Nur Aliah Lee Sunyi Sendirian

7 Sep

Oleh WANDA IDRIS
Solekan & Dandanan DEQ SHA (019 3495383)
Pakaian RIZALMAN IBRAHIM (03 21416149)
(Baju kaftan biru
menggunakan fabrik Benna of Italy)

KETIKA cerita ini ditulis, Nur Aliah Lee Abdullah sedang berada di Tanah Suci mengerjakan umrah. Buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke sana, Nur Aliah atau mesra disapa Vee mengakui hatinya teruja.

Dalam keterujaannya ke Mekah dan sempat pula mengerjakan ibadah berpuasa di sana, Nur Aliah juga tidak menyembunyikan debaran yang dirasai kerana berseorangan tanpa muhrim ke sana malah juga mendengarkan pelbagai cerita daripada orang sekeliling.

Pun begitu, ia bukan alasan untuknya berlengah-lengah malah baginya kunjungan ke Tanah Suci itu adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.

“Inilah tempat yang ingin saya kunjungi dan mencari ketenangan. Mahu melihat Kaabah dengan mata kepala saya sendiri.

“Mahu bersujud kepada-Nya dan berdoa untuk anak-anak, keluarga dan diri saya. Mahu meminta keampunan dan diberikan keberkatan dalam kehidupan dan dilimpahi rezeki,” demikian ujar Nur Aliah lewat pertemuan sehari sebelum pemergiannya pada 24 Ogos lalu.

Berada di sana selama dua minggu, Nur Aliah yang akan pulang ke tanah air esok (8 September) sempat juga menghubungi melalui telefon dan meninggalkan khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu betapa bersyukurnya dia dapat ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Seronok sungguh di sini,” kata Nur Aliah di hujung talian sambil berkali-kali mengucap syukur kerana dipermudahkan segala amalan yang dikerjakan.

Sebenarnya kata Nur Aliah, perjalanannya ke Tanah Suci merupakan perjalanan kedua secara bersendirian ke luar negara selepas 15 tahun.

Kali pertama, dia mengembara seorang diri 14 tahun lalu semasa ke Armsterdam sewaktu mengunjungi bekas suaminya, Aziz M. Osman yang sedang belajar di sana.

Malah Nur Aliah mengakui hanya berpeluang mengunjungi Tanah Suci pada ketika ini kerana kesempatan yang hadir lantaran anak-anaknya sudah besar.

Ibu tunggal kepada enam anak – Puteri Nur Asyiqin, 15; Putera Muhamad Aiman, 13; Puteri Nur Aisya, 9; Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Muhammad Ameen, 5 serta seorang anak tiri, Puteri Nurul Fatehah, 20 – memberitahu biarpun dihambat kesibukan di lokasi dan menguruskan syarikat Ace Motion Pictures miliknya bersama Aziz, dia seboleh-boleh mencari masa sesuai untuk berkelana ke Mekah.

Dan merungkai perasaannya sejak bersendirian selepas bercerai dengan pengarah filem dan drama bersiri popular itu setahun setengah yang lalu, Nur Aliah mengakui dirinya sebenarnya sunyi biarpun masanya banyak dihabiskan di lokasi serta mengurus syarikat selain menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Namun kata wanita berkulit putih mulus ini, dia sentiasa bersikap positif dalam mengharungi kehidupan. “Memang dalam hidup akan datang macam-macam perkara tetapi kita perlu mengajar diri agar tidak terbawa-bawa,” tegasnya.

Dan melihat dirinya yang sentiasa tersenyum, kata Nur Aliah, dia sebenarnya bukanlah seorang wanita sempurna yang mampu menangani setiap permainan kehidupan.

“Saya tidaklah sekuat mana. Ada masanya naik, ada masanya turun. Kita bukan manusia sempurna. Ketika saya cuba menyelamatkan rumah tangga tetapi tidak berjaya, saya kecewa.

“Tapi ada banyak cara untuk kita kuat. Saya suka membaca buku motivasi. Aziz juga banyak membaca buku sebegitu dan ia sebenarnya banyak membantu kita untuk percaya kepada diri agar merasakan sebuah kegagalan itu bukan satu perkara besar. Sebaliknya ia satu perkara yang dapat membimbing kita untuk menjadi seorang manusia yang lebih bagus.

“Sebenarnya saya juga ‘kuat’ kerana anak-anak dan keluarga. Dan Aziz yang terus menjadi kawan kepada saya. Kawan-kawan rapat juga banyak menaikkan semangat diri,” jelasnya.

Memberitahu dirinya sunyi, saya bertanyakan kepadanya tidakkah dia berkeinginan untuk berumah tangga lagi sementelah bekas suaminya juga sudah mempunyai kehidupan sendiri selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang ustazah, Noraradhirah Ramli, 22 pada 16 Ogos lalu.

Lagi pula, ada khabar menyatakan bahawa kini dia rapat dengan seseorang daripada keluarga diraja malah gambar mereka berdua pernah disiarkan di majalah tempatan dan hubungan itu turut menjadi perbincangan di forum Internet.

Jujur sahaja kata Nur Aliah, dia memang ingin berkahwin lagi cuma masanya itu tidaklah dapat ditentukannya.

“Saya ini wanita. Jadi bercakap lebih-lebih pun tak elok,” katanya yang tidak menafikan mengenali insan yang dikaitkan dengannya malah memberitahu yang dia juga baik dengan ibu lelaki tersebut.

“Beliau seorang yang baik, sentiasa memberi semangat. Ibunya juga seorang yang baik. Bila dapat tahu saya nak pergi umrah, dia banyak berkongsi pengalaman dan memberi malah membantu saya membeli barang-barang untuk umrah,” ujarnya.

Namun Nur Aliah menegaskan, soal nikah kahwin, perlulah diserahkan kepada takdir.

“Kita hanya boleh merancang, Tuhan yang menentukan. Bagi saya, soal jodoh, saya serahkan kepada-Nya,” ujar Nur Aliah dalam senyumnya. Dan berbicara soal perkahwinan Aziz, Nur Aliah ternyata gembira dan bersyukur kerana bekas suaminya itu sudah menemui gadis pilihan hati.

“Semoga perkahwinannya itu berkekalan. Sedih? Tidak! Malah saya gembira kerana setiap lelaki terutama yang bercerai perlukan isteri untuk menguruskan makan pakainya,” katanya tenang.

Nur Aliah juga menganggap perceraian bukanlah sebab bagi mereka untuk menghancurkan hubungan masing-masing malah hubungan mereka terus kekal elok khususnya dalam soal profesional seperti kerja dan pengurusan syarikat.

“Bekerja satu bumbung tak susah. Perasaan kasih sayang pasti ada. Bayangkan 15 tahun hidup bersama. Tapi hidup mesti diteruskan.

“Aziz kini ada kehidupan dia tapi kami berdua ada tanggungjawab bersama. Anak-anak. Jadi dalam apa juga yang dibuat, saya menganggap komunikasi amat penting,” ujarnya lagi.

Semakin popular dengan drama bersiri, bermula dengan Cinta dan Keadilan, diikuti dengan Vice Versa yang mendapat sambutan, kini Nur Aliah muncul dengan drama Ampang Medikal, drama 26 episod yang kini ditayangkan selama sejam pada setiap Khamis, 8.30 malam di stesen ntv7.

Selain menguruskan Ace Motion Picture yang ditubuhkan bersama Aziz pada 2004, Nur Aliah juga bertanggungjawab mengurus Ace Media post, anak syarikat Ace Motion Pictures yang mengendalikan kerja-kerja pasca produksi serta Padi Pictures yang ditubuhkan dua tahun lalu bertujuan untuk melahirkan pengarah-pengarah baru.

Sebagai Pengarah Urusan, Nur Aliah mengendalikan kerja-kerja pengurusan dan pemasaran produk manakala Aziz yang bertindak sebagai ketua dan Pengarah syarikat lebih menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kreatif serta membuat proposal.

Antara projek-projek yang dikendalikan termasuk menerbitkan drama bersiri Romeo, Puteri (yang kini masuk musim 10) dan Fara (masuk musim 3) serta perancangan menerbitkan beberapa siri projek baru untuk rangkaian Media Prima Berhad dan Astro.

Malah Ace Motion Pictures bakal mempunyai bangunannya sendiri di Kota Damansara apabila kerja-kerja pengubahsuaian siap sepenuhnya pada tahun depan.

Melihat dirinya yang sentiasa aktif – berlakon, mengurus syarikat dan menjadi ibu tunggal, tidakkah Nur Aliah merasa penat dengan keadaan dirinya?

“Menjadi seorang ibu itu tanggungjawab. Saya amat senang dikelilingi anak-anak, melihat mereka membesar depan mata. Saya amat menyayangi mereka.

“Menguruskan syarikat, walaupun banyak kerja tetapi saya enjoy melakukannya. Cuma berlakon saya akui memang meletihkan. Ia juga merugikan masa.

“Saya seorang yang sangat menghargai masa dan berlakon memaksa kita untuk banyak menunggu sedangkan banyak lagi kerja yang boleh kita lakukan. Tapi saya berlakon kerana kawan,” jelasnya.

Pun begitu drama Vice Versa yang dilakonkan bersama Aziz serta Umie Aida, Abby Abadi dan Fahrin Ahmad yang mendapat sambutan kerana idea dan konsep yang segar dan berbeza namun Nur Aliah mengakui impaknya terkena kehidupan peribadinya.

Ramai yang menyangka, hanya kerana dia berlakon bersama-sama Aziz dan Aziz juga yang menulis cerita selain hubungan yang terus baik selepas bercerai membuatkan ada menganggap drama itu ada kena mengena dengan kehidupannya.

“Ramai yang salah sangka ingatkan ia begitu. Sedangkan kami berdua sangat berahsia tentang kehidupan-kehidupan peribadi kami.

“Ia sekadar sebuah cerita dan seeloknya ditonton cerita itu tanpa membabitkan dengan kehidupan saya,” kata Nur Aliah yang mengakui terganggu dengannya.

“Mana tak tertekan, orang luar tak faham. Ya, saya tahu, tiba-tiba keluar kisah kami bercerai dan ramai yang mahu tahu tentangnya. Itu yang ramai buat andaian bila tengok drama itu. Tapi saya berlakon secara profesional.

“Aziz pun dah kahwin dan ada kehidupannya sendiri. Saya harap saya tidak lagi dikaitkan dengan Aziz melainkan soal-soal kerja. Mungkin juga kerana masih terus bersama Aziz membuatkan masyarakat pandang lain. Tapi pemikiran kena ke hadapan. Kehidupan harus diteruskan. Tak boleh pentingkan diri sendiri. Kami ada anak-anak.

“Mereka itu lebih penting dan mereka perlu membesar dengan persekitaran yang sihat. Ia tanggungjawab yang tak kan habis sehingga akhir hayat.

“Kalau sebuah perkahwinan tidak berjaya, putus di tengah jalan, itu sudah tiada jodoh. Namun saya tidak pernah menyesali apa yang saya lalui selama 15 tahun bersama. Hidup pasti ada pasang surutnya. Saya tak kata gagal cuma jodoh setakat itu sahaja.

“Bagi saya, bercerai, biarlah bercerai. Tapi tanggungjawab tak boleh dan tak mungkin dipersia-siakan. Mereka perlukan kami. Ibu bapa perlu menjadi kawan kepada anak-anak.

“Kalau dah berpisah dan bergaduh, ke mana anak-anak nak mengadu? Kalau mereka dapat kawan ok, syukur. Macam mana kalau tak?

“Tak semestinya bercerai itu bergaduh. Kita ada tanggungjawab. Selain anak-anak, kita juga ada syarikat. Kami tubuhkan syarikat untuk mencari rezeki – untuk survival, untuk masa depan anak-anak.

“Ace Motion ditubuhkan atas rasa kasih sayang dan tanggungjawab. ia tentang cinta kami kepada industri. Ini untuk anak-anak,” tambahnya.

Sambil menegaskan anak-anaknya adalah hartanya yang paling berharga, seperti wanita lain yang mahu dicintai dan disayangi, Nur Aliah mengakui mengharapkan menemui lelaki yang mahu hidup bersama dirinya dan menerima kehadiran anak-anaknya.

Malah katanya, dia memang sudah bersedia untuk menempuhi alam perkahwinan sekali lagi. “Kalau ikutkan saya, tahun ini saya nak kahwin,” katanya lagi sambil tersenyum.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: