Cuti Sambil Beraya

9 Sep

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

SABAN tahun berpuasa di negara sendiri, Ramadan ini Ezlynn, 27, bersama pengurusnya Adam berangkat ke Amerika Syarikat (AS). Mereka berada di sana selama sebulan. Dapatlah Ezlynn merasa berpuasa dan beraya di tempat orang. Julung kali Ezlynn berjauhan dengan keluarga pada Syawal ini.

“Tak tahulah bagaimana rasanya berpuasa dan beraya di negara orang. Kalau di tempat sendiri, hendak makan apa saja pergi saja ke Bazar Ramadan tetapi di AS nanti tentu susah hendak mencari makanan kegemaran. Mujurlah saya tidak begitu cerewet mengenai makanan.

“Adalah saya membawa sepasang dua baju raya untuk digayakan di sana nanti. Inilah kali pertama beraya tanpa keluarga. Tetapi orang Melayu pun ramai menetap di AS, mungkin suasana raya masih dapat dinikmati di sana walaupun tidak semeriah di negara sendiri,” katanya.

Menurut Ezlynn, dia teruja untuk bercuti di negara ‘uncle Sam’ itu selepas banyak kali mendengar cerita mengenai perkembangan hiburan di negara itu daripada rakan yang pernah berkunjung ke sana.

Antara agendanya di sana nanti, melawat Hollywood dan menyaksikan konsert Janet Jackson di Hotel Staple Center di Los Angeles serta melawat beberapa tempat menarik yang boleh mengembangkan lagi mindanya dalam dunia hiburan.

“Selepas dua tiga tahun hanya tumpu pada kerja, saya perlu berehat dan memilih AS sebagai destinasi percutian. Selain bercuti saya juga akan meninjau kemajuan industri hiburan di sana.

“Saya mempunyai ramai kenalan di AS. Ketika berada di sana nanti bolehlah menginap di rumah mereka kerana lama tinggal di hotel pun jemu juga. Boleh juga bertukar cerita dan idea dengan mereka yang sudah lama berada di perantauan,” katanya.

Mengenai kerjaya seninya, selama tujuh tahun menjadi artis KRU Music Group (KMG), Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, hanya sempat tampil menerusi dua album, Ehhmm! (2003) dan Psst (2004). Sedangkan artis lain yang baru bernaung dengan syarikat rakaman itu sudah ada album melebihi Ezlynn sendiri.

Meskipun penyanyi kelahiran Hulu Kinta, Ipoh, Perak itu agak terkilan dengan layanan yang agak berat sebelah, namun sebagai artis apalah sangat yang boleh dilakukannya.

Suka atau tidak dengan apa yang berlaku, bagi Ezlynn lebih baik dia berdiam diri kerana tidak mahu dipersalahkan di belakang hari.

Kini kontrak Ezlynn bersama syarikat itu sudah tamat. Maknanya tiada harapan untuk Ezlynn hadir dengan album baru.

“Sejak dua tahun lalu, mereka hanya mengeluarkan dua lagu single, Menunggu Mu, iaitu lagu tema filem Cicak Man (2006) dan Jikalau Aku yang melatari filem Duyung.

“Menurut rancangan KMG, mereka bercadang menerbitkan album kompilasi menyisipkan dua atau tiga lagu baru. Tetapi selepas tiada lagi ikatan dengan KMG, nampaknya saya terpaksa melupakan keinginan untuk melahirkan album berkenaan,” katanya.

Dengan tamatnya kontrak itu juga, Ezlyn berhasrat menerbitkan album sendiri menerusi syarikat pengurusannya sendiri, Ezlynn Entertainment Sdn Bhd.

“Saya bersama pengurus, Adam, bercadang menggunakan pengalaman yang ditimba selama ini untuk menerbitkan album sendiri. Selepas ini segala urusan dikendalikan Ezlynn Entertainment,” katanya.

Pada pertemuan itu juga dia melahirkan keinginan untuk merakamkan lagu dangdut kerana pada mana-mana persembahan Ezlynn biasa menyanyikan lagu itu yang menerima sambutan hangat penonton.

“Sebelum menjadi artis rakaman lagi saya selalu menyanyikan lagu dangdut. Oleh kerana tidak pernah merakamkan lagu dangdut, saya selalu membawakan lagu Mas Idayu dan Amalina. Pada saya muzik dangdut tiada ‘standard’ tertentu. Irama dangdut menjadi tarikan utama kepada penonton dan sebaik muzik itu bergema ia terus ‘menghidupkan’ suasana.

“Untuk setiap persembahan yang dijayakan, saya akan menyediakan lagu dangdut, lagu Inggeris, Mandarin, Jepun dan dua lagu sendiri berdasarkan kaum yang datang. Jika jemputan ada orang Jepun, saya mesti selitkan satu lagu Jepun.

“Biarpun arus hidup kian berubah namun lagu dangdut mempunyai tempat di hati peminat. Irama dan liriknya yang ceria cepat ‘menangkap’ pada halwa pendengar.

“Oleh itu saya bercadang menyisipkan satu lagu dangdut dalam album baru itu nanti, sebagai percubaan. Adakala untuk persembahan pentas, penonton mahukan yang lain, bukan setakat lagu dalam album. Dalam perkara ini, penyanyi mesti kreatif memilih lagu. Penonton juga ada bertanya sama ada saya akan menyanyikan lagu dangdut. Maknanya lagu berirama itu memang ada permintaan.

“Menyanyikan lagu dangdut juga boleh mengajak penonton ke pentas untuk ‘berlawan’ gelek siapa paling panas. Sepanjang menjadi artis KMG, mereka memilih semua lagu. Jadi, sampai masanya sekarang saya dan Adam memilih lagu yang saya berkenan dan peminat pun suka,” katanya.

Ezlynn yang ligat merancang masa depannya dalam bidang seni, baru habis berlakon drama 26 episod, Suara Hati, untuk tayangan Astro. Dia juga mengacara namun hanya memilih program yang benar-benar menambat hati. Jelasnya lagi, menyanyi adalah keutamaan jadi kalau ada tawaran lain, ia dibuat apabila ada kelapangan.

“RTM (Radio Televisyen Malaysia) banyak kali mengundang saya mengacarakan program terbitan mereka seperti Rentak Juara, Jelita dan Galaksi tetapi bertembung dengan persembahan pentas,” katanya.

Perkembangan lain, Ezlynn yang menjadikan ular sawa balar bernama Kiki sebagai binatang peliharaan berhasrat untuk menjual ular itu yang kini sepanjang tiga meter. Walaupun Ezlynn begitu menyayangi Kiki kerana dia membela ular itu seperti anak sendiri tetapi kerana faktor keselamatan Ezlynn terpaksa menjualnya.

“Sebelum ini ada pihak berkenan dengan Kiki tetapi saya tidak sanggup untuk ‘melepaskannya’ kerana sudah lama saya membelanya. Tetapi kini, kalau ada yang berminat untuk membeli saya terpaksa menjualnya.

“Bimbang juga semakin besar, Kiki tidak boleh dikawal. Bagaimanapun selama saya membelanya, dia senang dijaga dan manja. Pun begitu, selepas dia terus membesar, saya tidak mampu untuk menjaganya lagi,” katanya

>Profil

Nama: Azline Ariffin

Asal: Hulu Kinta, Perak

Tarikh Lahir: 27 September 1981

Zodiak: Libra

Status: Bujang

Tinggi: 5 kaki 3 inci

Album: Ehmm…, Pssst…!

Filem: Bilut, Diva Popular, Zombie Kampung Pisang

Mengacara: Pilihanku (RTM), Gaya Hidup Seimbang (ntv7) dan Mentor (TV3).

Pencapaian: Juara Kategori Pop Rock, Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: