Siapa Juara Gang Starz 2?

22 Aug

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


LIMA kumpulan yang akan berentap pada konsert akhir Gang Starz 2.

SETELAH empat bulan mengharungi pelbagai rintangan, lima kumpulan iaitu One Nation Emcees, D’Reborn, Paragon Child, 3.5 dan Akasia bakal berentap di pentas akhir Gang Starz musim kedua (Gang Starz 2) Ahad ini.

Berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, kelima-lima mereka harus tampil terbaik bagi merebut hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM325,545).

D’Reborn yang merupakan wakil tunggal Indonesia terpaksa menggalas cabaran besar apabila ditentang hebat oleh masing-masing dua buah kumpulan dari Malaysia serta Filipina.

Malaysia diwakili One Nation Emcees serta Akasia manakala Filipina pula dengan Paragon Child dan 3.5.

Siapa bakal bergelar juara tiada yang tahu namun undian sudah pun dibuka bagi membolehkan orang ramai mengambil bahagian memilih kumpulan berbakat untuk menaiki tangga juara.

Untuk persembahan akhir ini, setiap kumpulan diberi tanggungjawab membuat tiga persembahan iaitu persembahan pengenalan, secara kumpulan dan duet bersama artis jemputan.

Paragon Child contohnya memilih untuk berduet dengan Ezlynn menerusi lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie manakala 3.5 (Lah V.E – Ceritera Cinta/ Endless Love), D’Reborn (Dayang Nurfaizah – Seandainya Masih Ada Cinta/ London Bridge/ Baby Boy), One Nation Emcees (Datuk Jeffrydin – Mas Mona/ Kenanganku) dan Akasia (Noraniza Idris – Ting Ting/ Dondang Dendang/ Hatinya Tak Tahan).

Persembahan kumpulan pula, D’Reborn memilih lagu Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan diikuti One Nation Emcees (Kuda Hitam/ Madu Dan Racun/ Don’t Phunk With My Heart), Akasia (Salam Terakhir/ Destinasi Cinta/ Joget Siapa Dia), Paragon Child (Seribu Tahun/ It’s Gonna Be Me/ Imposibble Dream) dan 3.5 (Power Of Love/ Deja Vu/ Proud Mary).

Menariknya, juara Gang Starz musim pertama, The Lima diberi penghormatan membuat persembahan pembukaan di samping kumpulan Matta yang akan menyanyikan dua buah lagu iaitu Jatuh Cinta Lagi dan Ketahuan ketika selingan sebelum pengumuman pemenang.

Menurut Penerbit Gang Starz 2, Mohd. Sufian Isa, bagi juri akhir nanti, pihaknya masih mengekalkan Ajai dan Sheikh Haikel di samping dua lagi juri jemputan dari Malaysia serta Filipina.

“Persiapan telah dilakukan dengan rekaan pentas khas serta layar skrin lebih besar. Untuk itu, kita mengharapkan orang ramai dapat hadir ke Stadium Malawati bagi memeriahkan konsert akhir Gang Starz.

“Konsert akhir ini akan disiarkan ke Filipina dan Indonesia melalui siaran tertunda,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Jelas Mohd. Sufian, untuk konsert akhir, pemilihan lagu dan artis jemputan dilakukan sendiri oleh setiap kumpulan meskipun ia cukup terhad terutama bagi Paragon Child dan 3.5.

“Sungguhpun begitu, menerusi konsert Jom Heboh yang disertai, mereka mampu membuat pilihan bagi artis yang mengadakan persembahan pada konsert berkenaan.

“Latihan bersama artis jemputan berjalan dengan baik dan untuk konsert akhir ini, kita lebih menekankan kreativiti dan bukannya meniru bulat-bulat penyanyi asal,” ujarnya.

Bagi Azmeer yang telah bersama Gang Starz 2 sejak awal lagi pula, kualiti setiap peserta untuk musim ini adalah tinggi.

Justeru, katanya, agak sukar baginya untuk meramalkan siapa yang bakal menjuarai Gang Starz 2.

Sementara itu, Hits berkesempatan menemu bual setiap kumpulan yang akan berentap di pentas akhir Gang Starz 2 ini.

Selain bertanyakan debaran menanti konsert akhir dan persiapan, setiap kumpulan turut ditanya mengenai apa yang akan dilakukan dengan wang sebanyak AS$100,000.

Ada yang ingin menyambung pelajaran, melancong dan menderma, tidak kurang, ada juga menyimpan hasrat untuk menamatkan zaman bujang seperti Daniel Meskers Tomodok atau Akung dari D’Reborn.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: