Kegagalan Mematangkan Syed Azmir

8 Jul

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SYEN Azmir yakin media dan artis negara ini menerima kehadirannya dengan baik biarpun dia berasal dari Singapura.

CUBAAN pertamanya menerusi album sulung berjudul Prosa X yang muncul di pasaran April tahun lalu dilihat bagaikan gagal menaikkan nama serta populariti artis tinggi lampai dari Singapura ini.

Mempertaruhkan konsep progresif rock, namun entah di mana letaknya kesilapan, kehadirannya sebagai penyanyi umpama tidak dirasai andai dibandingkan dengan rakan senegaranya yang lain seperti Aliff Aziz, Imran Ajmain atau Taufik Batisah.

Selepas merangkul gelaran naib juara dalam program realiti Anugerah terbitan sebuah stesen televisyen Singapura sekitar 2005, popularitinya seolah-olah tenggelam hingga menimbulkan rasa kecewa.

Sungguhpun begitu, empunya diri bernama Syed Azmir Syed Azman yang baru sahaja menjangkau usia 24 tahun pada 26 Jun lalu nyata enggan mengaku kalah dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran.

“Memanglah kecewa kerana ia melibatkan karier dan saya amat mengambil berat akan perkara ini. Bagi saya, sambutan terhadap album pertama cukup baik walaupun hakikatnya tidak ramai yang mengenali diri saya.

“Mungkin kurang promosi agaknya berbanding artis-artis Singapura lain. Tapi tidak mengapa kerana itu semua adalah pengajaran dalam mematangkan saya,” katanya kepada Hits pada sesi fotografi di studio Utusan, baru-baru ini.

Syed Azmir merupakan artis naungan Wake The Baby Records, sebuah syarikat rakaman milik komposer terkenal, Ajai.

Album Prosa X menampilkan 10 buah lagu seperti Kuasa Cintamu, Episod Lelaki, Padamkan Cerita Cintaku dan Pandangan Pertama.

Ujar Syed Azmir, meski menyedari tidak begitu dikenali, dia mampu berbangga kerana menjadi pendahulu dalam menghasilkan album di Malaysia jika dibandingkan dengan artis Singapura lain yang mencuba nasib di negara ini.

Melangkah ke album kedua

Selepas muncul dengan Prosa X yang dianggap sebagai satu eksperimen dan meneliti segala kekurangan yang ada, Syed Azmir memberitahu, dia kini sedang mengatur langkah untuk tampil dengan album kedua.

Bakal menjalani rakaman selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, ia tidak lagi berkonsepkan progresif rock apabila album kedua akan memperlihatkan kekuatan sebenar Syed Azmir iaitu R&B.

“Saya memang suka R&B. Justeru, untuk album kedua, Ajai telah memberi kebenaran malah dia sendiri yang mencadangkan saya supaya membawakan konsep itu.

“Sekarang ini saya sedang bekerja keras dalam mencari lagu. Mengikut perancangan, ia akan dipasarkan Januari tahun depan,” jelasnya yang turut berjinak-jinak dalam lakonan menerusi drama Projek Cerpen di Singapura.

Syed Azmir kecewakan bapanya?

Sementara itu, asyik bercerita tentang album, Syed Azmir menarik perhatian Hits apabila memberitahu bahawa dia pernah mengecewakan bapanya, Syed Azman Syed Abdul Aziz, 47.

Semua gara-gara tindakannya yang mengambil keputusan menggantung but bola sepak bagi memberi tumpuan kepada karier sebagai penyanyi.

Masakan tidak, sejak dari kecil iaitu ketika berusia 11 tahun, dia telah dihantar oleh bapanya menjalani latihan di sebuah akademi bola sepak di Singapura.

“Saya merupakan orang pertama dalam keluarga yang menjadi penyanyi. Bapa memang tidak suka kerana dia mahu saya teruskan karier sebagai pemain bola sepak.

“Sememangnya dia kecewa. Setahun rasanya dia menyimpan perasaan atas keputusan yang saya lakukan iaitu bergelar penyanyi. Tetapi, sekarang dia sudah okey,” katanya yang berkecimpung dalam arena bola sepak bersama pasukan remaja Singapura sejak berusia 13 hingga 18 tahun.

Anak sulung daripada tiga beradik ini pernah beraksi dalam Liga Singapura menerusi pasukan Sembawang Rangers pada usianya 19 tahun.

Bagaimanapun, pada 2005, Syed Azmir yang berasal dari Bedok, Singapura meninggalkan sukan bola sepak kerana terbabit dalam program Anugerah.

“Ibu saya ( Rashimah Zainal) yang menyerahkan borang menjalani uji bakat program itu kepada saya. Dia amat menyokong dan tidak sangka, selepas melalui pelbagai peringkat, saya berjaya merangkul tempat kedua.

“Bertitik-tolak daripada itu, saya fikir yang saya perlu meneruskan bidang nyanyian. Ini kerana sepanjang menyertai Anugerah, saya mendapat sokongan daripada penonton yang mengundi saya ketika itu,” ujarnya.

Merindui sukan bola sepak

Tiga tahun sudah berlalu iaitu sejak menggantung but bola, kini Syed Azmir tidak bisa berpatah ke belakang dan dia perlu meneruskan kehidupan sebagai penyanyi.

Namun, di lubuk hatinya, tidak siapa yang tahu bahawa dia sebenarnya menyimpan perasaan rindu terhadap sukan bola sepak.

“Memanglah rindu sebab ia telah sebati dalam hidup sejak saya masih kecil lagi,” jelasnya yang pernah dikatakan menjalin cinta dengan pelakon Liana Jasmay.

Lucu terkenang gosip bersama Ashraf Sinclair

Dalam pada itu, Syed Azmir ketika diajukan soalan mengenai pengalaman sepanjang berkecimpung dalam dunia nyanyian memberitahu agak lucu terkenangkan gosip liar iaitu kisah ‘hubungannya’ dengan Ashraf Sinclair.

Walaupun tidak mengambil endah akan gosip berkenaan, dia agak terkilan kerana nilai persahabatannya dan Ashraf telah disalah erti.

“Kami berada di bawah pengurusan yang sama iaitu Beyond Events. Rumah saya di Kuala Lumpur pun dekat dengan rumah Ashraf. Itu yang membuatkan kami rapat. Lagipun, teman wanita Ashraf dan bekas teman wanita saya berasal dari Indonesia.

“Justeru, kami punyai cita rasa yang sama dan ia membuatkan kami berdua selesa berkongsi segala cerita,” jelasnya sambil ketawa besar.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: