Ajai Satukan Riz, Alya

7 Sep

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap

SEPANJANG masa Ajai di depan monitor, manakala Hedy Suryawan mundar mandir di sekitar lokasi membimbing krew produksinya. Mungkin belum kena dengan jiwanya, sekali sekala Ajai memberi gambaran bagaimana mahu menjiwai lagu kepada artisnya.

Sebagai produser dan pengarah, kedua-dua anak seni ini tahu apa yang diinginkan. Masing-masing tahu bidang tugas yang dipikul.

Bergabung dan berkongsi idea serta kepakaran, mereka mahu melahirkan klip video menarik menerusi single duet Ku Pinjam Satu Bintang dinyanyikan Alya dan Naib Juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Riz.

Bagi menjamin kualiti, Ajai tekad menggunakan filem supaya hasilnya nanti memuaskan. Sekalipun kosnya tinggi – mencecah lebih RM100,000 – dia tahu apa yang diperlukan untuk mengetengahkan orang baru seperti Alya.

Sepanjang dua hari proses rakaman berjalan, dua anak seni ini bekerja dengan profesional. Jika dilihat, mereka bebas berkarya, malah kebebasan itu meningkatkan kualiti klip video.

Seawal jam 9 pagi, Ajai membawa Alya dan Riz ke Galeri Andara di Kemang Barat, Jakarta, untuk memulakan penggambaran.

Dari luar, ia seperti sebuah banglo kosong. Namun ketika melangkah ke dalamnya, pelbagai alatan rakaman dan set tersedia menanti artisnya.

Tanpa membuang masa, Alya dan Riz menyerahkan wajah untuk disolek sementara menunggu Hedy bersama 30 pekerjanya menyempurnakan set sebelum penggambaran dilakukan. Menggunakan set serba putih, Riz dipanggil untuk memulakan tugasnya.

Kata Hedy, putih melambangkan kebersihan dan ia sesuai dengan bahagian dinyanyikan Riz. Dalam lagu itu Riz bagaikan lelaki yang cuba menceritakan soal hatinya.

“Dalam klip video ini saya menggunakan empat set hanya untuk lagu duet ini. Dua set untuk dua babak solo Riz dan Alya, dan dua lagi untuk babak mereka menyanyi bersama.

“Namun ketika memasuki babak Riz dan Alya menyanyi bersama, saya cuba tampilkan konsep yang menimbulkan kecantikan kepada Alya dan segak terhadap Riz.

“Dan sebab itu set kali ini dihiasi dengan langsir berwarna perak serta percikan cahaya lampu berwarna-warni bagi menyerlahkan erti cinta lagu itu.

“Sebab itu juga saya menggunakan kamera filem, bukan digital seperti kebanyakan video muzik. Melalui kamera filem saya dapat lahirkan emosi cinta yang lebih.

“Kualiti lebih baik juga membantu hasil yang akan diperoleh dan ia antara aspek yang diperlukan syarikat rakaman milik Ajai iaitu Wake The Baby.

“Walaupun bekerja dengan artis baru seperti Alya dan Riz, mereka cepat menjiwai lagu serta mempunyai idea tersendiri di depan kamera. Jadi, penggambaran ini dapat diselesaikan dengan cepat tanpa perlu mengulang,” katanya.

Tambah Hedy, krew, termasuk bahagian solekan dan dandanan, dipilih khas untuk menampilkan visual yang diingini. Sebelum rakaman klip duet itu Hedy menyempurnakan klip video single Alya berjudul Tak Mungkin Kerna Sayang.

“Untuk penggambaran ini, lagu balada berirama perlahan itu ‘dipercepatkan’ dan kedengaran seperti suara ‘chipmunk’. Jadi Alya perlu ‘lip-sync’ dengan agak laju.

“Kami sengaja percepatkan lagu itu kerana ketika suntingan nanti, visual itu akan ditampilkan perlahan. Bagaimanapun, kami perlu kawal supaya bibir dan emosi ditampilkan Alya tidak lari daripada ‘lip-sync’.

“Visualnya akan nampak lebih lembut, sesuai dengan jalan cerita dan irama lagu itu,” katanya yang kerap bekerja bersama Ajai.

Kembali bercerita mengenai proses rakaman di Wake The Baby, Ajai menjelaskan, kini enam lagu milik Alya siap dirakam. Katanya, insya-Allah, jika tiada aral, album solo Alya akan dikeluarkan selepas Aidilfitri nanti.

“Sebelum menyiapkan album penuh, saya mahu mengetengahkan dua single ini terlebih dulu. Saya yakin Alya ada kekuatan dan bakat tersendiri untuk menjadi penyanyi yang baik.

“Buktinya sudah ada ketika dia menyanyikan dua single ini. Saya terkejut dengan bakat dimilikinya. Untuk pembikinan klip video ini, saya mahu memberi yang terbaik untuknya.

“Sebab itu juga saya bekerjasama dengan Hedy bagi menghasilkan kualiti dan idea menarik. Bukan berniat mahu menidakkan kehebatan pengarah tempatan. Namun, ini peluang saya berkongsi idea dalam bidang seni dengan dunia luar.

“Bagi saya, seni adalah perkara yang perlu kita kongsi dan bukan bersaing. Seni juga punya maksud luas dan ia juga penyebab mengapa kita perlu berkongsi,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: