IAC Platform Band Indie Bebas Berkarya

22 May

Oleh Rozdan Mazalan


BERTENAGA: Band Steeltoe Solutions ketika membuat persembahan.

Kelab untuk pemuzik tempatan perjuang industri hadapi saingan dari luar negara

BAND indie atau underground semakin menunjukkan kehadiran mereka dalam industri muzik tanah air. Ini satu perkembangan yang baik kerana ia sekurang-kurangnya memberi satu harapan bahawa negara tidak ketandusan pemuzik.

Hakikatnya, kebanyakan kumpulan ini sudah lama bertapak tetapi hanya dikenali di kalangan pengikut mereka saja. Malah, sejak akhir-akhir ini mereka semakin mendapat perhatian dan semakin mengukuhkan kedudukan dalam kelompok pemuzik arus perdana.

Kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussain, Pop Shuvit dan Estranged adalah contoh kumpulan muzik bebas yang semakin mendapat tempat di kalangan peminat dunia hiburan tanah air terutama remaja. Karya dan muzik mereka juga segar dan mudah diterima peminat muzik.

Kebangkitan semula band tempatan ini sebenarnya mampu mewujudkan saingan kepada band luar terutama daripada Indonesia dan memberi pilihan kepada peminat hiburan tanah air.

Hujung tahun lalu, band indie ini melangkah setapak lagi dengan menubuhkan Independent Artiste Club (IAC) bagi memberi peluang kepada band tempatan untuk mengetengahkan karya bebas mereka. Kini lebih 70 band tempatan sudah berdaftar dengan kelab itu. Bayangkan jika 50 peratus daripada mereka adalah band yang berkualiti, industri muzik tidak lagi gersang dan terpaksa mengimport band luar negara.

Sejajar dengan usaha mereka untuk menyediakan platform kepada band indie untuk mengembangkan karya mereka, IAC menganjurkan Nokia IAC Live @ Zouk KL untuk memberikan pengalaman sebenar kumpulan pemuzik bebas yang juga ahli IAC.

Majlis itu bukan saja menampilkan 22 persembahan pelbagai aksi namun turut menganjurkan enam klinik kemahiran muzik bersama tokoh pemuzik terkenal.

Vokalis kumpulan Steeltoe Solutions, Maya berkata, penganjuran program itu memberi pengalaman menarik buat mereka selain mengenali pemuzik lain yang turut memperjuangkan muzik yang sama.

“Saya berbangga kerana IAC menjadi platform kepada band seperti kami mengetengahkan hasil karya seni muzik kami yang datang dari pelbagai latar tetapi memperjuangkan matlamat yang sama.

“Secara jujur bukan kita tidak mahu memasuki arus perdana tetapi realitinya muzik kita sukar untuk diterima kebanyakan orang dan kita cuma mempunyai pengikut yang minoriti saja.

“Bagi kami ego juga bukanlah persoalannya, namun agak kecewa apabila kemasukan artis luar seperti dari Indonesia mendapat jalan mudah untuk memasarkan karya mereka di negara kita.

“Kami bangga kerana band seperti Meet Uncle Hussain, Hujan, Silent Scream dan The Times yang dulunya turut dikenali sebagai band underground kini menjadi pelapis kebangkitan semula band tempatan,” katanya selepas mengadakan persembahan malam itu.

Selain Steeltoe Solutions, pemuzik lain yang turut membuat persembahan ialah Pete Teo, Auburn, The Times, They Will KIll Us All, Azmyl Yunor, DJ Fuzz dan Point Blanc manakala kesan bunyi oleh Stonebay, Alaling dan Brainhead.

Pada malam itu, Zouk Club KL dibahagikan kepada tiga ruang di mana bilik utama menjadi tempat persembahan aksi persembahan rock, bilik Velvet Undrground memberi ruang buat deejay dan aksi hip hop manakala Terrace Bar menampilkan melodi indah nukilan pencipta lagu.

Sambutan yang menggalakkan dan sokongan kumpulan pemuzik bebas ini dapat dilihat dengan kesungguhan dan bilangan penyertaan yang diterima. Zouk Club juga ingin sekali menjadikan acara ini sebagai persembahan tahunan di mana misi utama adalah menyediakan landasan bagi artis bebas ini berkarya dan berhubung dengan peminat mereka.

Peminat muzik bolehlah mengakses ke http://www.nokia.com.my/iac dan mendaftar untuk membolehkan muat turun rangkaian lagu secara percuma.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: