'Letupan' Tanaka, Van Fan

30 Dec

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


LAKONAN cemerlang Van Fan dan Tanaka Chie antara faktor tarikan penonton terhadap kejayaan filem Cape No. 7.

SEBELUM filem Cape No. 7 ditayangkan di Taiwan pada 22 Ogos lalu, hanya filem-filem import lain berjaya menduduki carta kutipan tertinggi negara itu. Filem-filem terbitan Taiwan sendiri tidak mudah menerima sambutan seperti filem-filem terbitan antarabangsa terutama dari Hollywood.

Rasanya senario ini juga berlaku di negara-negara Asia yang lain. Namun, keajaiban telah berlaku apabila Cape No. 7 mula menyerang pawagam Taiwan. Bukan sahaja berjaya mengutip NT$440 juta (RM48 juta) setakat 10 November, ia adalah filem yang mengalahkan kutipan filem New Police Story 3 sebannyak NT$320 juta (RM34.7 juta).

Mencipta rekod manis ini, Cape No. 7 juga menjadi filem yang menduduki tangga ketiga dalam sejarah kutipan filem Taiwan selepas Titanic, NT$750 juta (RM81.5 juta) dan Jurassic Park, NT$450 juta (RM 48.9 juta).

Berlatarbelakangkan bandar Hengchun, Taiwan, filem yang diarahkan oleh Wei Te-Sheng ini menceritakan kisah yang berlaku 60 tahun lalu. Semasa Jepun menjajah Taiwan pada tahun 1940, seorang guru Jepun (Kousuke Atari) telah dihantar untuk bertugas di Hengchun.

Di sana dia telah jatuh cinta dengan seorang gadis, Kojima Tomoko (Rachel Liang). Namun, percintaan mereka tidak kesampaian apabila Jepun menyerah kalah dan guru itu terpaksa pulang ke Jepun. Sedih dengan apa yang berlaku, guru itu mengirimkan tujuh pucuk surat cinta kepada Kojima.

Kini, selepas 60 tahun, Aga (Van Fan) merupakan seorang penyanyi rock dari Hengchun. Gagal menjadi seorang penyanyi, dia pulang ke kampung halamannya. Di sana, bapa tirinya (Mai Ju-Lung) telah mendapatkan dia kerja sebagai posmen.

Suatu hari secara tidak sengaja, Aga terjumpa tujuh pucuk surat yang dikembalikan itu. Surat-surat tersebut dikirim oleh anak kepada guru Jepun setelah mendapati surat mendiang ayahnya itu tidak dikirim ke Taiwan.

Aga telah membuka surat itu dan mendapati alamat Cape No. 7, Hengchun Country, Takao Prefecture tidak lagi wujud. Maka dia dan Tomoko (Tanaka Chie), seorang model Jepun yang dihantar ke Hengchun untuk melatih kumpulan muzik yang diketuai Aga, berusaha mencari Kojima untuk menyerahkan ketujuh-tujuh surat itu.

Dipersembahkan sarat dengan budaya dan bahasa Taiwan, Cape No. 7 bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada 25 Disember ini.

Baru-baru ini, pelakon utama Cape No. 7, Van Fan dan Tanaka Chie serta pengarah filem itu, Te-Sheng berada di Malaysia untuk mempromosikan filem itu yang diedarkan secara eksklusif oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd.

Bagi mengetahui proses, kesukaran dan pengalaman filem itu dibikin, ikuti petikan temu bual seperti berikut.


TANAKA belum memikirkan soal teman lelaki.

Bagaimanakah perasaan anda berada di Malaysia untuk mempromosikan filem dan bukannya album?

Van: Gembira rasanya untuk datang ke sini bukan sebagai penyanyi tetapi sebagai pelakon untuk filem pertama saya. Walaupun filem ini mendapat sambutan luar biasa di Taiwan, kami mahu filem ini dibawa ke nagara luar. Kami mahu berkongsi emosi, tempat, pendapat dan muzik Taiwan dengan masyarakat luar.

Bagaimanakah pula dengan Tanaka? Ini adalah filem pertama yang mengangkat anda sebagai pelakon utama.

Tanaka: Pertama kali saya membaca skripnya, saya amat terharu. Dan saya pasti penonton tidak kecewa. Saya telah berusaha untuk mempelajari bahasa Mandarin selama lapan bulan untuk filem ini. Diharap penonton akan menikmati filem ini.

Dari mana idea filem ini timbul?

Te-Sheng: Asalnya saya ingin mengarahkan filem epik Seediq Bale mengenai satu suku puak asli di Taiwan yang menentang Jepun pada tahun 1930. Namun, saya tidak berjaya mendapat penaja dan menghabiskan NT$250 juta (RM27.1 juta) untuk lima filem pendek yang berjaya mendapat penghargaan. Tetapi masih tiada penaja yang ingin melabur. Maka saya mengubah idea kepada filem ini.

Filem ini ditulis dalam masa dua bulan dan saya membuat keputusan untuk menggunakan muzik Taiwan sebagai keutamaan. Sudah lama tidak ada filem yang mempromosikan muzik Taiwan. Dan idea posmen itu lahir selepas saya membaca satu berita mengenai seorang posmen tua. Dia telah menggunakan masa dua tahun untuk menghantar sepucuk surat yang tidak sampai kepada pemiliknya.

Pertama kali berlakon, bagaimana anda berdepan dengan populariti sebagai pelakon?

Van: Perasaannya amat istimewa dan mengejutkan. Selepas tujuh tahun menyanyi dan mengeluarkan lima buah album, ramai yang sebenarnya tidak mengenali saya. Namun, ini filem pertama saya dan ramai yang sudah mula mengenali saya. Rupanya pengaruh dan kuasa filem amat besar.

Semasa menyanyi, syarikat rakaman sentiasa mencari pelbagai cara untuk menukar imej seseorang penyanyi tetapi ia akan mengambil masa yang panjang. Dan ada kalanya percubaan itu tidak akan berjaya. Tetapi menerusi filem, pandangan penonton akan berubah sekelip mata.

Sebelum ini anda pernah berlakon dengan Jay Chou dalam filem Initial D. Nampaknya anda selalu berlakon dengan penyanyi?

Tanaka: Mungkin ini jodoh saya dan kini saya sendiri suka bekerja dengan penyanyi Taiwan. Sebenarnya saya lebih suka bekerja dengan penyanyi kerana mereka lebih sensitif semasa berlakon. Mereka lebih peka dan kaya dengan perasaan.

Adakah ini bermaksud anda ingin mencari teman lelaki Taiwan?

Tanaka: Apa yang penting adalah hati budi lelaki itu. Tidak kira Taiwan, Malaysia atau Jepun. Lagipun syarat teman lelaki saya amat banyak. Dia perlu menghormati saya, berbakat dan cerdik. Tetapi soal teman lelaki bukan keutamaan saya sekarang.


CAPE NO. 7 merupakan filem ketiga paling laris di Taiwan selepas Titanic dan Jurassic Park.

Terdapat satu babak intim dalam filem ini. Apakah perasaan anda ketika melakonkan babak itu?

Van: Janggal. Bukan saya dan Tanaka sahaja tetapi pengarah juga berasa janggal terutama selepas bercium dan disuruh berhenti pada pertengahan. Saya tidak tahu untuk berkata apa selepas itu. Tetapi babak ini adalah sebahagian daripada filem yang bukan bertujuan untuk menyampaikan mesej seks.

Dengar cerita, anda terpaksa menggadaikan rumah anda untuk meneruskan pembikinan filem ini?

Te-Sheng: Saya hampir gagal banyak kali di pertengahan penggambaran. Namun, saya berfikir jika saya berputus asa, saya akan membazirkan wang yang digunakan sebelum itu. Jika saya teruskan, setidak-tidaknya ia membuahkan hasil. Tetapi untuk berjaya dan mendapat pulangan modal, saya perlu lakukan yang terbaik. Saya tidak mempunyai pilihan selain daripada lakukan yang terbaik.

Namun, menerusi pemilihan pelakon-pelakon dalam filem ini, ramai yang dilihat tidak mempunyai nilai komersial.

Te-Sheng: Sudah terbukti mereka adalah pelakon menonjol kerana itu adalah diri mereka. Seperti saya memasukkan dialek Taiwan dalam filem ini. Ia juga bukan sesuatu yang komersial tetapi berjaya. Jadi nilai komersial saya adalah masa depan. Saya mahu menjadikan ia sebuah filem budaya Taiwan yang diingati dunia yang tidak hanya fokus kepada elemen komersial.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: