Kelahiran Jenama Artis

17 Jul

PERUBAHAN stail dan fesyen di pasaran berlaku selalunya disebabkan pengaruh golongan selebriti. Apa yang dipakai pastinya menjadi ikutan ramai terutama bagi peminat mereka.

Maka ramai pereka fesyen, jenama dan produk mengambil langkah menggunakan artis sebagai titik jualan mereka. Menyedari keuntungan yang boleh diperoleh daripada industri fesyen, ramai golongan artis kini mengambil peluang untuk melahirkan jenama sendiri.

Dan daripada semua artis yang pernah melahirkan jenama seperti Mariah Carey, Gwen Stefani, Kimora Lee Simmons, Britney Spears, Sarah Jessica Parker dan Paris Hilton, semuanya mengaut keuntungan besar.

Oleh itu, semakin ramai artis yang mengikuti jejak mereka dengan menghasilkan pelbagai produk dengan menggunakan nama popular masing-masing. Berikut adalah beberapa artis yang sedang bergiat dalam dunia fesyen.

Pakaian dalam Jessica Simpson

Jessica Simpson sudahpun melancarkan jenama beg tangan, kaca mata hitam, kasut dan pakaian renang. Dan terbaru dia melancarkan pakaian dalam dan berharap ia juga akan diterima baik seperti jenamayang lain.

“Saya sendiri sukakan pakaian dalam untuk acara berbeza. Pakaian dalam adalah hebat kerana ia boleh mengubah seseorang wanita kepada mood seksi atau kewanitaan,” kata Jessica.

Simpson yang sedang bercinta dengan Tony Romo juga berjanji untuk menawarkan koleksi pakaian dalam yang membantu membentuk tubuh badan wanita.

Pakaian dalam Simpson merangkumi baju dalam, seluar dalam serta pakaian malam dan bakal dijual di pusat membeli belah Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Rangkaian pakaian senaman Jennifer

Meminati senaman, Jennifer Lopez sudah bersedia untuk mereka rangkaian pakaian senaman miliknya. Penyanyi ini yang baru sahaja melahirkan anak kembar, Max dan Emme pada Februari lalu ingin menghasilkan seleksi pakaian yang tidak terlalu mahal dan selesa kepada kaum wanita ketika mereka bersenam.

Lopez kini sudah mempunyai jenama fesyen tersendiri iaitu J.Lo. Sweetface dan JustSweet. “Dalam koleksi jenamanya sudah pun memiliki pakaian kasual. Tetapi dia inginkan sesuatu yang eksklusif untuk senaman seperti seluar yoga, seluar menari dan seluar panjang. Dia mahu pembelinya kelihatan menarik di gim serta di jalanan. Bukan itu sahaja, dia mahu pakaiannya dijual dengan harga berpatutan,” kata seorang rakan rapat.

Dan selepas melahirkan anak kembarnya pada 22 Februari lalu, J.Lo telah membelanjakan sebanyak AS$50,000 (RM163,000) untuk membina gim di rumahnya bagi membantu dia menurunkan berat badan.

Dia telah berusaha sejak dua bulan lalu untuk mendapatkan semula bentuk badan selepas berat badannya meningkat sebanyak 50 paun (22.6 kilogram).

Kate lancar minyak wangi baru

Selepas minyak wangi pertamanya dengan kerjasama Coty Beauty menerima sambutan memberangsangkan, Kate Moss bercadang untuk mengeluarkan minyak wangi baru di bawah jenamanya. Model terkemuka itu telah menyuarakan hasrat untuk mengembangkan jenama minyak wanginya dengan mengeluarkan koleksi terbaru.

“Dengan minyak wangi yang pertama, saya ingin sesuatu yang menggambarkan keperibadian saya tidak kira sisi putih atau hitam diri saya. Itu merupakan wangian pertama dan saya mahu mengembangkan perniagaan ini,” kata Moss.


KATE MOSS muncul dengan jenama wangian sendiri.

Selain daripada itu, Moss juga mempunyai kontrak kerjasama dengan syarikat pakaian Top Shop yang dilaporkan membayar dia £3 juta (RM19.2 juta) untuk mereka rangkaian pakaian untuk jenama tersebut.

Rangkaian pakaian itu mendapat pelbagai kritikan tetapi popular di kalangan orang awam.

Produk kosmetik Avril Lavigne

Biarpun masih muda, Avril Lavigne bijak membuat duit dan terbaru dia bercadang untuk melancarkan koleksi kosmetik termasuk minyak wangi, syampu dan sabun mandi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Girlfriend telah menghantar borang permohonan Disember lalu sebagai langkah pertama dalam mendaftarkan jenama kosmetiknya.

“Minyak wangi, losyen sebelum dan selepas bercukur, minyak mandi, sabun mandi, gel mandi, syampu mandi, tisu yang mengandungi losyen kosmetik, susu mandian, losyen badan dan tangan, krim badan serta bedak adalah kosmetik yang ingin saya jual,” kata Lavigne.

Jika berjaya, Lavigne merupakan antara artis terbaru melancarkan jenama kosmetik selepas Britney Spears, Paris Hilton, Hilary Duff, Jennifer Lopez, Gwen Stefani dan Kate Moss.

AVRIL LAVIGNE bijak mencatur masa depan dengan melancarkan koleksi kosmetik sendiri.

Minyak wangi Lopez, Glow dan Live Luxe berjaya mengaut keuntungan sebanyak AS$77 juta (RM251 juta) pada tahun 2006.

Manakala minyak wangi Victoria Beckham, Intimately Beckham adalah antara minyak wangi popular sebagai hadiah Krismas tahun lalu.

Baju rekaan Rod Stewart

Penyanyi veteran Rod Stewart juga melancarkan jenama pakaiannya sendiri. Rangkaian pakaian termasuk baju-T, pakaian sukan dan seluar dalam yang mempunyai rekaan hati dengan ayat Isn’t it Romantic? di bahagian depan.

Kebanyakan rekaannya yang boleh diperoleh daripada laman web rasminya memaparkan lirik daripada lagunya termasuk You’re In My Heart.

Stewart yang merupakan suami kepada model Penny Lancaster, terkenal dengan stail fesyennya yang unik dan pernah membuat persembahan dengan pelbagai kostum berwarna-warni dan ganjil.

“Saya rasa koleksi pakaian Rod pastinya bakal menarik perhatian ramai,” kata ketua sekolah tekstil dan fesyen, Glasgow, Scotland, Jimmy Stephen-Cran.

Ayah kepada tujuh orang anak bukan orang pertama dalam keluarganya menceburi bidang rekaan pakaian. Anak perempuannya, Kimberly turut mempunyai jenama sendiri, Pinky Star Fish.

P. Diddy mahu David untuk fesyen

Oleh kerana terlalu mengagumi stail David Beckham, P. Diddy ingin berkolaborasi dengan pemain bola sepak itu untuk melahirkan rangkaian fesyen baru.

Penyanyi rap ini dan Beckham telah menjadi rakan rapat selepas dia P.Diddy dilihat berparti di rumah Beckham di London tahun lalu.

DAVID BECKHAM

P. Diddy yang sudah memiliki jenama sendiri bernama Sean John mahu menukar hubungan persahabatan mereka kepada kerjasama perniagaan dan melancarkan projek fesyen bersama.

“Dia lelaki yang berstail. Saya berharap dapat bekerjasama untuk menjayakan koleksi baju bersama Beckham. Rasanya kami berdua akan menjadi rakan kongsi yang hebat. Dia pernah bekerjasama dengan Snoop Dogg untuk menghasilkan koleksi kasut.

“Tetapi saya mahu berganding dengan dia dalam industri fesyen. Saya sudahpun mempunyai rangkaian minyak wangi dan pakaian. Dan saya berharap supaya dapat bekerjasama dengannya dalam projek akan datang,” kata P. Diddy.

House of Dereon milik Beyonce

Berbekalkan imej seksi dan stail terkini, pakaian rekaan Beyonce Knowles pastinya menjadi rebutan ramai. Bekas anggota kumpulan Destiny’s Child ini telah menandatangani kontrak bersama pembekal, Tarrant Apparel Group untuk mengedarkan pakaiannya yang direkanya bersama ibunya, Tina Knowles.

BEYONCE KNOWLES

Koleksi pakaian itu yang diberikan nama House of Dereon sebagai penghormatan kepada neneknya, Agnes Dereon menyasarkan kepada wanita berusia antara 18 hingga 28 tahun.

“Saya berasa amat bertuah kerana berpeluang untuk melancarkan jenama ini. Saya mempunyai cita rasa yang luas. Ibu saya pula mempunyai idea yang hebat yang diminati ramai. Saya menyukai pakaian daripada generasi nenek dan ibu saya serta barangan kontemporari,” kata Beyonce kepada Associated Press.

Selain daripada pakaian, penyanyi ini yang baru mendirikan rumah tangga bersama Jay-Z juga melancarkan kasut, minyak wangi, barang kemas dan aksesori lain.

Pakaian mengandung Nicole Richie

Selepas melahirkan anak perempuan, Harlow Winter Kate Madden pada 11 Januari lalu, Nicole Richie telah mengumumkan bahawa dia akan melancarkan rangkaian pakaian untuk ibu mengandung serta koleksi barang kemas.

NICOLE RICHIE mahu membantu wanita mengandung supaya kekal cantik dan bergaya melalui koleksinya.

Richie yang menyatakan hasratnya itu semasa menghadiri pembukaan kedai baru Balenciaga di Los Angeles dua bulan lalu. Dia juga memberi kredit kepada pereka Balenciaga, Nicolas Ghesquiere kerana membantunya kelihatan menarik sepanjang dia mengandung.

Maka, impiannya sekarang adalah untuk membantu setiap wanita untuk kelihatan menarik semasa mereka mengandung.

“Saya memakai begitu banyak pakaian Balenciaga semasa saya mengandung dan telah memberikan inspirasi kepada saya. Fokus utama koleksi pakaian saya adalah untuk menjadikan setiap wanita berasa selesa dan cantik pada jangkamasa emosi itu.

“Saya mahu setiap wanita menonjolkan diri dan bukannya kelihatan penat,” kata Nicole kepada wwd.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: