Penyatuan Cinta 2008

31 Dec

BERMULA Januari 2008, kalendar dunia hiburan sudah mula diserikan dengan berita gembira perkahwinan artis tempatan. Sehingga bulan Disember, perkahwinan penyanyi popular Mawi dengan kekasih hati, Ekin menutup tirai tahun 2008 dengan penuh indah.

Mawi atau Asmawi Ani, 27, telah memilih tarikh 20 Disember untuk bernikah dengan Ekin atau Nor’Ashikin Rahmat, 29, di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Mereka dinikahkan oleh imam masjid tersebut, Datuk Mahat Mohd. Said dengan disaksikan oleh Kadi Daerah Johor Bahru, Syeikh Husni Tamrin Md. Sharif dan Imam Mahadi Yahya.

Tepat pada pukul 11.40 pagi, dengan hanya sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM22.50, Ekin sah menjadi isteri penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasi 3 (AF), Mawi.

Dilabelkan sebagai perkahwinan tahunan, bukan sahaja Mawi dan Ekin menamatkan zaman bujang mereka tahun ini. Selain perkahwinan gemilang Mawi-Ekin, berikut kronologi perkahwinan artis Malaysia sepanjang 2008.

Zila Bakarin dan Azri Izhar (11 Januari)
Ingin merahsiakan perkahwinan mereka pada mulanya, Zila Bakarin, 33, selamat diijabkabulkan kepada jurukamera syarikat produksi, Azri Izhar, 34, pada 11 Januari lalu di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Cheras.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan, Bashri Abd. Majid dengan mas kahwin RM1,000. Mereka berkenalan sejak tujuh tahun lalu di lokasi penggambaran.

Ning Baizura dan Omar Sharif (31 Januari)
Mengenakan persalinan putih dan bertudung rekaan Jovian Mandagie, Ning Baizura berkahwin dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 34, yang juga duda beranak dua kelahiran England.

Omar telah memeluk Islam pada Julai 2007 setelah lebih setahun berkenalan dengan Ning. Majlis akad nikah mereka berlangsung di Masjid

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar dan Ning menerima mas kahwin sebanyak RM80 selain tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran perkahwinan berjumlah RM66,666.66.

Khai dan Rosma (26 April)
Berkenalan dalam program realiti televisyen AF1, Rosmayati Sidik (Rosma), 23, dan Khairul Nizam Mohamad (Khai), 29, selamat dinikahkan di Masjid Putra pada 26 April lalu.

Dengan mas kahwin RM100 dan hantaran RM16,161.61, Khai sah menjadi suami Rosma selepas satu lafaz akad nikah. Terbaru Rosma juga dilaporkan sedang mengandungkan anak pertama mereka.

Maya Karin dan Muhammad Ali (14 Ogos)
Mereka telah melangsungkan majlis pernikahan di daerah kaki pergunungan di Lake Como, Itali pada 14 Ogos lalu. Dan bagi berkongsi memori indah ini bersama keluarga dan rakan rapat di Malaysia, Maya Karin dan suami, Steven Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali telah mengadakan majlis persandingan di padang bola sepak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di Kepong.

Maya berpakaian pengantin moden rekaan Radzuan Radziwill berwarna putih di samping suami tercintanya mengenakan baju Melayu berwarna hitam telah memilih lokasi ini kerana merupakan duta Taman Laut Malaysia dan seorang pencinta alam.

Lan Pet Pet dan Ruby (20 Ogos)
Pelawak yang popular menerusi Senario, Lan Pet Pet telah bercinta selama 14 tahun bersama Rubytah Abu Bakar @ Che Wan yang juga adik kepada pelakon popular Rozita Che Wan.

Dan pada 20 Ogos lalu, mereka telah memilih tarikh istimewa 20.08.2008 sebagai tarikh perkahwinan mereka. Pasangan ini bernikah di Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah dengan mas kahwin RM888 serta wang hantaran RM8,000.

Deja Moss dan Azfendy Azzudin (30 Ogos)
Selepas dua tahun membuatkan orang ramai berteka-teki mengenai hubungan mereka, Deja Moss atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, 35, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Azfendy Azzudin, 29, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.

Dinikahkan dengan mas kahwin RM1,111 oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid tersebut, Mohd. Nazarudi Mohd. Nadzir, pasangan ini berbulan madu di Chile.

Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari (8 November)
Pasangan Ashraf Sinclair dan Bunga Cinta Lestari bernikah di Masjid Al Bina, Jakarta pada 8 November. Majlis resepsi bahagian pengantin perempuan berlangsung di Hotel Sultan, Jakarta pada keesokannya.

Sementara itu, majlis resepsi pengantin lelaki diadakan di The Saujana Kuala Lumpur, khas untuk rakan-rakan di Malaysia. Dan majlis untuk keluarga dan sanak saudara pula berlangsung di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara (KGPA).

Rusdi Ramli dan Sharon Paul (16 November)
Setelah menduda selama 15 tahun, Rusdi Ramli, 38, yang bertemu dengan Sharon Anne Paul Abdullah, 32, tahun lalu semasa terlibat dalam pembikinan runut bunyi filem Waris Jari Hantu sah menjadi suami isteri pada 16 November lalu.

Majlis akad nikah mereka berlangsung di banglo galeri Creative Element, Shah Alam dengan dihadiri hampir 300 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan rakan. Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800, senaskhah al-Quran, sirih junjung berserta sebentuk cincin.

Corrie Lee dan Fazima Mohamed Fuad (21 November)
Walaupun hanya mengenali dalam jangkamasa pendek, Corrie Lee atau nama Islamnya, Adam Corrie Lee, 40, telah memilih gadis pilihannya Fazima Mohamed Fuad, 30, sebagai isterinya.

Bernikah di Masjid Zahir, Kedah, isterinya yang berasal dari Lorong Terang menerima mas kahwin RM80 daripada Corrie dan wang hantaran sebanyak RM7,000.

Nabila Huda dan Zaidy Zailani (2 Disember)
Setelah tujuh tahun bercinta, Nabila Huda Suhaimi, 24, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Zaidy Zailani, 27, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta dengan dihadiri hampir 300 tetamu.

Mereka dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Amy Search atau nama sebenarnya, Suhaimi A. Rahman. Zaidy menyampaikan mas kahwin RM80 berserta wang hantaran berjumlah RM22,222.22.

Dapatkan artikel Imbasan 2008 sepenuhnya di Kosmo! hari ini.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: