Archive | August, 2008

Selamat Pengantin Baru Deja Moss

31 Aug


DEJA MOSS dan Azfendy berseri-seri pada hari pernikahan mereka di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Selepas berkenalan hampir 10 tahun, penyanyi popular Deja Moss akhirnya menjadi milik lelaki bernama Azfendy Azzuddin.

Pasangan yang berbeza usia enam tahun itu dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur pada pukul 11.45 pagi semalam.

Majlis akad nikah dilakukan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid, Ustaz Mohd. Nazarudi Nadzir mewakili bapa Deja, Wan Moss Wan Hamid.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, 35, menerima mas kahwin RM1,111 bersama sembilan dulang hantaran tetapi merahsiakan jumlah wang hantaran yang diterimanya.

Beliau yang popular dengan lagu Asmara Ini berkata, hatinya berdebar-debar sebelum saat dia diijabkabulkan dengan Fendy yang juga Pengurus Besar DC Industries.

“Masa Fendy melafazkan akad, rasa macam sesuatu. Kini saya menjadi isteri orang dan perlu memikul satu tanggungjawab yang besar,” katanya dalam nada cukup terharu.

Deja dan Azfendy, 29, juga memilih tarikh 16 November ini untuk mengadakan majlis resepsi di Sarawak.

Kosmo

Advertisements

Bukan Bunga Telur, Tapi Mentol Jimat Tenaga!

31 Aug

Teks oleh Roslen Fadzil
Foto oleh Zulhashim

Menjadi adat biasa kalau kita ke majlis perkahwinan Melayu, kita akan membawa pulang bunga telur atau bunga rampai sebagai ole-ole daripada pasangan mempelai.

Namun keadaannya sungguh berbeza dengan Maya Karin Roeckle, 29, dan suaminya, Steven Muhammad Ali Abdullah, 38, apabila menghadiahkan mentol-mentol lampu ‘jimat tenaga’ berkotak hijau kepada setiap tetamu yang bertandang ke majlis resepsi mereka bertempat di Institut Penyelidikan Perhutan Malaysia (FRIM), Kepong, pada 29 Ogos lalu.

Itulah antara elemen simbolik majlis resepsi Maya dan Steven yang dirancang dengan begitu unik dan berkonsepkan Mesra Alam selepas mereka pulang ke Malaysia dari majlis pernikahan di Bellagio, Itali, baru-baru ini.


“Memang saya mahukan satu kelainan dan kejutan bersesuaian dengan tema majlis saya hari ini iaitu Mesra Alam. Saya mahu mentol-mentol ini (ditaja oleh Osram) menjadi kenangan dan digunakan oleh semua tetamu saya. Ia merupakan save energy bulbs yang sepatutnya lebih dipakai oleh kita semua,” kata Maya kepada murai.com.my.

Lebih menarik, pada ole-oleh itu juga terselit nota khas yang memberi tips kepada tetamu tentang cara-cara kita boleh
bersama-sama memelihara alam sekitar. Ia antara lain menyebut:

“Gunalah beg sendiri apabila keluar beli-belah, jangan membazir air ketika menggosok gigi, gunakan bateri yang dicas semula, bawa bekas sendiri apabila membeli makanan bungkus dan gunakanlah mentol lampu jimat tenaga.”

Begitulah visi menarik seorang pengantin baru yang juga duta alam sekitar di Malaysia!

Memang satu rahmat kerana acara malam itu berlangsung dalam cuaca cerah walaupun sejak akhir-akhir ini hujan turun mencurah-curah di Lembah Kelang. Setibanya di padang bola sepak yang luas itu, kelihatan khemah putih gergasi berona putih, berhiaskan barisan lampu pelita minyak tanah di sepanjang laluan. Di bawah khemah pula, kelihatan  puluhan lampu gantung berbentuk bebola putih pilihan Maya dari Ikea.

Di atas setiap meja, terhias jambangan flora yang sungguh cantik daripada dedaunan, pucuk teratai, epal hjau dan orkid.

“Hiasan ini saya lakukan sendiri dengan bantuan kawan saya, Jeslina Hashim, yang sekarang menjadi juruhias dalaman bersama suaminya. Walaupun penat menyediakan semua ini, saya puas sebab saya terbabit sendiri dalam persiapan hari perkahiwnanan saya ini.

Seperti Maya, Steven berkata dia turut mencintai alam sekitar dan tertarik prinsip perjuangan Maya.

“Saya juga sayangkan kehijauan dan alam yang bersih. Saya sentiasa menyokong tugas Maya sebagai pejuang alam sekitar,” kata Steven yang segak berbaju Melayu dan sangat ramah menegur dan bersalaman dengan tetamu.

Antara rakan selebriti yang hadir pada malam itu adalah Imuda, produser David Teo, Farid Kamil, pakar masak Chef Zam, pengarah Shuhaimi Baba, Nanu Baharuddin dan Kavita Kaur Sidhu. Semua ahli keluarga Maya turut kelihatan iaitu ayah, ibu dan adiknya, Armin, 27, (masih belajar di Mexico) dan Irina, 26, (menuntut di England).
 

Hadirin dijamu dengan juadah Melayu yang lazat dan dihiburkan dengan persembahan nyanyian unplugged oleh rakan-rakan dan saudara pengantin.  Penulis sendiri bagi pihak murai.com.my mendendangkan sebuah lagu evergreen, Nothing’s Gonna Change My Love For You khas untuk Maya dan Steven.  Selamat Pengantin Baru!

Murai

Deja, Azfendy Berbulan Madu Di Chile

31 Aug

KUALA LUMPUR, 31 OGOS 2008: Seorang lagi artis selamat diijabkabulkan sebagai pengantin baru pagi semalam iaitu penyanyi Kasih Ke Syurga, Hajjah Deja Moss, 35, dan pasangannya, Azfendy Azzudin, 29.

Upacara akad nikah berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini dan mereka dinikahkan dengan sekali lafaz oleh Penolong Pendaftar Nikah di masjid berkenaan, Mohd Nazarudi Mohd Nadzir.

Deja menerima kas kahwin RM1,111 dan berwalikan ayahnya, Wan Moss Wan Hamid.

Deja yang mengenakan busana putih bertudung rekaan Albert King, menerima 7 dulang hantaran berupa wang, sebentuk cincin, tepak sireh, jam tangan, beg tangan, set wangian dan sepasang kasut. Pengantin perempuan kemudian membalas dengan 11 dulang hantaran seperti tepak sireh, set wangian, kemeja bersama tali leher, kafling, tali pinggang, kasut dan kek lapis.


Menariknya, mereka berdua bakal berbulan madu di Santiago, Chile, November depan kerana Azfendy kebetulan akan bertugas di sana. Beliau ketika ini menjawat tugas sebagai Pengurus Besar DC Industries Sdn Bhd.

Kedua-dua mereka sudah saling mengenali sejak sekian lama tetapi semakin serius menjalinkan hubungan percintaan sejak 2 tahun lalu.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, berkata, dia akan tetap meneruskan kerjaya nyanyiannya tetapi dalam keadaan lebih terbatas. Mereka berdua dijadual mengadakan majlis resepsi di Kuching, Sarawak pada 16 November depan.

Tahniah dari murai.com.my!

Murai

Artis Beramal Bulan Ramadan

31 Aug

MENJELANG bulan Ramadan yang mulia ini, ramai artis Indonesia membuat kerja amal kebajikan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Antara mereka ialah pelakon remaja Cinta Laura yang memberikan sumbangan dengan membangunkan sebuah sekolah untuk anak-anak yang tidak mampu.

Sumbangan itu sebagai balasan terhadap peminat yang memberikan sokongan dan untuk membuktikan dirinya mencintai negara ini, kata Cinta, gadis kacukan Jerman dan Indonesia.

Pelakon lain termasuk Baim Wong dan Vernie Ismail juga tidak ketinggalan untuk menabur bakti kepada golongan anak-anak yang tidak mampu.

Sementara beberapa artis lain sibuk menerbitkan album berbentuk dakwah termasuk Samsons dan Nidji sementara pelakon Nirina Zubir akan muncul dalam drama dakwah pertamanya, berjudul Assamualaikum Cinta.

Utusan Malaysia

Inspirasi Kontemporari Aidilfitri

31 Aug

MENJELANG Ramadan, pasti ramai yang sibuk menempah atau membeli pakaian siap untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sudah menjadi lumrah, membeli pakaian baru antara budaya menyambut lebaran.

Apatah lagi, banyak butik yang sudah memulakan persiapan menyediakan busana raya sejak dua bulan lalu lagi.

Pereka fesyen batik, Michael Shu tidak ketinggalan memperkenalkan busana khusus untuk penampilan bergaya pada hari lebaran.

Glamor

Berinspirasikan baju kurung dan jubah dengan dress top, pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004 itu mengadaptasi unsur moden dan ketimuran pada koleksi kali ini.

Seperti kebanyakan rekaan lain, ciri kontemporari lebih popular setiap kali menjelang Aidilfitri.

Bagi menyuntik kelainan, Michael mengetengahkan cita rasa glamor dan praktikal.

Seiring dengan trend 2008, Micheal menggunakan fabrik net agar rekaan lebih menawan dengan gabungan fabrik renda tebal penuh kerawang.

Sedap mata memandang, Micheal turut menggunakan kilauan manik atau kain sutera sebagai pilihan yang diperindah dengan fabrik lace untuk memberi perincian yang lebih sempurna.

Keberaniannya menggunakan konsep rekaan kembang atau ‘chen chen’ pada bahagian tengah pakaian, memperlihatkan ciri moden.

Sentuhan ini diadaptasi daripada gaya fesyen era 70-an dan 80-an yang masih diminati sehingga kini.

Menurut Micheal, idea ini timbul agar baju kurung tampak elegan dan istimewa daripada kurung biasa.

“Setelah saya kembali dari Hong Kong pada Jun lalu, saya lihat trend fesyen di sana mengetengahkan busana labuh melepasi paras lutut, tetapi juga berpotongan longgar. Boleh saya katakan, rekaannya tidak banyak beza dengan baju kurung. Itu yang memberikan saya inspirasi untuk melahirkan koleksi baju kurung dengan stail moden. Dari situlah, timbulnya ilham untuk menghasilkan koleksi raya kali ini,” jelasnya.

Micheal memberitahu, dia memilih potongan gaun yang lebih kepada penggunaan dwifungsi yang menjurus kepada berkonsep suai dan padan. Ini kerana selain dipadankan dengan baju kurung, ia juga boleh digaya dengan baju yang lebih elegan.

Koleksi kali ini lebih fleksibel kerana wanita boleh memadankan gaun dengan apa jua blaus yang jelas tidak membataskan gaya fesyen.

Koleksi busana anggun sempena lebaran ini mempertaruhkan beberapa warna utama yang boleh dikatakan sering menjadi pilihan si pemakai ketika ini iaitu hitam, emas, perak dan beberapa warna pastel.

Selain itu, Micheal turut memperkenalkan beberapa seleksi pakaian kasual lelaki yang sesuai untuk dipakai bagi aktiviti kunjung mengunjung pada hari lebaran. Bagi koleksi ini, Micheal mengetengahkan rekaan batik yang lebih abstrak dan eksklusif di atas dua fabrik iaitu shantung dan organza.

Motif batik

Micheal yang memang akrab dengan fabrik batik, menganggap motif batik bagi beliau secara langsung membina kekuatan dalam diri dan setiap corak batik membawa seribu satu simbolik.

Katanya, fabrik shantung memberi penampilan yang lebih selesa dan berkeyakinan apabila rekaannya mengikut potongan badan si pemakai.

Menggabungkan gaya kontemporari dan tradisional, sebanyak 30 koleksi digayakan selebriti seperti Amber Chia, Lisdawati, Irma Hasmie, Aleeza Kassim, Zahnita, Dynaz, Ashraf Muslim, Shafiq, Mark dan Kamal Adli ketika majlis pengenalan koleksi ini baru-baru ini.

Melihat koleksi Micheal kali ini, jelas memperlihatkan ciri yang sesuai untuk semua bangsa dan kaum.

Bagi mereka yang berminat, bolehlah mengunjungi President House, Hotel Park Royal, Kuala Lumpur untuk melihat sendiri hasil kerja tangan Micheal.

Utusan Malaysia

Haliza Jual Ubat Kurus Pula!

31 Aug

AMBOI! Joyah dengar Haliza Misbun sekarang ini makin mantap bentuk tubuhnya. Sudah kuruslah orang kata. Mungkin juga pinggangnya sekarang sudah seperti kerengga. Bila Joyah risik-risik rupa-rupanya bukan setakat dia aktif bersenam. Pukul 6 pagi dah bangun berjogging, ada masa pergi kick boxing dan kini ketagih main roller blade.

Tapi Joyah dapat tahu sekarang ini aktres itu juga ambil satu produk kesihatan dan pelangsingan badan yang diimport dari Amerika Syarikat. Joyah dengar dalam masa lima hari sahaja, berat badan boleh turun sampai lima kilogram.

Mak oi, kalau macam itu, Joyah pun nak cuba. Mana tahu dalam masa 10 hari, bentuk tubuh Joyah boleh jadi macam Helle Berry ke, Angelina Jolie ke atau biola ke.

Khabarnya Haliza kini bukan sahaja menguruskan syarikatnya Helle Pictures tetapi juga melebarkan sayap dalam bidang perniagaan dengan menjadi rakan kongsi kepada Usana, produk kesihatan yang kini diamalkannya untuk mendapatkan tubuh menarik.

Sekarang produk itu yang juga mampu melangsingkan badan ini menduduki tangga teratas dalam ranking pemasaran dunia sejak 10 tahun yang lalu.

Dan cerita tentang ia mampu menurunkan berat badan sebanyak lima kilogram dan masa lima hari bukanlah cakap kosong sebaliknya memang dijamin.

Hah! Joyah pasti, mesti makcik-makcik, akak-akak dan abang-abang yang mahu cantik menjelang hari raya ini ingin mencuba produk pelangsingan badan yang kini diguna Haliza itu kan.

Mesti sambutan Hari Raya tahun ini lebih meriah dengan potongan badan baru yang lebih langsing, ramping lagi berseri dengan baju Melayu dan baju kurung baru.

Tapi janganlah pula terkejut kalau Joyah kata harga set produk kesihatan ini bukan seringgit dua ya. Setiap satu set dijual pada harga RM499. Dan bagusnya, setiap set lengkap dengan kandungan vitamin, mineral dan segala bagai agar tubuh tidak lemah dan longlai sepanjang berdiet.

Utusan Malaysia

Kenali Gaya: Kebaya Eksklusif Untuk Ibu Menyusu Bayi

31 Aug

bminggu@bharian.com.my

Sutera sifon sesuai kerana ciri lembut dan tampak mewah bagi sambutan Aidilfitri

Soalan:Saya seorang ibu, mempunyai anak berusia 12 bulan dan masih menyusu badan. Pada Aidilfitri kira-kira sebulan lagi, saya ingin kelihatan menarik dan tidak terlalu ringkas dengan hanya berbaju kurung. Apakah fesyen dan fabrik sesuai digayakan ibu yang menyusukan bayi?

Apakah yang dimaksudkan dengan fesyen ‘smoking’? Adakah ia sesuai dipakai anak kecil berusia 12 bulan yang sedang lasak?

Elly, melalui emel.

Jawapan :Kali ini, saya lakarkan baju potongan kebaya moden untuk anda. Pilihan baju potongan kebaya dengan bukaan pada bahagian depan baju memudahkan anda untuk menyusukan bayi walaupun sibuk melayan kunjungan tetamu.

Bagaimanapun kelainan dibuat pada bahagian leher baju yang dipotong tinggi serta dibuat ropol supaya gaya tampil berbeza dan tampak eksklusif pada lebaran nanti.


Calvin Thoo bergaya bersama rekaannya.

Penggunaan fabrik yang sesuai akan membuatkan persalinan kelihatan lebih indah. Jadi, saranan fabrik sesuai adalah sutera sifon kerana cirinya yang lembut dan tampak mewah sesuai untuk sambutan Aidilfitri.

Perhatikan juga pilihan baju raya musim ini, kebanyakan pereka menghasilkan rekaan yang sarat dengan sulaman sama ada sulam tebuk atau tampalan renda Perancis.

Untuk anda, saya sarankan dibuat sulaman tebuk pada bahagian hujung baju, lengan dan kaki kain. Memadai sulaman tebuk dengan hiasan jemeki ringkas tapi jika anda tidak sukakan gaya sarat, buat sulaman ringkas tapi lebihkan taburan manik pada bahagian berkenaan supaya baju tampak berseri.

Teknik potongan ‘empire line’ sesuai untuk anda kerana potongan di bahagian berkenaan mampu membuatkan potongan di bahagian dada tampak kemas kerana kebiasaan ibu menyusu mempunyai payu dara yang agak besar. Tanpa sokongan baju dalam dan cara potongan sesuai boleh mencacatkan keindahan baju.

Untuk si dara kecil, pilihan baju yang tampak sedondon membuatkan gaya lebih manis. Biasanya si kecil yang sedang lasak tidak sesuai berbaju kurung seperti ibu. Jadi saya sarankan supaya disediakan gaun ringkas berhias sulam tebuk bermotif sama seperti dibuat pada kebaya anda untuk si kecil.

Fabrik menyerap peluh dan tahan lasak seperti kain kapas dan linen boleh menjamin keselesaan serta ketahanan baju. Gaun adalah gaya mudah untuk bayi yang sedang lasak kerana ia mudah disarung dan dibuka.

Menjawab pertanyaan saudari mengenai smoking, ia adalah sejenis gaya jahitan biasanya dibuat pada bahagian dada baju kanak-kanak daripada material kain kapas. Fesyen smoking menjadi kegilaan kalangan ibu yang menggemari gaya Inggeris. Kebiasaannya gaun smoking menjadi pilihan ibu untuk si kecil berusia dari enam bulan hingga 4 tahun.

Cirinya yang selesa selain tampak berbeza menjadikan ia pilihan tepat untuk digayakan pada Aidilfitri atau majlis keraian seperti majlis ulang tahun kelahiran. Gaun smoking dijahit tangan membuatkan harganya lebih tinggi dan tidak sesuai dipakai sebagai pakaian harian.

PROFIL: Calvin Thoo

Usia : 37 tahun

Asal : Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, RMIT University of Melbourne, Australia

Mempunyai pengalaman selama 12 tahun di dalam industri fesyen tanah air malah nama besar Calvin Thoo pernah menghasilkan rekaan busana indah untuk selebriti antaranya Anita Sarawak, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Raja Azura, Sazzy Falak dan Dynas.

Kunjungi butik Calvin Thoo di P17, Tingkat 4, Lot 10, Bukit Bintang atau hubungi 03-21486862 untuk pertanyaan lanjut mengenai fesyen.

INFO:Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian