Oleh Normah Becok
SEBELUM bercuti hujung minggu, sempat juga Cik Normah singgah ke sidang media pertama Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang berlangsung di Palace Of Golden Horses Hotel, Seri Kembangan.
Meriah sangat, lebih lagi banyak wajah popular yang sudi menghadirkan diri memberikan sokongan. Cik Normah tertarik sangat dengan segmen pertunjukan fesyen, maklum Cik Normah sendiri sedang mencari pakaian bersesuaian untuk ke parti tahun baru.
Dalam ramai-ramai yang bergaya tu, terpandang wajah Nurul yang bukan main lagi mengatur langkah menggayakan kaftan rekaan Michael Shu.
Ketika asyik bersembang tu, Cik Normah akhirnya dapat tahu Nurul sebenarnya baru beberapa hari keluar hospital. Terkejut besar Cik Normah, lihat dia di pentas cukup bertenaga rupanya kesihatannya baru beransur pulih.
Itulah yang dinamakan komitmen. Nurul pun Cik Normah lihat memang seorang yang bekerja keras. Apabila sudah janji, jarang dia memungkiri dan selesai acara hari itu, Nurul bergegas ke satu temu janji lain. Begitulah komitednya Nurul.
Daripada apa yang Cik Normah tahu, Nurul dimasukkan ke sebuah hospital swasta apabila tidak sedap badan. Sangkakan demam panas biasa, rupanya sudah terkena jangkitan virus. Mujur tak melarat.
Melihat kekuatan Nurul, Cik Normah memang tabik. Sakit pun jarang dia mahu berkongsi dengan orang lain. Tetapi dalam kuat bekerja tu, Cik Normah harap Nurul cari juga ruang untuk berehat.
Iyalah, tidak berapa lama lagi album solo terbarunya akan dipasarkan. Kalau tak sihat, macam mana nak promosikan album itu nanti?
Berita Harian
Leave a Reply