Mampukah Akademi Fantasia Terus Bertahan?

26 May

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

UMUM pastinya mengetahui bahawa Akademi Fantasia musim keenam (AF6) tidak begitu hangat sebagaimana AF pernah mencipta satu fenomena luar biasa pada tahun 2003.

Entah pada siapa perlu dituding jari untuk mencari di mana silapnya AF6 sehingga tidak mampu untuk mencapai kehangatan yang pernah dikecapi sebelum ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Astro sejurus selepas berakhirnya konsert akhir AF6 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam Sabtu lalu, sudah cukup memberi bukti bahawa AF6 mencatatkan penurunan jumlah undian yang cukup drastik.

Sepanjang 10 minggu AF6 berlangsung, jumlah undian yang diterima hanyalah 3.8 juta dan pada konsert akhir pula berjaya mengumpulkan 879,000 undian sahaja sekali gus AF6 dianggap sebagai yang paling kecil daripada segi jumlah undian yang diterima.

Sekadar menyingkap sejarah, AF1 misalnya berjaya mencatatkan jumlah undian yang boleh dianggap membanggakan iaitu sebanyak 4.5 juta walaupun ketika itu, AF baru sahaja bermula dan masyarakat baru hendak mengenali rancangan realiti.

Seterusnya, AF2 mencatatkan jumlah undian yang paling banyak iaitu 15 juta undian dan AF2 juga dianggap berjaya melahirkan ramai peserta serta menonjolkan pelbagai bakat yang ternyata menarik perhatian penonton.

Malah, selepas keluar daripada AF2 pun, kebanyakan bekas pesertanya berjaya mencipta kejayaan yang cukup membanggakan seperti Zahid, Adam, Kaer, Farah dan Bob.

AF3 pula, tiada siapa yang mampu menidakkan populariti yang ditempa hanya kerana seorang insan yang menyertainya iaitu Mawi. Namun pun begitu, kehadiran Mawi ketika itu sedikit pun tidak mampu berjaya meningkatkan jumlah undian apabila hanya sekadar mencatatkan 10.9 juta sahaja.

Bermula detik itu, jumlah undian semakin menurun apabila AF4 mencatatkan 7 juta undian termasuk 1.21 juta undian menerusi AFMASUK dan AF5 (6.6 juta).

Daripada statistik ini sudah cukup memberi tanda bahawa AF tidak lagi berupaya untuk memikat hati pengundi dan masyarakat Malaysia untuk terus menatap serta menjadikan AF saban tahun sebagai santapan harian mereka menerusi diari dan konsert.

Mungkin kini, penonton juga semakin bijak untuk mengundi seandainya bakat yang mereka rasakan itu tidak menyakinkan serta tidak mampu untuk di bawa jauh di dalam industri.

Ataupun mungkin kini, penonton juga mempunyai pilihan berdasarkan lambakan rancangan realiti yang ada di negara ini yang merasakan lebih layak untuk dilaburkan wang daripada undian SMS mereka.

Ini sendiri diakui oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah saat ditebak dengan pelbagai soalan daripada pihak media sewaktu sidang akhbar konsert akhir AF6, Sabtu lalu.

“Seperti yang pernah saya katakan beberapa tahun lalu, AF tidak bergantung sangat kepada SMS daripada pengundi dan peminat setia AF kerana kami tahu, mereka mempunyai pilihan untuk berbuat demikian.

“Tetapi, apa pun yang terjadi, kami masih lagi menganggap AF tetap relevan dengan masyarakat hari ini dalam mencungkil bakat-bakat baru serta menjadikan mereka seorang bintang baru di persada seni tanah air,” katanya panjang lebar.

mengembangkan

Katanya, AF merupakan landasan terbaik untuk mengembangkan bakat mereka dan beliau percaya, dengan kemenangan Stacy, misalnya, ia membuktikan bahawa pengundi kini semakin bijak dalam menentukan hala tuju seseorang peserta itu dalam industri hiburan tanah air.

Malah, beliau juga sempat memberikan contoh kejayaan Noorsyarmilla Jirin atau Mila yang dilahirkan oleh AF dan juga juara AF5 yang telah mencipta kejayaan di luar negara dalam satu festival muzik yang diadakan di Bulgaria baru-baru ini.

Zainir juga memberi gambaran awal bahawa AF bakal memasuki musim terbarunya tahun hadapan berdasarkan apa yang telah mereka kecapi menerusi AF6.

“Sudah pasti, selepas ini, kami akan duduk berbincang dan cuba mencari kelemahan serta jalan penyelesaian untuk terus menjadikan AF sebagai rancangan realiti kegemaran rakyat Malaysia,” ujarnya penuh optimis.

Mungkin ramai yang mahu AF direhatkan seketika untuk dua atau tiga tahun kerana kata mereka, bakat-bakat yang dicungkil menerusi rancangan itu sudah tandus dan kering.

Seandainya diteruskan juga, mungkin AF akan terus berdepan dengan situasi yang agak buruk apabila melahirkan bakat-bakat yang kurang berkualiti.

Sedangkan rancangan realiti popular di Amerika Syarikat iaitu American Idol juga berdepan dengan situasi yang sama apatah lagi industri hiburan kita yang skopnya jauh lebih kecil.

Setidak-tidaknya, American Idol membariskan bakat-bakat yang ternyata mempunyai mutu vokal yang baik serta diiringi oleh personaliti yang menarik dan mampu menarik perhatian peminat industri hiburan negara itu.

Tetapi, bagaimana pula dengan kita? Sudahlah bakat yang dipilih pun tidak begitu menyakinkan, personaliti yang ditonjolkan juga kurang menarik.

Namun, di sebalik itu, bukanlah semua bakat yang dilahirkan oleh AF dan rancangan realiti lain tidak bagus. Memang tidak dinafikan ada mereka yang berbakat serta diiringi personaliti yang menarik.

Bukan itu sahaja, peranan Maestro Records Sdn. Bhd. juga amat penting dalam menentukan hala tuju bintang-bintang AF yang dijadikan artis di bawah naungan mereka.

Jangan anggap mereka baru hendak mengenali dunia artis, mereka hanya sekadar diberikan lagu-lagu yang bagaikan tangkap muat sahaja untuk album mereka demi menjimatkan kos penerbitan. Mereka juga berhak diberikan peluang apa yang mereka mahukan dalam menentukan hala tuju mereka dalam industri.

Mungkin juga sudah tiba masanya, Maestro yang diketuai oleh Freddie Fernandez selaku Ketua Pegawai Eksekutif perlu memikirkan mekanisme baru untuk terus melahirkan produk yang berkualiti serta menjaga bakat-bakat ini sebaiknya. Bak kata pepatah, belakang parang jika diasah lagikan tajam.

Sejauh mana AF mampu bertahan, semuanya terletak di tangan Astro. Jangan hanya mahu mengejar keuntungan semata-mata, bakat ditolak ketepi. Perlu difikir, masyarakat kini semakin hari sudah semakin bijak menilai. Jadi, tepuk dada, tanyalah selera.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: