Filem Pengarah Sempurna

22 May

Oleh JESSABELL SOO


TEONG HIN memberi arahan kepada pelakon-pelakon di lokasi.

APABILA pengarah Saw Teong Hin menyatakan hasrat untuk membikin filem genre romantik komedi, ramai pihak yang terkejut.

Bukan kerana menafikan kredibiliti pengarah berpengaruh ini tetapi dia dilihat cukup sinonim dengan karya lebih berat atau artistik sifatnya.

Kejayaannya membikin filem Puteri Gunung Ledang (PGL) pada tahun 2004 telah membuatkan Teong Hin dilabel sebagai pengarah filem berbajet besar dengan genre serius. Dan selepas empat tahun mendiamkan diri, dia kembali dengan filem bajet sederhana berjumlah RM1.4 juta, Apa Kata Hati.

Hanya mengambil masa 27 hari penggambaran dan menggunakan material terhad, Teong Hin memberitahu dia ingin bereksperimen dan mencuba genre berlainan.

Tidak mahu dibandingkan karya barunya dengan PGL, pengarah berusia 44 tahun ini meminta penonton menyaksikan filem ini dengan minda terbuka dan menerimanya.

“Sudah lama Tayangan Unggul meminta saya membikin filem tetapi tidak menjumpai skrip yang bersesuaian. Selepas bersuka ria selama empat tahun, saya ditawarkan dengan skrip ini.

“Ramai sebenarnya yang tidak tahu bahawa saya peminat filem romantik komedi. Saya jiwang tetapi ramai ingat saya serius terutamanya selepas PGL,” kata Teong Hin sebelum tayangan perdana filem Apa Kata Hati.

Mengolah cerita dengan beberapa filem kegemarannya, salah satu elemen utama yang digunakan adalah idea daripada filem What Women Want (2000) lakonan Mel Gibson dan Helen Hunt.

Di dalam filem itu, Gibson berupaya mendengar isi hati kaum wanita selepas satu kemalangan. Dan di dalam filem ini pula, Elly (Raja Farah) berupaya mendengar suara hati kaum lelaki selepas berubat dengan bomoh.

“Selain idea sendiri, saya ada memasukkan elemen-elemen menarik daripada filem kesukaan saya. Maka saya mengadun semua itu dan penonton boleh menyaksikan beberapa babak yang didapati dalam filem lain,” jelasnya lagi.


FARID KAMIL dan Raja Farah teraju utama filem Apa Kata Hati.

Teong Hin juga memainkan peranan untuk mempromosikan bandar raya Kuala Lumpur yang selalu digambarkan sebagai satu tempat yang penuh dengan kekotoran dan dadah. Baginya KL turut mempunyai sisi indah.

Menariknya, filem ini turut memaparkan 17 cameo yang terdiri daripada Rosyam Nor, Sofea Jane, Erma Fatimah, Umie Aida, Vanidah Imran, Adlin Aman Ramlie, Mamat Khalid, Saharuddin Thamby, Radhi Khalid, Nasir Jani, Syanie, Joanne Kam Po Po, Mek (Nik Sayyidah), Murali Abdullah, Mila, Dafi dan Farha.

“Saya mengagumi lakonan ramai pelakon tetapi tidak mampu meletakkan mereka semua sekali. Jadi saya memaparkan sebanyak boleh pelakon yang ingin saya bekerjasama,” tambahnya.


APA Kata Hati, sebuah filem genre romantik komedi menyaksikan kepelbagaian Teong Hin dalam bidang pengarahan.

Bukan sahaja dibarisi oleh pelakon muda berbakat, Teong Hin juga berjaya menarik perhatian Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) yang sudah 14 tahun tidak aktif di skrin layar.

Ogy yang berminat dengan kerja dibelakang tabir sebagai pengarah ternyata ‘termakan’ juga dengan pujukan Teong Hin untuk menyertai pelakon lain dalam filem berkenaan.

“Ramai orang bertanya sama ada saya takut untuk mengarahkan Ogy. Dia pelakon profesional dan banyak memberikan idea seperti pelakon lain. Kami bekerjasama dengan baik.

“Bekerja dengan pelakon hebat seperti Ogy juga satu pengalaman kepada saya dan pelakon muda lain,” tambah Teong Hin.

Satu lagi tarikan yang menyuntikkan elemen komedi dalam filem ini adalah penglibatan Awie sebagai ‘pondon’ bernama Soffi. Imejnya yang rock memakai solekan dan pakaian renda menguji dirinya sebagai pelakon.

“Sebenarnya dia sendiri yang meminta untuk menjayakan watak ini. Memang dia berwajah lasak dan kami sendiri terkejut apabila dia ingin menjayakan watak ini. Awie memberitahu bahawa dia sudah lama menunggu watak sebegini kerana selalu memainkan watak hero,” ujar pengarah ini.

Apa Kata Hati akan berada di 41 pawagam seluruh negara bermula 29 Mei ini.

Apa kata pelakon

* Farid Kamil (Aidil)

Menafikan bahawa dia ‘lari’ daripada watak serius, Farid memandang berat terhadap semua watak yang dipegangnya. Mungkin penonton melihat watak ini mudah, tetapi baginya penyampaian watak ini agak sukar.

“Masa penggambaran bercanggah dengan filem Evolusi KL Drift. Namun, saya menerimanya kerana Teong Hin. Saya ingin berlakon dengan pengarah yang menggunakan pendekatan berbeza.

“Setiap pergerakan dan penampilan dijaga olehnya dengan terperinci. Pendek kata dia pentingkan kesempurnaan,” kata Farid yang terganggu semasa berlakon apabila melihat Awie berpakaian wanita.

* Raja Farah (Elly)

Selepas Salon, ini merupakan kali kedua Farah diberikan peluang untuk memegang peranan utama.

Walaupun wataknya nampak mudah, Farah sebenarnya menangis semasa proses rakaman.

“Salah satu babak di rumah Aidil, saya bersama Farid dan Teong Hin berbincang sehingga saya menangis.

“Saya tidak dapat melakukan ekspresi yang dikehendaki dan kami berlatih lebih satu jam.

“Susah untuk memenuhi kehendak Teong Hin tetapi hasilnya amat memuaskan. Satu lagi kesukaran yang dihadapi adalah semasa melakonkan babak mendengar pemikiran lelaki kerana ketika itu saya sebenarnya tidak mendengar apa,” katanya.

* Awie (Soffi)

Masih mempunyai janggut walaupun memainkan watak ‘pondan’, Awie tidak mahu mengehadkan dirinya dengan satu jenis watak sahaja. Mahu memperbaiki diri sebagai pelakon, dia ingin melihat sejauh mana bakatnya.

“Sebab utama saya memilih filem ini juga disebabkan Teong Hin. Pada saya ia sebuah watak yang sukar kerana berlainan dengan dunia saya. Lepas ini saya perlu bersembunyi selama tiga bulan (ketawa).

“Namun, imej saya tidak terjejas kerana sebagai pelakon, kita perlu memainkan watak yang belum pernah dicuba. Kalau lepas ini diminta untuk menjadi iman, saya juga akan terima,” katanya.

* Ogy (Rosmah)

Berasa seronok selepas menonton dirinya melakonkan watak di luar jangkaan. Pun kata Ogy sebab utama dia menyertai filem ini kerana pengarahnya, Teong Hin.

“Seronok rasanya dapat melangkah semula ke lokasi penggambaran. Sebagai pelakon, saya sukakan Teong Hin kerana dia berani untuk menegur saya.

“Semasa berlakon, kita tidak tahu kesilapan dan adalah penting jika kita ditegur pengarah.

“Saya tidak mengambil kisah sama ada ia watak sampingan atau utama semasa menerima watak ini. Cuma apa yang saya fikirkan adalah sama ada saya mampu menjayakan watak ini selepas 14 tahun.”

* Awal (Riezman)

Bertuah kerana berjaya mendapatkan watak dalam filem ini, Awal sebenarnya juga ada menguji bakat untuk peranan lain. Mengidamkan kerjasama bersama Teong Hin, Awal menyatakan bukan mudah untuk berada dalam produksi ini.

“Ramai orang yang mengimpikan watak ini tetapi jatuh ke tangan saya. Sebenarnya saya trauma bekerja dengan Teong Hin kerana dia terlalu sempurna. Setiap inci di atas badan saya diperiksa berkali-kali. Tetapi saya berasa puas dengan hasilnya,” jelasnya.

Powered by Kosmo

One Response to “Filem Pengarah Sempurna”

  1. Melangkah Derita July 14, 2011 at 1:25 pm #

    apa kata buat filem rock 80’an?

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: