Shake Serasi Watak Matang

18 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
RUPA paras langsung tidak mencerminkan usia pelakon baru, Sheikh Bolkhiah Sheikh Ahmad, 23, atau Shake. Disebabkan itu juga, pemuda yang berasal dari Klang, Selangor ini kerap mendapat kepercayaan pengarah dan produksi tempatan untuk membawakan watak ahli korporat atau dewasa.

Anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik itu sudah membintangi lebih 20 drama antaranya Jaringan, Bezanya Cinta, Datin Diaries, Duranni, Gerak Khas, Cinta Zanita, Roda-Roda KL, Farah Syakira, KL To Queenstown selain Dua Kali Aku Mencintaimu menerusi Astro Prima tidak lama lagi.

Bercerita mengenai pembabitan dalam dunia lakonan sejak tiga tahun lalu, Shake yang pada asalnya menyertai program realiti bola sepak, Soccer Star terbitan Astro sebelum mendapat peluang terbabit dalam bidang itu selepas beberapa kali menyertai sesi uji bakat.

“Saya hanya terbabit dalam program realiti berkenaan sehingga minggu kedua. Begitupun, saya mendapat peluang dan kesempatan sebagai peserta program berkenaan dengan menghadiri beberapa sesi uji bakat membabitkan iklan komersial dan lakonan.

“Penampilan pertama dalam lakonan menerusi drama Jaringan arahan Kamaludin atau Pok Din. Walaupun penampilan sebagai watak tambahan, namun ia sedikit sebanyak memberikan saya ruang dan pengalaman baru dalam lakonan. Sejak itu, saya kemudian diberi peluang membintangi beberapa drama televisyen dan iklan komersial,” katanya.

Disamping terbabit dalam bidang seni, Shake juga bertugas sebagai Pengurus Al-Amin Travel Management & Services Sdn Bhd yang mengendalikan pakej umrah dan pelancongan.

Sebagai pendatang baru, dia cukup mengagumi pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam. Malah, dia menyifatkan pengarah berkenaan sebagai sumber rujukan terbaik baginya.

“Saya terbabit dalam beberapa babak menerusi drama Gerak Khas di bawah bimbingan Datuk Yusof dan anaknya Shamsul Yusof. Malah, gelaran Shake sendiri diberikan Datuk Yusof. Pada saya, dia adalah bapa dalam bidang ini.

“Datuk Yusof juga banyak mengajar saya dalam selok- belok lakonan. Saya sangat menghormati dan menganggapnya sebagai bapa di tempat kerja,” katanya.

Dalam drama itu, Shake memainkan peranan sebagai Lanskoperal Amir. Drama bersiri yang disiarkan di RTM2 setiap Selasa, jam 10 malam turut dibintangi Serina Redzuawan, Suhaiza Suhaimi, Buzen dan Zack Kool.

Shake dijangka tampil di layar perak menerusi filem Kantoi yang dijadualkan tayangannya pada tahun depan. Dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama Santau arahan Rashid Sibir yang turut dibintangi Fasha Sandha, Balkish dan Norlia Ghani.

Menurut Shake lagi, dia tidak memilih soal watak, sebaliknya mahu mencuba pelbagai watak bagi memenuhi kepuasan dalam bidang lakonan.

“Tidak dinafikan kebanyakan watak yang diberikan kepada saya dengan karakter yang lebih matang pada usia sebenar. Mungkin disebabkan rupa paras saya yang nampak matang. Saya juga suka membawakan watak korporat dan lelaki dewasa kerana ia lebih mudah. Begitupun, saya sentiasa bersedia dan mahu mencuba karakter yang pelbagai,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: