Kagum Lihat Patung 'Hidup'

11 Dec

Oleh Roslan Ibrahim
lann@nstp.com.my

MAHUKAH anda bergambar bersama selebriti terkemuka dunia seperti Nicole Kidman, Leonardo DiCaprio, Kate Moss, Kylie Minogue, Jenniger Lopez, Madonna, Angelina Jolie, Tom Cruise, George Clooney, Cameron Diaz dan Michael Jackson?

Atau bergambar bersama aktor James Bond, Daniel Crais yang meletup dalam filem terbarunya, Quantum of Solace?

Begitu juga bersama pemimpin dunia seperti Tony Blair, Nelson Mandela, Ronald Regan, Margaret Thatcher, Vladimir Putin atau jaguh sukan dunia seperti Muhammad Ali, Tiger Woods atau Pele.

Tidak ketinggalan wajah selebriti Bollywood seperti Salman Khan, Amitabh Bachan, Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai.

Inilah peluang seumur hidup atau hanya sekadar angan-angan kerana hakikatnya terlalu sukar untuk berbuat demikian.

Namun, fantasi itu mungkin menjadi realiti jika anda berkunjung ke Madame Tussauds di Marylebone Street, London.

Walaupun hanya patung, ada pasti terpegun melihat dengan mata sendiri wajah dan tubuh selebriti terkenal dunia itu.

Ketika berkunjung ke United Kingdom untuk membuat liputan Pusat Pengajian Melayu Universiti Limkokwing, London, saya berpeluang mengunjungi muzium itu.

Saya pernah mendengar mengenai muzium itu dan peluang mengunjunginya seperti bulan jatuh ke riba.

“Alamak, macam betul-betul hidup…,” bisik hati saya macam tidak percaya melihat selebriti seperti Angelina Jolie, Brad Pitt, Nicole Kidman dan Jennifer Lopez di hadapan mata.

Rakan saya, Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said juga seperti tergamam melihat patung ‘hidup’ di Madame Tussauds itu.

Saya langsung tidak menghiraukan keadaan suhu yang mencecah empat darjah selsius kerana terlalu teruja melihat dan bergambar dengan selebriti terkemuka dunia itu walaupun kami hampir tiga jam di muzium itu.

Melihat aksi Muhammad Ali, saya teringat era kegemilangan legenda tinju dunia itu yang memang becok dan sering menimbulkan kontroversi.

Begitu juga aksi The Rock, ikon gusti dunia dengan gaya bersahaja.

Saya diberitahu bahawa saiz The Rock dan lain-lain selebiriti adalah ukuran sebenar yang diambil ketika membuat patung mereka.

Melihat aksi seksi Madonna atau Angelina Jolie bersama suaminya Brad Pitts dan Julia Roberts mengimbau kembali lakonan mereka dalam filem.

Puas di muzium Madame Tussauds, kami dibawa ke kelab bola sepak Chelsea, antara kelab terkemuka dunia yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun bukan pasukan pilihan saya dalam EPL, peluang mengunjungi kelab itu memberi saya pengalaman baru merasai suasana kehangatan bola sepak Inggeris.

Yang lucunya, ketika pemandu pelancong kelab berkenaan meminta kami mengangkat tangan jika penyokong Chelsea, saya, Zainor dan rakan dari Universiti Limkokwing, J terpaksa berbuat demikian atau anda akan disorak.

Kami melawat dan diberi penerangan mengenai tempat yang digunakan pemain Chelsea seperti Ballack, Lampard da Deco di bilik persalinan sebelum beraksi di padang.

Setiap pemain mempunyai laci tempat menyimpan barangan peribadi termasuk rantai leher dan cincin selain tempat untuk mengurut.

Memang beruntung pemain berkenaan kerana selain mendapat imbuhan lumayan, mereka dilayan seperti raja dengan pelbagai keistimewaan.

Peluang berjalan di dalam terowong ke padang utama seperti aksi sebenar perlawanan apabila pemain berjalan keluar dan menerima tepukan gemuruh peminat.

Bola sepak di England adalah suatu pelaburan dan industri menguntungkan, justeru tidak hairan pemain menerima imbuhan lumayan selain kecanggihan stadium dan kelab bola sepak di negara itu.

Seminggu di London, saya turut mengunjungi beberapa tempat tumpuan pelancong, antaranya London On Eye, menaiki cruise di Sungai Thames, pusat perniagaan terkemuka Harrods, Tower Bridge dan Tower of London.

Dalam suasana sejuk yang mencengkam tulang, London seolah-olah muram menyambut Krismas berikutan kemelutan ekonomi dan kejatuhan mata wang paun sterling.

>Info

BAGAIMANA KE SANA

Hanya dua minit berjalan kaki dari stesen kereta api bawah tanah (tube) Baker Street. Stesen ini menggunakan laluan Bakerloo, Circle, Jubilee, Metropolitan dan Hammersmith & City. Ini membolehkan anda datang dengan mudah dari mana-mana destina di tengah London.

Jika menggunakan kereta api, jarak dari stesen Marylebone hanya 10 minit berjalan kaki ke Madame Tussauds.

Jika mahu menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat, pastikan bas-bas berkenaan iaitu 13, 18, 27, 30, 74, 82, 113, 139 dan 274.

Jika menggunakan kenderaan sendiri, anda boleh mengambil laluan Marylebone. Laluan itu menyambung ke Jalan Euston dan Kings Cross.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: