Gang Starz Siapa Jadi Pilihan?

24 Aug

Oleh WANDA IDRIS

ONE Nation Emcees, Akasia, D’Reborn, Paragon Child dan 3.5 – lima kumpulan, masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Filipina akan berentap malam ini untuk menjadi yang terbaik dan seterusnya membolot hadiah berjumlah AS$100,000. Ini merupakan jumlah wang tunai paling lumayan pernah ditawarkan oleh sebuah program realiti terbitan tempatan.

Siapakah yang layak menjadi juara musim kedua Gang Starz? Adakah kumpulan dari Indonesia akan sekali lagi berjaya mengungguli pertandingan ini selepas kumpulan The Lima? Atau apakah musim ini kemenangan akan berpihak kepada kumpulan One Nation Emcees yang selalu tampil dengan persembahan penuh bertenaga?

Mungkin juga Paragon Child yang dianggotai oleh remaja comel dengan genre R&B akan memberi saingan bersama-sama Akasia dan 3.5 yang jelita?

Semuanya bergantung kepada persembahan yang ditampilkan pada malam ini yang akan disiarkan secara langsung di TV3 Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pukul 9 malam.

Dibandingkan musim pertamanya tahun lalu, finalis Gang Starz tahun ini nampaknya perlu bersaing sengit memandangkan jurang markah yang tidak jauh berbeza antara satu dengan lain.

Justeru agak sukar membuat ramalan terhadap kumpulan mana yang mampu membawa pulang wang kemenangan serta peluang rakaman album.

Perkara ini turut diakui penasihat vokal, Azmeer yang memberitahu, kelima-lima kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir itu mempunyai harapan yang sama untuk bergelar juara.

“Tahun ini bukan macam tahun lalu yang kita nampak ada jurang antaranya finalis. Tahun ini standard kualitinya meningkat menyukarkan kita untuk meramal siapa juaranya.

“Apa yang pasti, siapa yang kreatif dengan penampilan persembahan yang mantap mempunyai peluang cerah untuk menang,” kata Azmeer pada sidang akhbar Gang Starz akhir, Selasa lalu.

Sememangnya, pada persembahan akhir nanti, setiap kumpulan bukan sahaja dikehendaki mempamerkan kolaborasi keharmonian vokal antara ahli kumpulan malah perlu kreatif dalam membuat susunan muzik bagi lagu yang dipilih.

Ia menjadi sebahagian unsur kreativiti yang akan dinilai oleh juri pada malam akhir yang memberikan 50 peratus markah kepada markah keseluruhan.

Selain itu gerak tari persembahan yang ditampilkan oleh setiap kumpulan juga memberi kelebihan untuk menerima undian daripada peminat yang mewakili separuh daripada jumlah permarkahan.

Justeru, suara, rupa dan kualiti seorang bintang akan dinilai malam ini oleh para juri dan peminat dalam usaha mencari yang terbaik untuk bergelar juara.

“Apa yang dimahukan pada persembahan itu nanti tentunya kelainan dari segi kreativiti mencorakkan sesebuah lagu yang dipilih mengikut identiti kumpulan masing-masing,” tambah Azmeer.

Dikatakan tiga kumpulan – One Nation Emcees, D’Reborn dan Paragon Child mempunyai harapan yang cerah pada pertandingan akhir malam ini memandangkan persembahan bertenaga yang ditonjolkan pada saban minggu.

Selain persembahan yang konsisten, masing-masing juga sering menerima pujian juri malah Shamimi Amalina Norhisham (Mimi) daripada One Nation Emcees mengakui, kumpulannya yang dikatakan pesaing rapat D’Reborn dan Paragon Child menjanjikan persembahan terbaik pada malam final nanti. Apalagi kerana kedua-dua kumpulan itu mempunyai tahap energi yang sama dalam persembahan dengan kumpulan One Nation Emcees.

Namun tegas Mimi, pembabitan kumpulan Akasia dan 3.5 juga tidak boleh diperlekehkan memandangkan keserasian keharmonian vokal antara anggotanya biarpun genre mereka berbeza.

“Kerana itu malam final nanti, kami hanya mahu memikirkan soal memberikan persembahan terbaik, menonjolkan muzik kami dan selebihnya, mahu gembira di atas pentas.

“Kalau nak dikatakan peluang, saya rasa kelima-lima kumpulan mempunyai peluang sama rata. Pun begitu, kami akui, semangat juang kami adalah 200 peratus untuk bersaing dengan kumpulan dari Indonesia dan Filipina yang selama ini terkenal dengan kehebatan vokal mereka,” kata Mimi.

Memperjuangkan irama hip hop, selain Mimi, One Nation Emcees turut dianggotai oleh Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe),

Anggota kumpulan Akasia juga bersikap optimis dan menganggap mereka mempunyai harapan yang sama dengan kumpulan lain untuk menang biarpun genre pilihan mereka lebih kepada pop etnik.

Ini kerana kekuatan dan kemantapan vokal dan persembahan yang sekata daripada semua finalis dan sejak berlatih seminggu yang lalu, mereka juga mendapat tips daripada penyanyi jemputan pilihan mereka, Noraniza Idris.

“Seperti kata Azmeer, peluang adalah sama rata dan kami menganggap kami juga mempunyai harapan untuk menang jika rezeki berpihak kepada kami,” kata Siti Halijah Dolah (ET) mewakili teman-temannya Suria Mawarni Ramlan (Suria), Ezdianie Hayatie Omar (Nanie), Nurul Ramadhanis Ahmad Khuzari (Nurul) dan Noorhafizah Sulaiman (Cha).

“Siapa yang tak mahu menang dan saya percaya semua finalis bekerja kuat untuk mendapatkan gelaran juara,” kata anggota Paragon Child, Bagi Paragon Child, Julius C. Lacunda (Julz) pula.

Namun mereka berpendapat, berada di kedudukan apa pun, yang penting, mereka mahu memberikan persembahan mantap dengan menjalani latihan pesat selain menjaga stamina melalui senaman termasuk berjogging dan berenang.

D’Reborn pula mengakui sukar menjangkakan siapa yang mampu menduduki carta teratas pada malam final itu nanti memandangkan markah juri dan peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap agak rapat antara satu sama lain.

Pun begitu, jika kemenangan berpihak kepada mereka, D’Reborn yang dianggotai oleh Alexander C. Nubatonis (Alex), Daniel Meskers Tomodok (Akung), Marian Marcelona Christy (Christy) dan Raymond Colliam Loke (Monte) telah menyimpan impian untuk mendermakan sebahagian daripada jumlah wang kemenangan kepada Sekolah Menengah Desa Cempaka, Nilai, bagi membantu pelajar kurang upaya di sekolah itu menjayakan projek Smart Agriculture Techno System.

Sementara dalam usaha memberikan persembahan terbaik mereka, tiga jelitawan 3.5 – Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef), Sherylad B. Deza Virgen (Sharra) dan Jellica Mateo (Jeli) – mengakui sejak berjaya ke peringkat akhir, mereka sudah mula membuat persiapan rapi.

Selain mengadakan latihan yang bersungguh-sungguh, 3.5 juga mula membuat latihan untuk meningkatkan stamina selain menjaga pemakanan masing-masing.

“Ini peluang sekali seumur hidup. Pastinya kita mahu memberikan hanya yang terbaik,” kata Sharra yang mahu mempamerkan kelebihan masing-masing dalam usaha mencari markah penjurian tertinggi daripada juri dan penonton.

Pada malam ini, setiap finalis dikehendaki memberikan persembahan untuk dua buah lagu masing-masing didendangkan bersama kumpulan dan secara duet bersama artis jemputan.

Dalam usaha memberikan karya muzik mantap, One Nation Emcees memilih Datuk Jeffrydin sebagai artis undangan mereka dengan lagu pilihan Mas Mona dan Kenanganku. Bagi mereka, memilih lagu lama untuk diberi susunan muzik berkonsepkan hip hop adalah lebih mudah berbanding lagu-lagu masa kini malah Jeffrydin sendiri merupakan artis pujaan mereka.

“Beliau juga seorang yang sangat optimis selain amat memberikan kebebasan kepada kami dalam usaha memberikan nafas baru kepada lagu-lagunya,” kata Mimi. Bagi persembahan berkumpulan solo pula, One Nation Emcees memilih lagu-lagu Kuda Hitam, Madu Dan Racun serta Don’t Phunk With My Heart.

Paragon Child pula memilih Ezlynn memandangkan artis popular itu adalah antara artis yang mampu menyanyi dan menari dengan baik selain mahu menjadikannya penyeri.

Memilih lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie bagi kolaborasi mereka bersama Elzynn, lagu Seribu Tahun, It’s Gonna Be Me dan Imposibble Dream pula menjadi pilihan bagi lagu berkumpulan.

Lah V.E pula menjadi pilihan 3.5 sebagai artis jemputan dengan memilih lagu-lagu Ceritera Cinta dan Endless Love untuk kategori duet manakala solo berkumpulan pula lagu-lagu Power Of Love, Deja Vu dan Proud Mary.

D’Reborn yang memilih lagu Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan untuk kategori berkumpulan solo bakal berkolaborasi dengan Dayang Nurfaizah dengan lagu pilihan Seandainya Masih Ada Cinta, London Bridge dan Baby Boy.

Sementara Akasia yang memilih Noraniza Idris bakal berduet lagu Ting Ting, Dondang Dendang dan Hatinya Tak Tahan dan memilih lagu Salam Terakhir, Destinasi Cintan dan Joget Siapa Dia untuk lagu persembahan berkumpulan.

Sementara itu, penerbit Gang Starz musim ini, Mohamad Suffian Isa memberitahu, talian undian sudahpun dibuka sejak malam 17 Ogos lalu dan bakal ditutup sehingga konsert akhirnya malam ini.

Diacarakan oleh Faizal Tahir dan Fara Fauzana, juri tetap iaitu Ajai dan Sheikh Haikel akan memberikan ulasan dan markah di samping dua dua juri jemputan dari Malaysia dan Filipina.

Konsert akhir ini juga bakal disiarkan ke Filipina dan Indonesia melalui siaran tertunda dengan dua artis undangan iaitu kumpulan The Lima dan Matta.

Menurut Suffian, setiap peserta final akan diberikan masa selama lima minit setengah untuk setiap persembahan dengan pemilihan artis jemputan adalah atas pilihan finalis sendiri.

Malah lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah pilihan masing-masing selepas mendapat pandangan daripada penasihat.

“Kita juga berbangga kerana artis jemputan memberikan komitmen terbaik mereka untuk menjayakan latihan bersama peserta akhir,” kata Suffian.

Suffian juga menjelaskan tidak dapat membawakan wakil semua negara bagi menjadi juri pada konsert akhir namun menegaskan juri yang dipilih akan bersifat neutral daripada segi penilaian dan pemarkahan.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: