Ekin Dapat Kembar Baru

22 Dec


RESTU ibu. Biarpun bahagia dengan perkahwinan anaknya, Ramlah Sarlan mengambil keputusan untuk tidak tinggal bersama anak dan menantunya di banglo mewah mereka di Lembah Klang.

TERIKAT sudah ikatan cinta mereka. Tanpa restu keluarga, barangkali cita-cita mereka untuk hidup bersama tidak akan terlaksana. Itu juga yang diluahkan kebanyakan ahli keluarga Mawi dan Ekin sewaktu ditemui media.

Perkahwinan Asmawi Ani dengan Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin sebenarnya masing-masing perkahwinan kedua dalam keluarga mereka yang telah menamatkan kemarau tanpa ‘ahli baru’ selama lebih enam tahun.

Maka apabila Mawi dan Ekin yang sebelum ini dicemuh dan pernah dikatakan tidak direstui keluarga selamat bernikah, semua bagai berpesta gembira.

“Ekin senang dibawa berbincang. Dia juga selesa dengan keluarga kami,” beritahu kakak Mawi, Rashidah Ani mengenai menantu baru dalam keluarga mereka.

Ibu Mawi, Ramlah Sarlan juga merestui cinta mereka dan berasa Ekin adalah wanita terbaik untuk menjadi suri hidup anak bujangnya yang cukup terkenal sebagai penyanyi sensasi negara.


KUNING menjadi warna tema utama pakaian yang dikenakan pihak keluarga pengantin lelaki.

Ramlah saat ditanya apakah harapan sempena hari bahagia Mawi, dengan jujur wanita berusia 63 tahun itu menjawab: “Mak cik harap Ekin dapat jaga Mawi baik-baik. Jaga rumah tangga.”

Berbeza dengan emosi keluarga Mawi yang rata-rata gembira menyambut Ekin sebagai ahli baru, keluarga Ekin, terutama ibunya Fatimah Saad sebaliknya begitu sebak melepaskan Ekin.

Namun itu bukan tanda dia tidak merestui hubungan kasih Ekin yang mempunyai saudara kembar bernama Nurul Ain atau Aean.

Sebaliknya, itu pernyataan emosi seorang ibu yang amat rapat dengan anak yang telah bersamanya selama 29 tahun itu.

“Saya tak sangka perjalanan hidup Ekin berakhir begini. Saya tahu dia tidak pernah berencana untuk berkahwin dengan artis apa lagi Mawi. Tapi inilah takdir dan jodoh dia,” luahnya.

Bicara Fatimah lagi sambil menahan sebak: “Ekin adalah anak yang paling rapat dengan saya. Selepas lebih 10 tahun, barulah keluarga kami menerima ahli baru dan perasaan itu sangat berdebar. Lagi pula dia orang terkenal dan kami harus mempersiapkan diri.

“Buat Ekin pula saya doakan dia akan terus tabah dan berjaya mengharungi cabaran rumah tangga.”

Sebagai seorang bapa yang begitu tenang melepaskan anak perempuannya kepada seorang lelaki lain, bapa Ekin, Rahmat Mohamad menyatakan dia menerima Mawi sebagai menantu kerana keikhlasan yang ditunjukkan penyanyi itu terhadap anaknya.

Sewaktu mereka pada fasa perkenalan dan Mawi ada datang menziarahnya, Rahmat pernah berkata kepada Mawi jika hubungan mereka serius, maka peliharanya dengan baik.


PUTIH bersulam kehitaman pula menjadi warna tema pilihan busana yang digayakan keluarga pengantin perempuan.

“Pada waktu itu saya kata, ‘jika serius, bawalah keluarga bertemu’. Itu yang ada majlis merisik dan kini alhamdulillah mereka sudah bersatu sebagai suami isteri.

“Pesanan saya agar mereka berdua melayari bahtera rumah tangga dengan sabar dan baik. Semoga kehidupan rumah tangga mereka aman,” ujar Rahmat yang sentiasa tersenyum.

Bagi kembar Ekin, Aean yang selama ini berkongsi kasih dan duka serta suka bersama, dia juga terharu, namun dalam masa yang sama gembira kerana akhirnya Ekin berjaya membuktikan cinta sucinya kepada Mawi selepas bergelumang dengan segala fitnah.

“Sedih, tapi saya gembira untuk dia,” luah Aean sebelum menyambung: “Saya tetap mendoakan yang terbaik untuk dia walaupun selepas ini kami sudah tidak sering bersama kerana dia sudah mempunyai kembar baru, Mawi.”

Kini kehidupan mereka bergantung kepada perlaksanaan bersama. Seperti kata Mawi: “Perkahwinan ini adalah satu permulaan dan titik kehidupan baru buat kami berdua. Insya-Allah saya berusaha untuk membuktikan bahawa saya layak memikul tanggungjawab sebagai seorang lelaki yang bergelar suami, ketua keluarga, teman dan juga seorang artis.” – MALIAH SURIP

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: