Kisah Dua Bapa Selebriti

10 Jun

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Apakah keterujaan dua bapa selebriti, Mohd Faisal Yusup dan Mohd Faizal Ismail, tatkala mengimbas kenangan kali pertama menjadi bapa?

“KALAU beginilah seronoknya bergelar suami, tamat sahaja persekolahan saya sudah ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Sukar gambarkan perasaan saya pada ketika ini, apatah lagi selepas dua bulan bergelar bapa. Ia suatu perasaan yang begitu menyeronokkan.

“Kehadiran Rayyan sememangnya memberikan kenangan manis dan sekali gus menyerikan rumah tangga saya dan isteri. Jika orang katakan kelahiran anak saya merupakan hadiah sempena hari bapa, tapi bagi saya dia adalah harta yang paling bernilai di dunia,” luah pelakon dan model iklan, Mohd Faisal Yusup, 30, sambil mengusap dan mencium pipi putera sulungnya.

Suami kepada penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali dengan panggilan Nana, 24, putera sulungnya yang diberi nama Muhammad Rayyan Nakhaie telah memberi sinar baru dalam kehidupannya kini. Sebaik dilahirkan pada 21 Mac 2008, Faisal terus mengendong erat Rayyan, lantas melaungkan azan di telinganya.

MOHD FAISAL mengakui kelahiran Muhammad Rayyan Nakhaie memberi makna yang cukup besar kepada dirinya.

Pada detik itulah, air mata kegembiraan Faisal tumpah. Pada masa yang sama wajah bapanya mula menerjah dalam kotak fikirannya.

“Setiap kali melihat wajah Rayyan, saya sentiasa memikirkan mampukah saya menjadi seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab seperti bapa saya. Kini saya mula mengerti inilah perasaan golongan bapa yang selalu berusaha dan sanggup melakukan apa sahaja, demi kebahagiaan anak-anak,” ujarnya yang sempat mengucapkan terima kasih dan Hari Bapa kepada bapanya, Mohd Yusup Abdul Rahman, 57.

Mengimbas kembali saat isterinya hamil, Faisal yang pernah membintangi drama Neon, Zarul vs Zarina, Surat untuk Bulan dan telenovela Manjalara, melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta tidak mengalami sebarang alahan yang teruk apatah lagi mengidamkan makanan yang pelik-pelik.

KELUARGA bahagia Mohd Faizal Ismail (kiri), Nurkhairina Iman dan isteri, Norazlina Ahmad Din.

Kebanyakan makanan yang diidamkan mudah untuk didapati dan disediakan. Tambahnya: “Pernah juga, selesai saja penggambaran, Nana menghubungi bahawa dia teringin benar mengunyah donat dan minta saya membelinya. Tapi, dia hanya mahukan donat J. Co di Pavilion.

“Maka, terpaksalah saya beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan donat. Tidak mengapa asalkan Nana gembira. Namun, saya rasa sedikit kecewa kerana tidak dapat membeli biskut kegemarannya, Famous Amous, pada waktu itu.

Bukan itu sahaja, Faisal memberitahu, ketika kandungan Nana berusia tiga bulan, dia turut mengalami masalah mengidam. Setiap hari dia ingin menikmati buah durian, sedangkan, Faisal bukanlah penggemar raja buah itu.

Sementelah wajah Nana disolek, Faisal yang mengambil tugas menjaga dan melayan Rayyan. Cukup terserlah ciri-ciri seorang bapa dalam dirinya. Tatkala bayi comel seberat 6.9 kilogram itu menangis, Faisal langsung tidak menunjukkan reaksi kelam kabut atau memerlukan bantuan Nana, sebaliknya dengan pantas memberikan anaknya susu.

Dia juga menukarkan lampin dan baju, sebelum mendodoikan Rayyan yang tertidur dalam kereta sorong. Jelas penggemar sukan takraw ini, dia tidak pernah mengalami sebarang kesukaran menjaga anaknya. Lagipun anaknya tidak banyak meragam dan menangis kecuali ketika lapar dan hendak tidur.

Faisal memberitahu, meskipun sibuk dengan penggambaran drama, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Ketika Nana sarat hamil, Faisal turut membantu menggemas rumah, menyapu sampah, memasak dan membeli keperluan bayi.

“Tapi, biasalah bab memilih pakaian dan perkakas bayi, si ibulah yang paling teruja. Nana banyak membeli pakaian bayi berona ceria seperti biru, putih dan kuning kerana ia sesuai digayakan oleh bayi lelaki. Namun begitu sewaktu sibuk membeli saya menyarankan supaya tidak membeli baju yang berjenama dan mahal harganya.

KELETIHAN Mohd Faizal Ismail bekerja seharian di konti hilang sebaik bertemu ‘buah hati’nya, Nurkhairina Iman.

“Ini kerana saiz badan bayi cepat membesar, membazir sahaja. Lagipun, tak nak biasakan Rayyan dengan pakaian yang mahal,” ujarnya yang lebih mementingkan soal kualiti dan keselesaan.

Sementara itu, penyampai radio Hot. FM, Mohd Faizal Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan FBI, 32, bersama puteri tunggalnya, turut berkongsi saat-saat manis dan pahit tatkala pertama kali bergelar bapa.

Pertemuan yang diaturkan di rumahnya di Bandar Sri Damansara, sentiasa riuh dengan gelak ketawa. Mengapa? Mengusik orang bukan sahaja ada pada diri FBI, malah isteri dan anaknya.

“Beginilah kehidupan saya sebagai seorang bapa dan suami. Meskipun penat dengan tugasan harian di konti radio mahupun pengacara, tapi penat itu akan hilang sebaik sahaja pulang ke rumah. Ini kerana saya akan digembirakan oleh anak saya, Nurkhairina Iman, 6 tahun.

“Saya dan isteri memanggilnya Kayna. Terus-terang saya katakan, Kayna adalah segala-galanya buat diri saya. Terlalu banyak perkara yang perlu saya tempuhi sebelum melihatnya lahir,” jelas FBI yang turut menjadi pengacara rancangan Muzik-Muzik di TV3.

Jelas Faizal, perasaannya bukan sekadar teruja malah diselubungi rasa gementar sebelum bergelar bapa. Sepanjang mengandungkan Kayna, isterinya, Norazlina Ahmad Din, 32, mengalami masalah alahan yang teruk, sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital sebanyak empat kali.

Lebih membimbangkan, saat Norazlina melahirkan Kayna. Doktor menyarankan Norazlina bersalin melalui pembedahan kerana tali pusat Kayna sudah terbelit di leher. Demi menyelamatkan dua nyawa, FBI akur dengan arahan doktor.

WALAUPUN pertama kali bergelar bapa, Faisal tidak kekok melayan kerenah anak sulungnya, Muhammad Rayyan Nakhaie.

“Masa mengisi borang untuk pembedahan, hanya Tuhan sahaja yang mengerti perasaan saya. Menggigil memegang pen. Saya turut berada di samping isteri di bilik pembedahan dan isteri juga dalam keadaan separuh sedar. Syukur, semuanya selamat.

“Perasaan gementar untuk bergelar bapa buat kali kedua, sekali lagi menerpa. Jika anak pertama kami, isteri terpaksa masuk wad sebanyak empat kali, tapi kali ini Norazlina terpaksa masuk sembilan kali untuk kelahiran yang kedua,” luah Faizal mengenai arwah anak lelakinya, Adam Haikal Iman yang hanya sempat bersama selama 12 hari sahaja.

Tambah Faizal, Adam bukan sahaja lahir tidak cukup bulan, malah berat badannya juga hanya 2.17 kilogram. Sekali lagi, FBI perlu mengisi borang pembedahan kerana bayi perlu dilahirkan lebih awal memandangkan isterinya mengalami hipertensi.

Pada hari kesembilan kelahiran Adam, bayi itu terpaksa dihantar ke hospital kerana mengalami demam kuning selama dua hari. Belum pun sempat menarik nafas lega, Faizal dikejutkan pula dengan berita yang anak lelakinya ada masalah ritma jantung laju.

“Takdir menentukan Adam meninggalkan kami pada 29 April 2008. Meskipun sedih dengan pemergian zuriat yang dinanti-nantikan selama lima tahun, saya dan isteri reda. Kehidupan perlu diteruskan,” jelas anak kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: