Sudah Cakap Pasal Kahwin

30 Oct

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

TIDAK malu-malu, tanpa segan, jauh sekali menyorokkan kisah indah percintaan mereka.

Malah dek kemesraan yang semakin meranum, pasangan Zahid dan kekasihnya, penyanyi tinggi lampai Nita mempunyai hajat besar dimasa depan.

Mereka tidak mahu mensia-siakan hubungan istimewa yang terjalin semenjak setahun lalu.

Sudah menjadi kemestian meminta restu ibu bapa bagi setiap pasangan untuk memilih hidup bersama selamanya.

Begitu juga yang terjadi kepada pasangan ini yang tanpa malu-malu memberitahu hubungan mereka pada ketika ini tidak dihalang oleh mana-mana pihak termasuklah anggota keluarga masing-masing.

“Saya sudah jumpa keluarga Nita dan Nita sendiri sudah berjumpa dengan keluarga saya. Cuma kedua-dua orang tua kami belum kenal lagi antara mereka.

“Buat masa sekarang tiada masalah soal restu atau izin keluarga. Emak saya memang akan ambil tahu dengan siapa saya berkawan dan nampaknya masa saya memperkenalkan Nita kepadanya, tiada sebarang bantahan dan dia okey saja,” cerita Zahid.

Pun begitu kata Zahid, menjadi kebiasaan bagi orang tua untuk menasihati anaknya agar tidak tersasar dalam tingkah dan laku, meskipun sudah besar panjang.

Tambahan pula ibubapanya menyedari risiko yang bakal dilalui oleh anak yang merupakan orang yang dikenali ramai.

Zahid memberitahu, ibunya acap memberi nasihat supaya menjaga segala tingkah laku agar tidak menyakitkan hati pihak lain. Antara nasihat yang sentiasa diingati Zahid ialah ibunya juga tidak mahu segala perbuatan anaknya menjadi bualan umum.

“Emak tak kisah dengan hubungan kami. Cuma dia selalu pesan kena jaga banyak benda. Jangan suka buat perangai sebab dia tak mahu orang cakap macam-macam, nanti keluarga juga yang malu,” katanya.

Justeru Zahid secara peribadi lebih suka seandainya kisah cintanya tidak terlalu digembar-gemburkan kerana dia tidak mahu menanggung malu dikemudian hari seandainya apa yang dikatakannya tidak menjadi. Pun sebagai artis dia sedar, segala kisah terbaru mengenai dirinya akan menjadi bahan cerita banyak pihak.

“Hubungan saya dengan Nita berjalan lancar dan kami semakin rapat. Malah, kami juga saling nasihat-menasihati antara satu sama lain. Jujurnya, saya begitu selesa berada dengannya, tetapi tidak boleh cakap banyak sebab segalanya terserah kepada jodoh,” terang Zahid sambil memandang manja ke arah Nita.

Tidak terlepas daripada ditanyakan dengan soalan percintaan, celoteh bersama Zahid dan Nita diteruskan lagi dengan apakah mungkin kesudahan hubungan mereka berakhir ke jinjang pelamin?

Sekiranya benar, mungkin jua mereka sudah membincangkan hal terbabit tetapi belum diketahui bila agaknya saat indah yang dinantikan oleh Nita untuk menerima lamaran daripada Zahid.

Mana tidaknya, jelas sekali pasangan ini bukan sahaja secocok tetapi keserasian yang terjalin membayangkan hubungan mereka kini sedang berbunga mekar. Saat menanyakan soalan bagaikan soalan cepu emas bagi pasangan ini, Zahid memberitahu dia mempunyai sasaran tersendiri bila bercakap tentang masa depan.


EH! Perempuan mana di sebelah Nita tu? Zahid memang suka melawak membuatkan Nita sentiasa ketawa.

“Soal perkahwinan, saya menetapkan sasaran umur 30 tahun. Tetapi hakikatnya, kalau jodoh itu tiba awal, tak ada masalah.

“Sebenarnya kalau diikutkan kami perlu tengok banyak perkara juga. Terutamanya soal kewangan peribadi terlebih dahulu dan apakah kami sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar. Itu yang penting,” kata Zahid penuh makna.

Namun berbeza pula dengan Nita yang tidak pernah mempunyai sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga. Sebaliknya sebagai perempuan, dia hanya berserah sahaja jodoh kepada Ilahi.

“Memang saya tak ada sasaran mahupun dulu atau sekarang. Bila dah sampai seru dan jodoh, saya tidak akan menolaknya,” kata si tinggi lampai ini.

Meskipun keserasian begitu terserlah antara mereka, baik Zahid mahu pun Nita tidak memilih untuk terlalu tergesa-gesa.

Sebaliknya mereka mahu menjaga perjalanan cinta itu dengan sebaik mungkin sebelum benar-benar bersedia untuk memulakan langkah baru dalam kehidupan.

Rancak berborak, sempat juga bertanyakan desas desus yang sebelum ini yang memperkatakan Zahid dilihat sudah membeli barangan perkahwinan di Bandung, Indonesia.


ZAHID dan Nita menyerahkan takdir perkahwinan mereka kepada Ilahi.

Mendengar saja persoalan itu, Zahid terus tergelak besar, langsung tidak menampakkan mimik muka terkejut atau sebaliknya.

Kekecohan yang tersebar itu sebenarnya berpunca apabila dia terbang ke Bandung untuk menemani salah seorang anggota kumpulan Ruffedge, Zain untuk membeli persiapan perkahwinannya.

“Saya ada ke Bandung tetapi bukan untuk membeli persiapan saya, saya hanya teman Zain sahaja untuk persiapan kahwin dia,” jelas jujur Zahid.

Tolak bertunang lama

Gelak tawa pasangan ini sungguh ceria bagaikan tidak sabar menanti bilakah saat dapat melihat mereka melangkah ke alam perkahwinan.

Zahid menjelaskan, tidak dinafikan memang dirinya dan Nita ada juga membincangkan perihal itu tetapi tidak secara serius. Ia cuma cakap biasa sahaja, tanpa serius.

Pasangan ini sendiri mengakui sekiranya percintaan mereka membawa ke alam lebih bahagia, pastinya tidak akan ada tempoh pertunangan yang terlalu lama.

Bukan apa, bimbang mungkin terjadi perkara yang tidak diingini atau kurang elok, justerus mereka kurang bersetuju untuk mengikat tali pertunangan. Maklum sahaja memegang status tunangan orang merupakan satu cabaran dalam setiap hubungan.

“Kalau bertunang sekalipun kami mahu sekejap sahaja. Barangkali juga, bertunang dan pada masa yang sama terus nikah,” katanya.

Bagi majlisnya pula memang belum terfikir konsep yang diimpikan tetapi sudah pasti akan dilaksanakan supaya menyenangkan hati kedua-dua belah pihak. Majlis sebelah Nita bakal diadakan di Selayang iaitu rumah keluarga Nita, manakala majlis Zahid pula di Teluk Intan, Perak. Itu perancangan mereka anda seru berkahwin sudah sampai.

Cemburu Nita

Setiap pasangan bercinta tidak boleh lari dari pergaduhan kecil. Begitu juga yang berlaku kepada pasangan bahagia ini. Mereka juga tidak boleh terlepas dalam hal bergaduh, berbaik dan kemudian bergaduh lagi.

Nita mengakui, pergaduhan biasa memang ada tetapi selisih faham yang berlaku antara mereka sebenarnya dapat merapatkan lagi hubungan yang terjalin.

“Gaduh sudah tentu pernah ada, tetapi saya bertuah sebab Zahid lebih banyak berdiam diri sahaja bila ada masalah. Jadi gaduh kami tak panjang, tak merebak menjadi lebih besar,” beritahu Nita sambil bersyukur kerana ditemukan dengan lelaki seperti Zahid.

Zahid yang tidak habis mengusik Nita pula menjelaskan, Nita lebih bersikap cemburu tetapi dia boleh menerimanya kerana memikirkan cemburu itu tandanya sayang. Kami gaduh pun manja-manja sahaja,” usik Zahid sambil tersenyum manis ke arah Nita.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: