Tak Percaya Wujudnya Hantu

13 Dec

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Ananda Everingham

Walaupun sering beraksi filem seram, aktor Thailand ini enggan mempercayai kewujudan makhluk ghaib dan dunia mistik

JIKA di Indonesia, pelakon Suzzanna digelar Ratu Filem Seram, di Thailand, pelakon kacak Ananda Everingham juga dikenali dengan gelaran yang sama. Malah, namanya dikenali di negara ini pun semuanya gara-gara filem seram yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

Masakan penggemar pelakon tinggi lampai ini boleh lupa akan lakonannya dalam filem 303 Fear Faith Revenge, Shutter dan terkini, Ghost House yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini. Setiap kali beraksi dalam filem seperti itu, dia begitu mudah menjiwai wataknya.

Apakah ini bermakna Ananda adalah seorang yang mempercayai dunia mistik serta mengakui kewujudan makhluk hantu. Begitupun, begitu ketika diajukan persoalan ini kepada si empunya diri, jawapan yang keluar dari mulut jejaka ini cukup mengejutkan.

“Saya tidak pernah percaya dengan kewujudan hantu atau roh jahat memandangkan saya dibesarkan oleh sebuah keluarga yang menjadikan fakta serta bukti saintifik sebagai asas terhadap sesebuah kepercayaan.

“Malah, sejak kecil lagi saya sudah diajar oleh bapa supaya tidak mudah berasa takut. Pernah suatu ketika, bapa saya membawa saya ke sebuah taman yang luas tengah-tengah malam dan membiarkan saya seorang diri di situ dalam suasana yang gelap gelita semata-mata untuk menjadikan saya lebih berani,” dedah Ananda pada sidang media dan majlis pratonton filem terbaru lakonannya, The Coffin di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak berseorangan, dia hadir di ibu negara dengan ditemani pengarah filem The Coffin, Ekachai Uekrongtham

Filem The Coffin dihasilkan berdasarkan kisah benar di mana kebanyakan penduduk di Thailand mempercayai seseorang itu perlu tidur di dalam keranda bagi membuang nasib malang yang menghantui mereka serta menghalau roh jahat.

Dalam filem ini, Chris (Ananda Everingham) dan Zoe (Karen Mok) membuat keputusan melalui proses berkenaan untuk membuang nasib malang. Chris melakukannya kerana ingin menyelamatkan kekasihnya yang sedang koma. Manakala Zoe pula kerana ingin mengubati penyakit kanser paru-paru yang dihidapinya. Selepas pemujaan berkenaan selesai, pasangan ini mendapati nasib mereka berubah. Namun, ada harga yang perlu dibayar apabila terpaksa berdepan dengan bayangan menakutkan yang berterusan memburu mereka.

Ditanya apakah dia akan melakukan ritual yang sama andai perkara itu terjadi pada dirinya, Ananda berkata andai perkara itu mendesaknya, dia tidak teragak-agak untuk melakukannya.

“Tidak dinafikan masyarakat Thailand memandang berat kewujudan roh dan dunia ghaib. Meskipun ia bertentangan dengan prinsip saya, rasa hormat tetap ada. Tidak pernah sekalipun saya memperlekehkan kepercayaan itu,” kata jejaka berusia 26 tahun ini jujur.

Cerita Ananda lagi sepanjang membintangi filem seram, dia jarang melalui pengalaman pelik. Sebaliknya, perkara itu banyak dialami kru produksi atau pelakon lain.

“Setakat ini belum ada insiden menakutkan berlaku kepada saya di lokasi. Namun, ramai kru dan pelakon mengadu diganggu hinggakan tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja.

“Sudah menjadi kebiasaan di Thailand, sebelum memulakan penggambaran, upacara memohon restu roh diadakan. Ini dipercayai dapat mententeramkan makhluk ghaib yang tersinggung dengan penggambaran yang berlangsung,” kata pelakon yang termasuk dalam kategori paling laris apabila filem lakonannya muncul di pawagam sebulan sekali.

Tolak tawaran berlakon di Hollywood

BAGI pelakon lain, tawaran untuk mengembangkan bakat lakonan ke luar negara seperti Hollywood pastinya adalah sesuatu yang memang ditunggu-tunggu. Bagaimanapun, menurut Ananda perkara itu bukanlah suatu kemestian buatnya. Bukan niat untuk bersikap angkuh, cerita Ananda dek kerana kurang berminat, dia pernah menolak tawaran untuk berlakon di industri perfileman terbesar itu.

“Saya tak nafikan, berlakon dalam filem terbitan atau arahan karyawan Hollywood memang satu perkara yang bagus kerana ia satu penjenamaan untuk filem dan diri sendiri sebagai seorang pelakon.

“Namun bagi saya, itu bukanlah penentu segala-galanya. Walau dari mana pun asalnya sesebuah filem itu, kalau ia sebuah filem yang berkualiti ia tetap berkualiti,” kata pelakon yang memiliki wajah persis aktor Orlando Bloom ini.

Disebabkan pendiriannya itu juga, dia tidak ada hasrat untuk berhijrah ke Hollywood walaupun kalau berbuat demikian potensi untuk berjaya di negara luar terbuka luas.

“Secara jujur, itu bukan satu daripada cita-cita saya. Bagi saya memadai mereka yang bekerja dengan saya itu adalah kalangan yang mempunyai kualiti kerja bagus dan menyenangkan saya,” tutur Ananda.

Ananda tak sorok status

KISAH cintanya dengan seorang supermodel terkenal Thailand bukan lagi rahsia. Malah, Ananda sendiri tidak pernah menyorok status mereka dan sering kali dilihat di mana-mana majlis. Ketika ditanya media apakah benar dia dan wanita itu sedang dilamun cinta, Ananda mengakui hakikat itu.

“Sudah tiga tahun kami bersama dan saya akui amat menyenanginya. Tempoh perhubungan kami ini adalah yang paling panjang setakat ini,” katanya sambil ketawa. Sebagai pasangan selebriti popular, Ananda dan kekasihnya tentunya berdepan dengan saat yang sukar untuk keluar berdua kerana setiap langkah mereka pasti menjadi buruan paparazzi. Namun, Ananda menjelaskan perkara itu belum pernah terjadi lagi ke atas dia dan pasangannya.

“Kalau anda semua ingin tahu, perkara sebegitu tidak pernah berlaku pada kami. Seperkara yang menguntungkan, saya mempunyai hubungan baik dengan media di sana dan mereka amat menghormati hak peribadi saya.

“Lagipun, kami adalah pasangan yang “easy going” dan bukan seperti pasangan selebriti tipikal yang lain. Jadi setiap kali keluar ‘dating’, kami tidak pernah berdepan dengan masalah. Pun begitu, disebabkan terlalu sibuk, saya tidak berkesempatan untuk membawanya ke kutub utara untuk menyaksikan matahari di tengah malam,” kata Ananda dalam nada berseloroh.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: