Diana Pinta Pengertian

22 May

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

PERANCANGAN perkahwinan antara Diana dan Zamarul masih belum difikirkan.

KISAH percintaan mereka berdua sudah lama diketahui umum. Malah hubungan percintaan mereka pernah juga dilanda badai namun sama seperti pasangan bercinta yang lain, setiap dugaan itu dihadapi dengan penuh tabah.

Lautan mana yang tidak dilambung ombak, hanya kekuatan dan kesabaran mampu mengekalkan sesebuah hubungan.

Namun orang tua pernah berkata setiap perhubungan itu lebih indah jika dimeterai dengan sebuah ikatan yang sah.

Daripada mengambil masa yang lama bercinta dan akhirnya putus di tengah jalan akan lebih membuatkan hati yang menanggung lebih perit dan sakit.

Tetapi bagi aktres Diana Rafar, meskipun kisah percintaannya bersama pelakon kacak Zamarul Hisyam sudah melebih lima tahun dan ramai pihak sudah mula mempersoalkan ke mana arah tuju hubungan percintaan mereka, tetapi ia sedikit pun tidak memberi kudis di hatinya.

Meskipun ramai yang mula mendesak agar percintaan mereka itu diakhiri dengan ikatan perkahwinan namun bagi Diana mahupun Zamarul, kedua-duanya tidak mahu tergesa-gesa.

“Hubungan kami ini bukan untuk orang lain. Bukan untuk memuaskan hati semua pihak atau takut pada kata-kata orang. Buat apa nak fikir pasal perasaan orang lain, lebih baik kami berdua fikirkan masa depan kami,” jelasnya tenang membuka bicara hubungan percintaannya itu.

Menyambung perbualan pelakon ini mengharapkan pengertian semua pihak agar memahami situasi dirinya.

“Kahwin itu hak saya, jadi saya harap semua pihak supaya mengerti diri saya. Tak perlu tergesa-gesa sampai masanya pasti perkara yang baik itu akan terlaksana,” kata Diana tegas penuh makna.

Diana, 26, pada masa yang sama menyedari ada dakwaan yang tersebar luas buah hatinya mempunyai gadis lain dalam hidupnya.

Bagaimanapun, semua itu dianggap Diana sebagai gosip semata-mata.

“Sudah tentu ada yang menyampaikan berita Zamarul keluar dengan perempuan lain ke telinga saya, tapi bagi saya semua itu hal yang remeh.

“Selagi saya tidak nampak dengan mata saya sendiri jadi saya tak akan percaya. Malah saya tidak berkecil hati pun dengan gosip-gosip itu dan kalau boleh saya tak mahu tahu pun tentang gosip tersebut,” luahnya penuh jujur.

Jarang berjumpa

Lafaz pemilik nama sebenar Adiana Abdul Rafar ini lagi, kepercayaan antara satu sama lain merupakan tunjang utama hubungan dia dengan Zamarul berkekalan sehingga ke hari ini.

“Sebetulnya, kami sudah semakin jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan tugas sendiri.

“Tapi kita ini dah dewasa jadi tak ada masalah untuk berdepan dengan situasi sedemikian. Kita bukan lagi budak-budak,” jawab Diana menggambarkan kematangannya.

Menurutnya juga, setiap kali ada kelapangan masa, mereka akan memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Selalunya kalau berjumpa kami akan keluar makan bersama atau Zamarul menghabiskan masa di spa yang saya usahakan.

“Bukanlah satu masalah jika jarang berjumpa kerana kita dah tahu apa yang dilakukan oleh satu sama lain. Kami sibuk dengan kerjaya dan bukannya memisahkan diri atau melupakan antara satu sama lain,” katanya lagi.

Diusik tentang perkahwinan pantas adik kepada Linda Rafar ini memberitahu perkara tersebut masih belum ada dalam perancangan mereka berdua.

Alasan Diana sangat mudah iaitu: “Kami mahu beri tumpuan pada kerjaya dan perniagaan masing-masing.”

D Lugano permata hati Diana

Dalam pada itu, Diana juga galak bercerita tentang spa miliknya yang baru sahaja dibuka lima bulan lalu.

Memberi nama D Lugano, spa tersebut memberikan pelbagai perkhidmatan dan menjual pelbagai produk kecantikan seperti Jamu Dara Semula dan produk kecantikan Cenderawasih.

Memilih lokasi di no. 58, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, Diana mengharapkan spa berkenaan akan mendapat sambutan hebat daripada mereka yang gemar memanjakan diri.

Harapan itu sangat besar buat Diana lantaran spa berkenaan diasaskannya hasil jerit perihnya dalam dunia hiburan.

Terang anak bongsu daripada enam beradik ini lagi, ada sebab mengapa dia memilih untuk mengendalikan perniagaan tersebut secara sendirian.

“Kakak-kakak saya semuanya ada perniagaan sendiri. Jadi tak salah saya usaha sendiri spa ini.

Saya sanggup berehat dari berlakon selama sembilan bulan semata-mata mahu memberi tumpuan pada perniagaan ini.

“Modalnya saya kumpul sedikit demi sedikit dari hasil lakonan saya. Memang pada mulanya saya khuatir juga sama ada akan berjaya atau tak perniagaan ini. Tapi saya mengambil cabaran untuk mengusahakannya juga. Sama ada berjaya atau tak itu lain cerita,” katanya penuh optimis.

Berkonsepkan dalam rumah ada rumah, rekaan dalaman spa tersebut merupakan hasil sentuhan Zamarul sendiri.

Kata Diana: “Dia ada kepakaran dalam mencipta rekaan, jadi tak salah saya meminta dia menolong saya menghasilkan rekaan untuk spa saya ini.”

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: