Putus Cinta Kerana Wang?

19 Aug

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

SUATU ketika dahulu, tatkala sedang hangat dibuai cinta, langsung dia tidak mendapat restu daripada keluarganya. Namun apabila cinta barunya disambut baik oleh seluruh ahli keluarga, putus pula ikatan kasih dengan pemuda yang disangka mampu dijadikan teman hidup hingga ke akhir hayat.

Pernah teringat kembali kata-katanya dulu dalam sebuah artikel, ‘cukuplah dengan lelaki ini dan biarlah hubungan kami berakhir sebagai suami isteri’.

Apa yang boleh dibuat, biarpun sudah dua tahun bercinta, takdir tidak boleh dilawan, hanya selamat tinggal yang mampu diucapkan. Begitu pun bagi Serina Redzuawan, biarpun baru beberapa bulan hidup tanpa cinta, tidak bermakna dirinya perlu berkurung diri bagi mengenangkan nasib yang menimpa.

“Saya bukannya jenis yang memandang ke belakang kerana percaya, kita akan lalui trek hidup yang telah ditetapkan.

“Kadang-kala, kita akan berjumpa dengan seseorang untuk mendapatkan pengajaran bagi meneruskan kehidupan dan yang penting, ia membuatkan diri semakin matang lagi,” tuturnya berterus terang.

Bagi Serina, tindakan memutuskan perhubungan secara baik adalah satu keputusan besar dan sukar untuk dilakukan. Namun, demi masa depan masing-masing, dia akur.

“Memang kami saling mencintai antara satu sama lain. Tapi nak buat macam mana, saya sibuk dengan kerjaya. Dia pula, syarikat telah menghantarnya ke Amerika Syarikat untuk bekerja di sana. Dari segi masa, dah berbeza, susah nak hubungi.

“Dan perlu diingat, cinta jarak jauh adalah satu perkara yang agak sukar. Lagipun, dia baru nak membina kerjayanya dan saya tak nampak yang dia sudah bersedia.

“Tapi tak bermakna kerana kewangannya belum stabil, kami putus, tidak sama sekali. Sekarang ni, orang selalu tanya, dah alang-alang keluarga bersetuju, kenapa nak putus? Semua ini untuk kebaikan kami bersama,” ujarnya.

Tambah gadis manis berusia 25 tahun ini, dia akui, sungguhpun masing-masing telah membuat keputusan muktamad, cintanya itu masih lagi berbekas di dalam hatinya.

Walaupun gusar untuk seseorang membuka lembaran baru untuk memiliki sebuah cinta, Serina langsung tidak berputus asa untuk memiliki cinta yang baru.

“Saya tidak serik untuk bercinta. Cinta datang dan pergi selagi belum ada jodoh yang sesuai. Ini semua lumrah kehidupan kita untuk mendapatkan pengajaran.”

Ternyata, diri Serina begitu cekal dalam menghadapi sebarang masalah. Mana tidaknya, biarpun putus, saat ditemu bual, dia langsung tidak menunjukkan ciri-ciri kesedihannya.

Seperti tiada masalah yang melanda dalam dirinya. Malah, sepanjang sesi temu bual diadakan, Serina tak henti-henti bercakap sambil bergurau-senda.

Tidak tahu ayah sakit

Baru-baru ini, bapa Serina, pakar masakan selebriti, Chef Wan membuat kenyataan akhbar dia diserang penyakit misteri. Saat diajukan mengenai hal itu, Serina mengakui dia sendiri tidak mengetahui mengenai penyakit ayahnya sebelum ini.

“Ayah memang macam tu. Kalau boleh, dia tak nak sesiapa pun tahu mengenai kesusahannya. Ayah tak mahu lihat orang lain risau.

“Sampaikan saya dan abang (Nazri) serta keluarga terdekat lain pun tak tahu sampailah bila cerita mengenai penyakitnya tu keluar di akhbar,” ujarnya.

Tambahnya dalam nada tegas, “Mula-mula terkilanlah sebab kami yang rapat dengannya pun dia tak nak berkongsi masalah. Tapi bila fikirkan semula, mungkin ada sebab-sebab tertentu mengapa ayah tak mahu beritahu mengenai penyakit misterinya.

“Anak mana yang tidak sedih bila melihatkan ayah merana. Saya tak faham, kenapa mereka sanggup buat begini pada ayah saya. Bagi saya, orang-orang ini adalah makhluk Tuhan yang kejam.”

Namun, kata Serina, di sebalik penyakit ayahnya itu pasti ada hikmahnya kerana apa yang berlaku kini Serina semakin akrab dengan ayahnya.

“Saya tak tinggal serumah dengan dia. Tapi bila perkara ini terjadi, hubungan kami semakin akrab. Kami banyak menghabiskan masa membeli belah, tengok wayang dan makan bersama. Mungkin semua ini ada hikmahnya.

“Alhamdulillah sekarang ni penyakit ayah semakin pulih sejak berubat. Lagi satu, saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat-peminat kerana mereka juga banyak membantu mencari tempat-tempat untuk berubat,” katanya.


KESIBUKAN rutin harian menjadikan Serina teruja dengan kehidupan.

Sibuk urus syarikat sendiri

Beralih pula tentang kerjayanya, Serina mangakui wajahnya sudah lama tidak menghiasi di mana-mana dada akhbar.

Bukan kerana tidak laku, sebaliknya, jadual harian si gadis lincah ini sentiasa penuh. Mahu mencuri masanya untuk ditemu bual pun agak sukar. Nasib baiklah Serina sempat meluangkan masa bersama Kosmo! untuk seketika.

“Saya tahu, tak banyak cerita saya dalam akhbar. Mana taknya, setiap kali wartawan akhbar minta untuk membuat sesi fotografi, saya tidak mempunyai masa.

“Bayangkan, pagi-pagi saya keluar rumah untuk ke lokasi dan bila balik pada keesokan pagi pula.

“Lagipun, kini wajah saya dah tak banyak terpampang di kaca TV3. Saya banyak berlakon dalam saluran RTM buat masa ini,” ujar pelakon drama bersiri Polis Trafik ini.

Lebih membuatkan dirinya tidak cukup masa ialah apabila Serina menguruskan syarikatnya sendiri, Real Wonders Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah, setakat ni syarikat saya semakin berkembang. Ia lebih kepada menerbitkan rancangan televisyen dan juga pengurusan majlis.

“Insya-Allah kalau jadi, saya mahu terbitkan program bual bicara bersama ayah. Itu impian saya, kerana selama ini, kami membuat kerja masing-masing.

“Dengan adanya program ini, saya harap ia dapat mengeratkan lagi perhubungan kami. Lagipun, pasti semua tahu kan kalau saya dan ayah bergabung, mesti kecoh. Maklumlah, ayah banyak sangat bercakap,” akhirinya.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: