Bukan Dejavu Cetus Pelbagai Emosi

13 Jul

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Foto ZAKARIA IDRIS


PELBAGAI pergolakan jiwa dipaparkan sama ada kisah duka ataupun lucu.

HASIL karya asal Ismail Kassan ini ternyata memberi impak besar kepada penonton dalam merungkai masalah keluarga dan sosial yang sering kali dialami oleh masyarakat.

Bukan Dejavu arahan Siti Rohayah Attan ini antara teater bertemakan isu padat dengan kisah berat dan menampilkan barisan pelakon yang tidak pernah menghampakan penonton.

Tidak dinafikan, dia bukan sahaja menghiburkan dengan unsur lucu tetapi mampu membuatkan penonton menitis air mata.

Kehadiran Parjo dan teman-temannya yang lucu dengan peluang ruang lakon yang lebih luas akan pasti menghiburkan penonton sambil menyaring banyak pelajaran dan pengajaran.

Bagaimana Parjo dan teman-temannya agak kelam-kabut mengendalikan seekor kambing yang akan disembelih untuk dibuat kenduri.

Tentunya kehadiran kambing sebagai salah satu prob pementasan mengundang tanda tanya penonton.

Tidak ketinggalan, penderitaan jiwa seorang wanita akibat kebuasan sikap manusia mampu melahirkan kedukaan jiwa.

Penderitaan lahir dan batin ini ditampilkan dengan sangat berkesan oleh watak Jamiliah.

Pastinya, air mata penonton akan lahir untuk rasa simpati mereka kepada Jamiliah. Rasa simpati dan empati inilah yang ingin dicetuskan agar segala bentuk masalah sosial ini menyedarkan sekali lalu mendidik masyarakat sesuai dengan hasrat pemimpin negara ini mahu rakyat membentuk keluarga yang penyayang.

Tidak kurang menariknya, kisah dua pendatang Indonesia yang hidup dibelenggu kemiskinan, Narti dan Yanto yang merindui kampung halaman sekalipun sudah sepuluh tahun merantau di negara ini antara tema kemasyarakatan menarik yang diangkat dalam teater ini.

Cerita ini cukup realistik dengan kehidupan manusia pada hari ini.

Tema yang diketengahkan berjaya menyuntik pelbagai perasaan dan kesedaran tentang bahana isu GRO, haruan makan anak sehingga hubungan anak dan ibunya sendiri.

Isu-isu ini bukan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat malah tidak pernah tenggelam tetapi satu penyelesaian perlu dilakukan untuk membenamkan isu ini.

Nyata, produksi teater ini cukup beruntung dalam menerokai permasalahan masyarakat ini dengan mengetengahkan pelakon-pelakon yang rata-ratanya berpengalaman dan berwibawa.

Misalnya, lakonan berkesan dari Norish Karman yang membawa watak perempuan GRO bernama Nora ternyata hampir sempurna dengan aksi yang kelihatan tiada salah walaupun masih ada kesalahan dialog yang tidak ketara. Watak seorang ibu yang disingkir anak sendiri cukup berkesan dengan mainan emosi.

Pergolakan anak dan ibu ternyata antara babak yang mampu membuatkan penonton tersedu dan mengalirkan air mata.

Kehadiran pelakon, Safura antara watak wanita yang melengkapi keseluruhan teater ini.

Watak Safura sebagai Ustazah Salmi antara perubahan baru sepanjang kariernya.

Dengan nada lembut dan bertudung litup merupakan sesuai untuk dirinya yang lemah gemalai itu.

Kejutan lakonan watak antagonis oleh Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Tahir yang merogol anak sendiri sehingga mengandung antara babak yang penuh debaran.

Keseluruhannya, teater ini berjaya menampilkan pelbagai pengajaran dan teladan untuk masyarakat di samping cetusan pelbagai emosi.

Dialog-dialog dalam naskhah ini padat dengan falsafah dan pengajaran walaupun disampaikan dengan cara yang lucu dan bersahaja. Penonton akan ketawa tetapi sebenarnya mereka mentertawakan diri dan juga pernah mereka lakukan sendiri. Sekurang-kurangnya itulah perlakuan yang juga pernah mereka lakukan sama ada secara sedar atau tidak.

Mendidik dalam konteks cerita ini adalah bersantai sambil gembira tetapi tersindir dalam ketawa.

Justeru, berdasarkan pencapaian cemerlangnya sejak dipentaskan pada 1999, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Badan Budaya DBP serta Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), karya Dejavu terus mendapat sambutan.

Hasilnya, pementasan sekuelnya pula berjudul Bukan Dejavu di DBP, Kuala Lumpur pada 9 hingga 13 Julai pasti menjanjikan sesuatu yang hebat.

Naskhah Bukan Dejavu adalah sambungan daripada Dejavu karya penulis yang sama dipilih sebagai Persembahan Teater Perdana DBP tahun ini.

Jika skrip Dejavu pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2004, Bukan Dejavu pula adalah pemenang hadiah pertama Pertandingan Menulis Skrip 50 Tahun DBP, tahun lalu.

Mengimbas sejarah naskhah ini, Dejavu pernah dipentaskan dan diarahkan oleh Siti Rohayah Attan sebanyak tiga kali. Kali pertama dipentaskan dengan menggunakan judul Dejavu Seorang Perempuan pada 23 hingga 30 Oktober 1999 di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Kuala Lumpur. Antara pelakonnya, Erma Fatima, Aida Aris, Aida Rahim, Norzizi Zulkifli, Shukor Yon dan M. Redzuan Deen.

Kali kedua, naskhah ini dipentaskan pada 24 hingga 29 Januari 2004 di tempat sama dan menampilkan Fauziah Datuk Ahmad Daud, Juhara Ayob, Melissa Saila, Norzizi Zulkifli, Mubarak Majid, Shukor Yon dan Shahronizam Noor.

Pementasan kali ketiga pula di Panggung Sari, Istana Budaya pada 18 September 2004. Pelakonnya ialah Fauziah Ahmad Daud, Safura Yaacob, Serina Redzuawan, Rozie Rashid, Shukor Yon, Zuhairi Ibrahim,Juhara Ayob, Yussak Kassan dan ramai lagi.

Teater Bukan Dejavu dipentaskan di DBP, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam dengan harga tiket RM20, RM30 dan RM50. Manakala, diskaun 50 peratus untuk pelajar dan warga emas. Jangan lupa untuk menyaksikan sebuah karya yang menjanjikan kepuasan yang akan berakhir pada hari ini.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: