Metamorfosis: Rawatan Berteraskan Aromaterapi

30 Aug

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my

Pati minyak tulen mawar dihasilkan sendiri guna teknologi Perancis digunakan tingkat kesegaran

HARUMAN dan keindahan mawar merah yang digabungkan dengan sentuhan gaya hiasan dalaman keinggerisan, menjadi inspirasi The Garden Spa bagi menggamit kedatangan pengunjung mengecapi rawatan yang membangkitkan kesegaran dan mendapatkan kesan semula jadi untuk memutihkan serta mengekalkan kehalusan kulit.

Walaupun baru saja dibuka pada awal Jun lalu, The Garden Spa yang dimiliki oleh D’Affinity Beauty (M) Sdn Bhd dan diuruskan dua rakan kongsi iaitu Suhamiza Asmarizaini Zakaria dan Wan Noriza Ahmad ternyata mempunyai kelebihan serta keunikan tersendiri.

Dari luar, The Garden Spa yang letaknya di Kelana Mall, di Kelana Jaya mungkin tampak agak biasa, namun melangkah ke dalamnya pengunjung akan berasa senang hati dengan persekitarannya kerana reka hiasan dalaman diubah dengan agak menarik, kemas dan menggunakan rona segar. Malah, sebagai memenuhi ciri spa ia turut dilengkapi dengan kelengkapan yang boleh dikatakan, serba lengkap termasuk bilik mandian wap, tab mandian dan bilik rawatan yang cukup peribadi.

Namun, di sebalik gaya hiasan keinggerisan yang menyerlahkan kelembutan dan menyenangkan hati, kedua-dua wanita itu sebenarnya ada matlamat ingin diutamakan iaitu ingin memperkenalkan konsep aromaterapi melalui produk dihasilkan oleh syarikat mereka sendiri.

Suhaimaza yang lebih senang dikenali sebagai Shireen berkata, konsep rawatan aromaterapi diperkenalkan di spa berkenaan turut mencari kelainan agar ada perbezaan jika dibandingkan dengan pusat rawatan spa yang sudah pun sedia ada dan terdapat di mana-mana, termasuk konsep zens, Bali mahupun nusantara. Kecenderungan menggunakan rawatan sedemikian turut didorong pengetahuan kedua-dua rakan kongsi itu yang masing-masing memiliki diploma dalam bidang aromaterapi.

Justeru, katanya dengan berkongsi pengetahuan dan memperkenalkan konsep aromaterapi berasaskan pati minyak tulen mawar ia dapat memberikan satu lagi pilihan kepada pengunjung, khususnya yang inginkan kelainan atau mencari kepuasan baru dalam membuat rawatan wajah dan tubuh.

“Keajaiban pati minyak tulen melalui aromaterapi mampu memberikan banyak manfaat. Oleh itu, kami perkenalkan konsep aromaterapi. Lebih istimewa, kami menggunakan produk dihasilkan sendiri yang berasaskan pati minyak tulen mawar dan dikenali sebagai rosa damascaena secara botani.

“Pati tulen itu dapat memberikan kesan semula jadi bukan saja pada kulit, tetapi juga minda dan emosi. Aromaterapi juga adalah cara perubatan holistik yang merangkumi fizikal, mental, kerohanian, emosi dan persekitaran seseorang. Malah, dalam aromaterapi penggunaan pati minyak tulen berperanan besar apabila membuat keputusan untuk setiap rawatan,” katanya.

Shireen berkata, selain itu pembukaan spa berkenaan turut sebagai pelengkap terhadap produk kecantikan dan kesihatan berasaskan aromaterapi dan pati minyak tulen dikenali Affinity Rossa yang dikeluarkan oleh syarikat mereka sejak tiga tahun lalu. Penghasilan produk itu menggunakan teknologi Perancis yang dirumus khas untuk kulit Asia.

Katanya, dengan membuka spa mereka dapat membantu meningkatkan pengetahuan kepada wakil pengedar, Affinity Rossa untuk menggunakan cara betul dan berkesan terhadap setiap rangkaian produk yang dipasarkan.

“Produk Affinity Rossa yang berasaskan pati minyak tulen mawar bermula dengan dua rangkaian utama iaitu produk asas dan pemulihan wajah serta rangkaian minyak pati bagi perawatan badan secara urutan dan pelbagai. Pada 2007 rangkaian produk penjagaan wajah diperkenalkan, termasuk rawatan pembersih wajah, rawatan tambahan serum, penyental wajah tambahan, krim intensif penghalusan dan penyegar. Sebagai pengeluar, kami mahu pastikan pengedar bukan saja memasarkan produk berkenaan, tetapi juga memahami cara menggunakan serta keberkesanannya,” katanya.

Akuinya, rawatan mandian selulit adalah antara yang popular di spa itu. Dengan berendam di dalam tab mandian yang dicampurkan produk berasaskan minyak pati tulen mawar, ia dapat membaiki struktur kulit dan membantu memutihkan kulit secara semula jadi.

INFO:

The Garden Spa

Lokasi: 50E-1 Kelana Mall, Jalan SS6/14 Kelana Jaya, Petaling Jaya

Perkhidmatan:Rawatan tubuh – urutan aromaterapi, rawatan selulit, rawatan menyental dan sebagainya.

Rawatan wajah – membersihkan wajah, rawatan menghaluskan kulit dan sebagainya.

Rawatan kuku tangan dan kaki.

Solekan untuk ke majlis dan acara.

Harga: Pakej rawatan Grand Garden berharga RM252 dan mengambil masa selama dua jam itu merangkumi, urutan aromaterapi, menyental tubuh serta rawatan membersih wajah secara mendalam.

Waktu perniagaan: Selasa hingga Jumaat – 10 pagi hingga 7 petang

Sabtu & Ahad – 10 pagi hingga 7 petang

E-mel: daffinity07yahoo.com.my

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: