Kembara PGL Berterusan

9 Dec

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my


TIARA bersama barisan penaja dan media rasmi yang bakal menjayakan PGLTM musim ketiga.

SELEPAS meraih pelbagai kejayaan diluar jangkaan, Puteri Gunung Ledang The Muzikal (PGLTM) meneruskan kembaranya sekali lagi di Istana Budaya (IB), 6 Februari tahun depan selama 16 hari.

Pementasan teater muzikal yang tidak jemu meraih perhatian penonton ini, membuat keputusan untuk mengabdikan kejayaan lalu dengan kembali ke pentas berprestij IB setelah mendapat permintaan tinggi daripada peminat setia.

PGLTM yang mencipta rekod sebagai teater Melayu pertama yang dipentaskan hampir sebulan di IB, kini meneruskan hayatnya di IB untuk musim ketiga.

Lebih membanggakan lagi, walaupun ia bukannya pertama kali dipentaskan tetapi jualan tiket sudahpun mencecah 10,000 keping setelah sebulan dijual di pasaran. Ini bermakna PGLTM sememangnya masih kuat di hati peminatnya.

“Ini berita yang saya juga baru terima. Memang diluar jangkaan kerana jualan tiket kita begitu laju iaitu 10,000. Ini bermakna hanya 35 peratus tiket belum habis dijual,” jelas Datin Seri Tiara Jacquelina dengan penuh gembira pada sidang media di Borneo Rainforest baru-baru ini.

Berdasarkan kutipan tiket yang begitu memberangsangkan itu, Tiara lebih yakin untuk menyajikan persembahan terbaik kepada penonton setia PGLTM kerana ia merupakan harapan tinggi daripada peminat.

Dalam menyajikan persembahan bukan sahaja menarik tetapi segar di mata peminat, Tiara seringkali mengingatkan tenaga kerja bahawa anggapan penonton perlu dititikberatkan kerana mereka akan membezakan persembahan-persembahan yang lepas.

Sementara itu, Tiara yang tidak pernah patah semangat untuk memperjuangkan seni teater menjelaskan segala persiapan awal dari segi produksi sudahpun bermula pada bulan September lalu.


TIARA dan Stephen sekali lagi bergandingan dalam PGLTM.

“Skrip kita tak banyak ubah kerana skrip lama masih bagus cuma lirik lagu mungkin akan mempunyai sedikit perubahan sahaja,” katanya yang juga merupakan Penerbit Eksekutif sekaligus sebagai bintang utama pementasan tersebut.

Dalam pada itu, perubahan ataupun penambahan yang bakal dilaksanakan adalah hasil daripada pemerhatiannya setelah menyaksikan sendiri beberapa buah teater muzikal antaranya Wicked ketika berada di Australia lima bulan lalu.

PGLTM dibarisi tenaga kreatif yang terkenal dan berpengalaman dalam bidang teater seperti Datuk Zahim Al-Bakri selaku pengarah, Dick Lee (komposer), Adlin Aman Ramlie (penulis lirik, penulis skrip, pembantu pengarah dan pemegang watak Sultan Mahmud Shah), Roslan Aziz (pengarah muzikal), Adeline Tan (penerbit), Saw Teong Hin (penulis naskhah), Raja Malek (pereka set) dan Pat Ibrahim (koreografer).

Ia juga menggandingkan lakonan Tiara sebagai Puteri Gunung Ledang atau Gusti Puteri , Stephen Rahman-Hughes (Laksamana Hang Tuah), Adlin aman Ramlie (Sultan Mahmud), AC Mizal (Gusti Adipati) dan Ida Mariana (Bayan)

Menceritakan segala persiapan lain seperti mungkin ada perubahan watak, Tiara memberitahu watak utama dalam teater lagenda ini masih dikekalkan dengan pelakon asal.

“Watak utama seperti Adlin, AC Mizal memang kita tak tukar tetapi pelakon tambahan ada perubahan,” jelas Tiara yang akan memulakan latihan lakonan tidak lama lagi.

Diterbitkan oleh Enfiniti Productions Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, teater muzikal itu merupakan satu cabaran yang besar buat seluruh warga kerja selepas beberapa bulan berbincang dan bekerja keras.

Keterujaan penonton sekali lagi bakal bergema disanubari mereka dengan sebuah hasil produksi anak seni tempatan yang sungguh membanggakan.

Pementasan PGLTM musim ketiga telah mendapat sokongan dan penajaan daripada sektor korporat terkemuka iaitu Kumpulan Perbankan RHB, Public Bank Berhad dan kumpulan UEM Berhad.

Malah, ntv7 juga dilantik sebagai media rasmi selain penajaan daripada jenama alat solek terkemuka, M.A.C Cosmetics.

Sehubungan itu, kepada yang berminat menonton PGLM, tiket-tiket berharga RM30 hingga RM230 sudah boleh ditempah sekarang.

Tempahan boleh dibuat melalui laman web http://www.axcess.com.my atau hubungi talian 03-77115000.

Anda juga berpeluang untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai PGLTM dengan mengunjungi laman web http://www.pglthemusical.com.my.

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: