Erti Sebenar Hari Seniman

3 Jun

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

Tarian Selamat Datang pelbagai kaum sebagai pembukaan majlis sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008.

SENIMAN merupakan orang yang mampunyai bakat seni, mencipta hasil seni dan memperagakan karya-karyanya. Lebih jauh, ia merupakan insan-insan yang berjaya membawa perubahan serta memberi sumbangan besar terhadap perkembangan seni dan budaya negara. Tidak kira seni budaya mahupun seni hiburan, hakikatnya merekalah pencetus kepada pelbagai ideologi dan perubahan baru terhadap perkembangan budaya dan kesenian sesebuah bangsa.

Nama-nama besar seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Musthapha Maarof, Datin Rosnani Jamil dan Datuk Aziz Sattar merupakan antara mereka yang berjaya dan layak digelar seniman dan seniwati industri perfileman Malaysia.

Ibarat lilin yang membakar diri, mereka umpama penyuluh kepada corak persembahan dan idea pembikinan filem serta rujukan kepada para pelapis serta penggiat seni perfileman tempatan dewasa ini.

Tidak kurang juga mereka yang memberi sumbangan terhadap seni teater negara, pastinya tidak kita lupa pada nama-nama seperti Allahyarham Mustapha Nor, Datuk Syed Alwi, Datuk Rahim Razali, Datuk Faridah Merican dan Ahmad Yatim yang berjaya meningkatkan taraf seni teater negara.

Bagi seni lukis, seni kraf dan arca pula, kita sering mengagumi buah tangan daripada Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok, Zainab Mamat, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Hossein Enas dan juga Latiff Mohidin.

Sementara dalam bidang sastera serta penulisan pula, kita tidak ketinggalan membaca karya-karya hasil nukilan oleh Allahyarham Datuk Dr. Othman Awang, Datuk Nordin Hassan dan Datuk A. Samad Said.

Justeru, atas dasar menghargai segala pengorbanan dan sumbangan golongan seniman dan seniwati negara yang banyak berjasa, maka tanggal 29 Mei pada setiap tahun dipilih sebagai tarikh keramat bagi memperingati jasa golongan tersebut.

Buat pertama kalinya, Hari Seniman Kebangsaan disambut pada 29 Mei lalu.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pastinya ia membawa makna tersendiri kepada golongan yang telah banyak menabur bakti bagi memperjuangkan hasil seni dan karya mereka.

Lantas, slogan Seniman Obor Budaya dilihat bertepatan dengan maksud yang mencerminkan bertapa kesungguhan para seniman dan seniwati terdahulu jelas dipantulkan kepada perkembangan seni budaya tanah air dewasa ini.

Pelbagai falsafah, nilai-nilai murni, cara hidup, semangat perpaduan bangsa yang diterap pada karya-karya agung terdahulu termasuk seni tari, seni tampak dan seni halus serta ukiran yang menjadi lambang budaya negara dari zaman kesultanan Melayu sehingga ke hari ini.

Tidak ketinggalan, penceritaan dalam sesebuah penulisan dan sastera, karya filem seperti Semerah Padi, Ibu Mertuaku dan Bukit Kepong ternyata mampu menyuntik semangat patriotik, perpaduan dan moral tersendiri di kalangan masyarakat tempatan.

Wayang Kulit adalah antara produk seni tempatan yang tidak kurang hebatnya. Sama seperti cabang kesenian tradisional lainnya seperti Mak Yong dan Menora.

Lalu, wayang kulit menjadi pilihan tahun ini sebagai logo rasmi sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Musthapha Maarof ketika ditemui pada majlis perasmian sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008, menyatakan bahawa hari tersebut merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap insan seni.

“Ini bermakna kerajaan sudah memberi pengiktirafan yang besar terhadap insan seni tidak kira seni budaya ataupun seni hiburan, sehingga ada satu hari yang dikhaskan untuk memperingati para seniman negara.

“Sekarang sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai orang-orang seni untuk sama-sama menyahut seruan kerajaan,” kata beliau sejurus selesai majlis tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang Jun ini bagi menjayakan bulan seniman negara itu.

Antara aktiviti yang menarik untuk dikongsi ialah Malam Anugerah Tinta yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pukul 8 malam pada 13 Jun ini.

Antara lain ialah Apresiasi Seni Penulisan dan Sastera pada 14 Jun ini pukul 10 pagi di Perpustakaan Negara dan Seminar Industri Filem dan Muzik – 5 Tahun Kehadapan pada 21 Jun ini pukul 9 pagi di Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Selain itu, Malam Penghargaan Industri Filem 2008 bakal berlangsung pada 27 Jun pukul 8 malam sementara Seniman Malaysia Di Persada Dunia pula bakal berlangsung di Muzium Negara pada 28 Jun pukul 9 pagi.

Artis muda dan popular kurang kesedaran?Pada majlis yang dihadiri oleh lebih 1,200 hadirin itu, menyaksikan para pelakon senior, para penggiat seni serta para karyawan hadir memeriahkan majlis tersebut.

Antara artis senior yang hadir termasuklah Mariani, Hasyimah Yon, Aspalela Abdullah, Wahid Satay, Datuk Aziz Satar, Tan Sri Jins Shamsuddin, S. Samsuddin, Datuk Yusni Hamid, Datuk Maria Menado, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Seri Tiara Jacquelina dan Fauziah Nawi.

Bagaimanapun, kelibat artis muda dan baru agak kurang kelihatan. Antara artis muda yang hadir termasuklah Noraniza Idris, Imuda, Farid Kamil, Noniswara, Ahmad Idham, Norman KRU dan Iqwal.

Persoalannya, mengapakah sambutan yang dilihat sebagai mengiktiraf golongan seni seperti itu agak suram dan seakan-akan dipinggirkan oleh barisan artis muda dan popular?

Mungkinkah perkataan ‘seniman’ itu sendiri bagi mereka lebih sinonim atau merujuk kepada barisan para artis senior semata-mata? Tepuk dada tanyalah selera.

Ketika diminta mengulas tentang ketidakhadiran para artis muda dan popular, kata Datuk Musthapha Maarof: “Pada saya mereka yang tidak dapat datang itu anggap sahaja mungkin sebab mereka sibuk dengan kerja. Kalau mereka ada rasa sedikit tanggungjawab, pasti mereka akan hadir sebab Perdana Menteri pun boleh datang.

“Kita tidak rasa kecewa, ini adalah sambutan untuk semua insan seni bukan tertumpu kepada mana-mana individu. Apa yang berlaku hari ini cukup memberi kesedaran kepada kita,” kata beliau mengakhiri perbualan.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: