari beg berjenama kerana fotografi pada hari itu sememangnya dirancang sedemikian.

Kata penghibur yang sentiasa kelihatan masuk gaya ini, dia turut memiliki beg tangan yang lebih murah, sesuai dengan kegunaan.

Diminta sedikit petua bagi menggayakan beg tangan, Anita yang memastikan semua koleksinya disimpan elok di dalam almari berkata, apabila seseorang wanita memiliki koleksi yang agak banyak, lebih mudah baginya untuk menggayakan sesuatu beg dengan pakaian yang dikenakan.

“Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan beg yang banyak, pilihlah beg tangan dengan warna asas ataupun beg tangan jenis tote. Ia lebih mudah untuk digayakan. Seperti Kak Nita, jika acaranya tidak formal, blaus putih dengan jeans serta beg tangan yang besar sudah cukup bergaya,” katanya.

INFO: Anita Sarawak

  • ANTARA beg tangan yang dibawa Anita untuk sesi fotografi tengah hari itu adalah daripada jenama LV, Dolce & Gabbana (D&G), Juicy Couture, Christian Dior, Farah Khan dan sebagainya.
  • ANITA juga memiliki beg yang hanya berharga RM60.
  • BAGASI LV yang digunakan oleh Anita untuk mengembara dibelinya di Singapura kira-kira 30 tahun yang lalu.
  • KATA Anita, beg tangan seeloknya disimpan di tempat yang tidak terdedah pada habuk. Sebaik-baiknya ia disimpan di dalam kotak atau beg kain. Selain dijaga dengan menyemburnya menggunakan semburan khas, beg yang sudah kotor pula boleh dihantar ke kedai untuk dibersihkan.
  • BAGI peminat Anita, penghibur ini muncul setiap Rabu, jam 10.30 malam menerusi siri Papaku Rock di Astro Ria. Dia turut mengacarakan rancangan Kwek Mambo, di saluran Astro Prima, setiap Isnin, jam 9.30 malam. Anita juga kini dalam perbincangan untuk menyambung tiga tahun lagi kontraknya bersama Astro.
  • BINTANG anggun ini ialah duta kepada beberapa jenama termasuk Anita Jujur Juice, Pensonic, Empire Classic Furniture dan Innomed.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: