Kelab Kembar Elit

7 Sep

BRAD Pitt dan Angelina Jolie bukan satu-satunya pasangan Hollywood yang dikurniakan anak kembar.

Kelab kembar selebriti semakin membesar apabila lebih ramai golongan kaya dan ternama mengumumkan mereka juga akan memperoleh anak kembar.

Pelakon siri Ugly Betty, Rebecca Romijn adalah pelakon terbaru yang mendedahkan akan dikurniakan dua anak sekali gus. Bekas model berusia 35 tahun dan suaminya, Jerry O’Connell, 34, akan menjadi ibu bapa buat kali pertama pada musim sejuk ini.

Dan Lisa Marie Presley – anak mendiang Elvis Presley, yang adik kembar lelakinya mati ketika lahir, juga mengesahkan dia dan suami keempatnya, Michael Lockwood menanti kelahiran anak kembar tidak lama lagi.

Kelahiran anak kembar itu akan menyaksikan selebriti berusia 40 tahun itu kembali melakukan tugas menyalin lampin. Dua anaknya hasil perkahwinan sebelum ini sudah mencapai usia belasan tahun.

Kedua-duanya menyusuli langkah pasangan selebriti yang membuktikan bahawa mempunyai anak kembar meningkatkan keseronokan berkeluarga.

Berikut ialah selebriti yang sudah melalui pengalaman memiliki anak kembar.

Sean Combs dengan D’Lila Star dan Jessie James

Apabila ditanya mengenai kelahiran anak kembar oleh bekas teman wanitanya, Jennifer Lopez, penyanyi Sean Combs yang juga dikenali sebagai Diddy berkata: “Ia bukan setakat menggandakan kasih sayang, tetapi juga tangisan dan jeritan.

“Saya menganggap keadaan itu sebagai anugerah Tuhan. Saya percaya Jennifer tidak akan menghadapi masalah.”

Penyanyi rap, penerbit dan pelakon itu sebenarnya bersedia untuk menyambut kelahiran anak kembarnya, D Lila Star dan Jessie James pada 21 Disember 2006.

Sejurus sebelum itu, dia ada di Toronto kerana terbabit dalam rakaman filem.

Dia bergegas pulang ke New Jersey dan sempat membawa ibu kanak-kanak itu, Kim Porter ke Hospital Mount Sinai. Sejam selepas tiba, bintang rap itu sendiri yang memotong tali pusat kedua-dua anaknya.

Belum pun mencecah usia dua tahun, D’Lila Star dan Jessie James sudah dicurahkan dengan pelbagai kemewahan hidup. Bilik mereka dihiasi dengan lukisan yang ditempah khas.

Segala kemewahan yang dicurahkan itu bagaimanapun umpama setitik air di lautan bagi Diddy, 38, yang pendapatan tahun lalunya berjumlah RM78 juta.

Marcia Gross dengan Eden dan Savannah

Marcia begitu risau apabila diberitahu dia mengandung anak kembar.

“Saya amat takut setiap kali terbayang akan melahirkan anak kembar. Namun kini, ia seolah-olah saya menang loteri. Saya melahirkan dua anak perempuan,” kata pelakon siri Desperate Housewives itu.

Dia berkahwin dengan ahli perniagaan, Tom Mahoney pada 2006. Kedua-duanya sudah mencecah usia 40-an apabila cuba untuk mempunyai anak.

“Kami melupakan soal berbulan madu. Sebaliknya kami mendapatkan menjalani IVF sejurus selepas berkahwin,” kata Marcia.

Pelakon itu melahirkan pasangan kembar, Savannah dan Eden pada 20 Februari 2006, beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-45.

Marcia yang memegang watak ibu dua remaja belasan tahun dalam siri popular televisyen Amerika Syarikat itu, tidak mengambil masa lama untuk belajar menyusukan kedua-dua anaknya serentak.

Dalam usaha untuk membesarkan kedua-dua anaknya secara normal, Marcia sering dilihat bersama mereka di taman di Santa Monica.

“Saya gembira dapat menjadi ibu. Sebelum ini, saya tidak dapat membayangkan kegirangan untuk memiliki anak sebenar,” katanya.

Julia Roberts dengan Hazel dan Finn

Pemenang anugerah Oscar, Julia Roberts berusia 37 tahun dan menjadi pelakon wanita yang menerima bayaran tertinggi apabila dia melahirkan Hazel Patricia dan Phinnaues ‘Finn’ Walter pada 28 November 2004.

Anak kembar itu, hasil perkahwinan dengan suami keduanya, jurugambar, Danny Moder, diperoleh menerusi persenyawaan in vitro (IVF).

Pasangan itu yang berkahwin secara rahsia di kediaman mereka di New Mexico pada 4 Julai 2002, kemudian dikurniakan seorang lagi anak, Henry Daniel pada 18 Jun tahun lalu. Julia dilaporkan memberitahu orang yang rapat dengannya, dia berharap dapat memperoleh sepasang anak kembar lagi.

Pelakon filem Erin Brockovich itu sanggup bercuti berlakon untuk membesarkan anaknya. Bagaimanapun, kini dia kembali menyambung kariernya menerusi filem Duplicity. Dengan Danny sebagai jurukamera yang turut terbabit dalam pembikinan filem itu di Rome, tidak sukar bagi keluarga itu bercuti bersama pada musim panas di ibu negara Itali itu. Tidak ada yang dapat menggembirakan Julia selain dapat bersama keluarganya sambil bekerja.

Dalam temuramah dengan ratu rancangan sembang, Oprah Winfrey, baru-baru ini, Julia berkata: “Kini, saya lebih menghargai kehidupan.”

Jennifer Lopez dan Marc Anthony bersama Max dan Emme

Jennifer dan suaminya, Marc Anthony sejak awal lagi dapat merasakan mereka berpeluang memperoleh anak kembar ketika mengkaji latar belakang keluarga masing-masing.

“Kami sering bergurau. ‘Siapa di antara kami akan memperoleh anak kembar?’ Adik saya akan berkata: ‘Kamu’.

“Ketika menjalani pemeriksaan, doktor berkata: “Oh. Ada seorang bayi. Lihat jantungnya berdegup. Dan ada seorang lagi,'” kata Jennifer.

Ketika itu, menurut selebriti berkenaan, suaminya mula menangis kegembiraan.

“Orang menyangka kami menjalani IVF. Sebenarnya tidak. Ia berlaku tanpa dirancang. Kami sudah lama mencubanya dan tempoh hamil itu adalah yang terbaik pernah saya alami,” kata pelakon itu.

Dengan kedudukan Jennifer sebagai pelakon, penyanyi dan penari kaya-raya, Max dan Emme yang dilahirkan pada 22 Februari 2008 menjalani kehidupan mewah sebaik dilahirkan. Syarikat fesyen pakaian, Dolce & Gabbana menghadiahkan mereka selimut yang dibuat daripada bulu haiwan, pasangan pelakon, Tom Cruise dan Katie Holmes pula menghadiahkan pakaian jenama Bonpoint sementara Eva Longoria dan pendandan rambut, Ken Paves membelikan bayi kembar itu kereta sorong yang berharga RM9,300 setiap satu.

Namun, bagi Jennifer, yang lebih penting baginya ialah menjadi ibu.

“Anda mungkin memenangi oscar atau dicalonkan untuk anugerah Golden Globe. Namun saya tidak dapat bayangkan perkara yang lebih menyeronokkan selain melahirkan serta mempunyai anak sendiri. Ia menjangkau segala-galanya yang boleh anda bayangkan,” katanya.

Rick Parfitt dengan Tommy dan Lily

Penyanyi kumpulan Status Quo, Rick Parfitt mengejutkan semua orang apabila menjadi bapa sekali lagi ketika usianya hampir mencecah 60 tahun.

Dua anaknya hasil perkahwinan sebelum ini berumur 30 tahun dan 19 tahun. Dia dan isteri barunya, Lindsay, 47, dikurniakan anak kembar menerusi IVF.

Tommy Oswald dan Lily Rose dilahirkan pada 26 Mei 2008 menerusi pembedahan di sebuah hospital di Malaga, Sepanyol, tempat pasangan itu menetap. Bagaimanapun, kerana peraturan tempatan, Parfitt tidak dibenarkan berada dalam bilik bersalin. Dia hanya melihat anaknya apabila jururawat menunjukkan bayi kembar itu kepadanya di bilik menunggu.

“Sekalipun mempunyai wang yang begitu banyak, anda tidak dapat membeli sesuatu yang berharga seperti kanak-kanak ini. Saya menjalani kehidupan rock’n’roll sehingga ke kemuncaknya.

“Saya menjalani pembedahan jantung dan disyaki menghidap barah kerongkong, tetapi dapat mengatasinya. Kini, kehidupan saya lebih teratur. Saya tidak percaya boleh menjadi bapa sekali lagi,” kata penyanyi itu.

Tom dan Lily akan menjalani kehidupan mewah di Marbella, dengan memiliki kolam mandi sendiri.

“Rumah kami akan kelihatan seperti Disneyland sebelum Krismas ini,” kata Parfitt.

Dia bagaimanapun mengaku, dengan menjadi bapa yang sudah berusia, keadaan mungkin agak rumit.

“Saya sedar keadaan mungkin tidak mudah. Maksud saya, bermain bola sepak dengan Tommy ketika saya berusia 70 tahun,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: