Keajaiban Filem

21 Sep

‘My Magic’ satukan bapa
dan anak
di alam realiti

Oleh
Haryani Ismail

PISAU cukur ditelan ahli silap mata, Bosco Francis, satu-persatu macam kesedapan makan kuih pau.

Ngilu pula melihatnya mengeluarkan pisau cukur itu yang terikat rapi pada seutas benang dari mulutnya.

Serpihan kaca pula dikunyah bagaikan seronok makan kacang di petang hari.

Babak-babak ngeri ini dapat anda saksikan dalam filem terbaru Eric Khoo, My Magic, yang diberikan penilaian NC-16 kerana babak-babak ngeri itu.

Dalam satu pertemuan dengan Eric dan Francis di Hotel Goodwood Park, Eric tampak kecewa kerana filem tentang hubungan tegang seorang bapa dan anak itu tidak diberi penilaian PG untuk tontonan umum.

‘Inilah kali pertama saya mengarah filem Tamil kerana Francis. Ingatkan filem ini akan diluluskan dengan gred PG. Rupa-rupanya, gred NC-16!’ ujar Eric yang sebelum ini dikenali kerana filem- filemnya, 12 Storeys dan Mee Pok Man.

Banyak yang ingin disampaikan Eric dalam filem ini yang menceritakan tentang seorang bapa tunggal ‘kaki arak’ dan ahli silap mata yang menghadapi kepayahan meyakinkan anaknya bahawa dia seorang bapa yang baik.

Eric mulanya tergerak membuat filem ini bertahun-tahun lamanya apabila bertemu Francis di sebuah pub di Mohamed Sultan Road.

‘Saya nampak dia makan api dan saya pun terfikir saya mesti mendapatkan orang ini untuk filem saya selanjutnya.

‘Saya pula sering ditanya wartawan apakah filem selanjutnya. Saya terfikir tentang Francis dan akhirnya meyakinkan dirinya ia adalah usahasama yang perlu digerakkan segera,’ jelasnya.

Francis, dalam pertemuan itu sendiri akur ada masalah dengan anaknya. Hubungan mereka tegang dan si anak telah pun berhijrah ke Ireland kerana berkahwin dengan orang asing.

‘Pengarah fotografi saya pun ada masalah dengan bapanya. Apabila filem ini dihasilkan, saya sendiri gembira sebagai seorang ayah.

‘Suatu ketika, anak saya datang bertemu saya. Apabila saya memberitahunya, saya bikin filem untuknya, dia terharu dan mendakap saya. Hubungan kami bertambah baik.

‘Saya juga dapat tahu pengarah fotografi itu juga mampu berbaik- baik semula dengan bapanya dan melupakan kisah lalu,’ ujar Francis, tersenyum gembira.

Bagi Eric, filem ini walaupun bukan dalam bahasa yang difahaminya, adalah filem yang memikat hati anaknya.

‘Anak saya bosan dia tak faham filem-filem artistik saya yang dulu. Tapi, filem ini lain. Yang bagusnya, dia faham dari membaca sarikatanya dan melihat mimik muka pelakon-pelakonnya,’ tambah Eric lagi.

Keistimewaan filem sedih yang menyayat hati ini juga terletak pada pelakon remajanya, Jathishweran Naidu, 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Unity.

Dia dikenalkan oleh pelakon dan pengacara lucu, Kumar kepada Eric.

‘Mula-mula, saya takut dengan Uncle Francis sebab dia makan kaca dan makan api. Saya terfikir macam mana saya nak jadi anaknya dalam filem ini?

‘Lama-kelamaan, setelah saya mengenalinya, saya mulai rasa selesa sebab dia pun ajar saya buat silap mata! Pertama kali saya diminta makan api, mulut saya terbakar!’ cerita pelajar ramah itu.

Apakah babak yang paling payah dilakonkannya?

‘Babak monolog dengan mendiang nenek saya. Skripnya panjang dan saya perlu hafal untuk berbual seorang diri!’

Grace Kalaiselvi yang berlakon sebagai pelacur dalam My Magic juga diberi peranan besar – menjadi penterjemah bagi Eric.

‘Saya perlu ada di set penggambaran untuk pastikan lenggok bahasa Tamilnya betul. Saya perlu buat terjemahan pada skrip asal.

‘Yang menggembirakan saya, kali pertama saya beralih dari pentas ke filem, saya dapat jayakan filem yang dibawa ke Pesta Filem Cannes!’ kata Grace.

My Magic juga dipilih Suruhanjaya Filem Singapura (SFC) untuk penyertaan rasmi bagi Anugerah Filem Bahasa Asing Terbaik, Anugerah Academy.

Adakah Eric bercadang mengarah filem Melayu pula?

‘Tak tahu ya… tengok macam mana dan keadaannya,’ jawabnya yang sedang menyiapkan filem tentang penari bogel legenda, Rose Chan.

Cyberita

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: