Archive | January, 2009

Rahsia Kejayaan Artis Berniaga

31 Jan

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
ATAS permintaan ramai bengkel kecantikan dan keusahawanan Aku Cantik dianjurkan jurusolek artis terkenal Izatt Artistic Team akan dilanjutkan pada 7 Februari ini di Kelab Shah Alam, Selangor.

Lebih menarik apabila mereka yang menyertainya kali ini berpeluang berkongsi pengalaman memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan bersama artis yang sudah berjaya seperti Zarina Zainuddin, Zahida Rafik dan Umie Aida.

Pengarah Urusan Izatt Artistic Team, Izatt Sharif berkata daripada maklum balas menerusi bengkal pertama yang diadakan pada 3 Januari lalu di Restoran Saloma, Jalan Ampang ramai peserta gembira apabila tiga artis ini tampil dan berkongsi pengetahuan mereka.

“Sekarang ini banyak pihak berminat untuk menceburi bidang perniagaan mengandam dan menghasilkan produk kecantikan. Namun ramai yang tidak tahu bagaimana hendak melakukannya.

“Menampilkan artis seperti Zarina yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam perniagaan barangan penjagaan kesihatan dan alat kecantikan memberikan kelebihan buat peserta untuk memperoleh gambaran sebenar,” katanya

Selain itu, Zahida yang mempunyai perniagaan membekal barangan keperluan makanan dan Umie Aida dalam bidang produksi dan hartanah akan berkongsi dengan peserta bengkel mengenai urusan dengan pihak berkaitan.

“Kami turut menampilkan Mohd Azmi Kassim atau Amie yang cukup berpengalaman dalam bidang perbankan. Apabila ada antara pengalaman artis ini diceritakan, Amie boleh menerangkan lebih lanjut terutama membabitkan pengurusan dana untuk memulakan perniagaan.

“Pada saya bengkel dianjurkan Izatt Artistic Team ini lebih terperinci kerana ia menyentuh semua sudut yang perlu diketahui peserta yang ingin menceburi bidang ini,” katanya.

Selain Izatt yang berpengalaman luas menata gaya dan imej artis, program berkenaan akan turut dijayakan temannya yang tidak asing lagi dalam bidang hiburan Nasha Naslimey Aziz atau Nasha.

“Nasha yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam tatarias akan berkongsi pelbagai panduan mengenai solekan bersama peserta,” katanya.

Pada bengkel itu, kata Izatt, Nasha akan menekankan kepada tiga aspek asas solekan iaitu mengubah wajah menerusi teknik solekan, solekan pengantin serta dandanan ke tempat kerja harian.

Katanya, mereka juga akan berkongsi pengalaman membina kemahiran dan keyakinan diri untuk memulakan perniagaan dari rumah.

“Secara tidak langsung, peserta akan dapat manfaat menerusi bengkel ini selain dapat membantu mereka menambah pendapatan dengan kemahiran yang dimiliki.

“Menariknya model dan pelakon Aleeza Kassim juga tampil memberikan panduan mengenai penampilan yang diperlukan bagi mereka yang mahu menyertai perniagaan kecantikan.

“Mereka yang mahu menyertai bidang ini harus tahu bagaimana hendak menjaga penampilan diri kerana ia amat penting.

“Jika kita berjaya menampilkan diri barulah pelanggan akan percaya dan perkara itu akan diterangkan Aleeza yang juga mempunyai agensi peragaan sendiri,” katanya.

Bengkel sehari diadakan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang itu turut diiktiraf Unit Latihan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Izatt Artistic Team turut merancang membawa bengkel diadakan ini ke seluruh tanah air seperti di Kuala Terengganu, Terengganu pada 6 Mac; Johor Bahru, Johor (14 Mac); Kuantan, Pahang (4 April); Sungai Petani, Kedah (19 Mac); Balik Pulau, Pulau Pinang (18 April); Ipoh, Perak (2 Mei) dan Air Keroh, Melaka pada 30 Mac.

Yuran penyertaan sebanyak RM350 dikenakan untuk bengkel yang menerima tajaan solekan daripada MaC dan Tri-aktiline.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 92838591 atau 0192161088 atau layari laman web http://www.akucantik.com.

Harian Metro

Advertisements

Kenali Astro: Shah Rukh Khan Di Mata Kita

31 Jan

Rap
KENALI Datuk Shah Rukh Khan dari kaca mata peminatnya di Malaysia. Program ini mendedahkan mengapa Shah Rukh menjadi objek obsesi di seluruh dunia.

Dengarkan pandangan pengarah filem Yasmin Ahmad, pelakon Sharifah Amani, peminat cilik Aresha dan Ashwita Ramesh Nair. Turut memberi pandangan adalah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ke udara pada hari Ahad, 1 Februari, 9.30 malam di Astro Awani, Saluran 501. Program ini terbahagi kepada tiga segmen iaitu Aura dan Obsesi, Peribadi dan Kerjaya serta Datuk Shah Rukh Khan.

Harian Metro

Genre Khabir

31 Jan

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap
SAMA ada filem ataupun drama, karya sutradara prolifik ini sudah diakui keberkesanannya dalam memancing minat khalayak. Sejak filem Cinta dan Sepi memasuki industri perfileman Malaysia, ramai yang mula membuka mata terhadap kredibilitinya.

Di samping itu, ramai juga yang memuji drama bersiri, Kekasihku Seru yang menghiasi slot Seram di TV3 tidak lama dulu. Dek kerana berani mencuba sesuatu yang baru, nama Khabir Bhatia mula meniti di bibir penonton.

Justeru, kerjaya sutradara ini semakin bertambah dan sekarang dalam proses menyiapkan drama bersiri Hartamas yang bakal ditayangkan menerusi saluran ntv7 bermula 8 Februari ini.

Jelas Khabir, selepas kejayaan Kekasihku Seru yang menceritakan mengenai saka dan cinta, sutradara ini sekali lagi mahu mengangkat kisah cinta. Begitupun, ia bukanlah cinta biasa sebaliknya diselangkan dengan elemen komedi.

“Meskipun soal cinta banyak dimainkan menerusi drama tempatan mahupun luar, apa yang penting adalah pengisiannya. Dalam Hartamas, ia mengisahkan mengenai seorang ibu dan ayah tunggal. Apa yang menariknya, kedua-dua anak perempuan mereka berada dalam satu kolej yang sama dan sering bermusuhan.

“Nak dijadikan cerita, ibu dan ayah kepada dua gadis ini akhirnya jatuh cinta dan berkahwin malah mereka yang bermusuhan terpaksa tinggal sebumbung. Dalam masa sama, pelbagai perkara yang menggelikan hati dipaparkan.

“Selepas memaparkan cerita seram, saya mahu mencuba genre romantik komedi pula. Rasanya, cerita yang mengetengahkan mengenai kehidupan masyarakat sederhana ini akan menjadi paparan menarik untuk tontonan.

“Penggambaran drama ini memakan masa hampir dua bulan yang menggandingkan Noorfaezah Elai, Rashidi Ishak dan Ida Nerina sebagai teraju utama. Saya yakin, mereka mampu menjiwai watak yang diberikan,” kata anak kelahiran Mumbai, India ini.

Terbaru, Khabir juga akan meneruskan drama bersiri Kekasihku Seru yang sudah ditamatkan siarannya. Jelas pengarah ini, kerana kejayaan drama berkenaan ia bakal disambung semula dalam bentuk filem.

“Jika tiada aral, penggambaran filem ini akan dilakukan secepat mungkin. Kerana penerimaan penonton kepada siri drama yang dipaparkan tidak lama lalu, ia menyuntik semangat kepada saya dan pihak pengurusan untuk membawa cerita ini ke layar perak.

“Begitupun, jangan samakan filem yang bakal ditayangkan ini dengan drama itu. Drama dan filem adalah dua genre berbeza. Apa yang boleh saya katakan, filem ini menampilkan banyak kelainan berbanding drama itu.

“Malah, penonton pasti lebih puas menonton filem ini apabila kesan khas yang digunakan nanti lebih menarik. Ia juga akan menjawab segala persoalan yang ditinggalkan drama berkenaan. Dalam masa masa, filem komedi saya berjudul setem juga akan ditayangkan di layar lebar tidak lama lagi,” jelas Khabir yang nyata teruja dengan penggambaran filem berkenaan.

Mengulas mengenai kerjaya seninya, sutradara ini mahu dikenali sebagai seorang pengarah versatil. Sebagai pengarah, dia tidak mahu kerjaya seninya tertumpu kepada satu genre sahaja.

“Saya sudah mencuba pelbagai genre cerita. Malah, dalam pelbagai genre berkenaan, saya lebih meminati filem bercorak seram. Bukan apa, filem begini agak sukar untuk dikendalikan berbanding genre lain.

“Sebagai pengarah, saya suka memaparkan pelbagai idea baru dan segar untuk dipertontonkan kepada umum. Jika saya mengarah sesebuah filem atau drama, saya akan memastikan ia dipenuhi dengan pengisian yang menarik,” jelas pengarah ini.

Harian Metro

Faezah Masih Fobia

31 Jan

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

PERCUBAAN pertama menerusi filem Otai lebih setahun lalu gagal menyerlahkan bakatnya. Dia bukan saja terpaksa menadah telinga dengan kritikan pedas pelbagai pihak bahkan kehadirannya dilihat sekadar penyendal di sisi pelakon berpengalaman, Saiful Apek dan Nasha Aziz.

Lebih menghiris hati dia yang memegang watak sebagai Mawar dilabelkan pemusnah filem hingga fobia beraksi lagi di layar perak. Hingga kini dia masih dihantui perasaan serik bahkan berulang kali menjelaskan belum bersedia memanjangkan karier sebagai pelakon filem apabila perkara ini dibangkitkan.

Hakikatnya, dalam diam banyak tawaran filem menyusul, antaranya Duyung dan Nana Tanjung namun semuanya ditolak atas alasan bimbang tidak mampu menjiwai watak dengan baik. Lagipun gadis kacukan Punjabi sebelah bapa dan Siam (ibu) ini merasakan belum masanya lagi dia bergelar pelakon filem dan biarlah bakatnya digilap menerusi drama terlebih dulu.

“Macam-macam cemuhan dilemparkan kepada saya apabila filem Otai ditayangkan. Seminggu saya tidak beli akhbar kerana tidak mahu tahu apa komen media terhadap persembahan saya. Kebetulan pula Otai ditayangkan ketika sambutan Aidilfitri dan saya pulang ke Pulau Pinang.

“Bila bertandang ke rumah saudara-mara, ramai yang bercerita mengenai kritikan itu tetapi saya pekakkan telinga. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Malu, kecewa dan sedih bercampur baur.

“Bukan tidak boleh menerima kritikan tetapi sebagai pendatang baru sudah tentu ia mimpi ngeri bagi saya. Gara-gara maklum balas negatif itu, saya ambil masa enam bulan untuk berlakon semula. Sepanjang tempoh itu saya fokuskan perhatian kepada mengacara program Gegar U,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Hartamas.

Meskipun hampa dan masih dibelenggu rasa was-was, anak jati Gelugor, Pulau Pinang ini memberanikan diri menjayakan drama Cinta dan Keadilan. Apabila mula yakin dengan jalan yang dipilih, dia kemudian membintangi siri Enigma, diikuti Puteri, Cempaka Berbunga dan Sutera Maya.

“Cempaka Berbunga mengubah persepsi saya terhadap kemampuan diri. Banyak perkara saya pelajari di lokasi antaranya bagaimana menghayati watak serta mengalirkan air mata. Saya berterima kasih kepada produksi ini kerana tidak lokek berkongsi tips dan ilmu. Alhamdulillah saya kini tidak lagi kekok mengalirkan air mata andai itu yang diminta skrip.

“Keyakinan itu dapat disaksikan dalam watak gadis tomboi bernama Maya Sofea menerusi drama Sutera Maya. Syukur ramai mula menerima bakat ini dan ia secara tidak langsung membuka jalan kepada saya bergerak lebih jauh dalam bidang ini.

“Bagaimanapun, seperti yang dijelaskan tadi, saya belum bersedia beraksi di layar perak. Kalau ikutkan tawaran memang banyak tetapi saya tidak mahu ambil risiko. Pengalaman lalu mengajar saya supaya lebih berhati-hati.

“Jika tidak mampu bawa watak yang ditawarkan jangan cari pasal. Insya-Allah, jika bertemu karektor sesuai, mungkin hati saya terbuka,” katanya yang percaya bagus atau tidak seseorang pelakon itu terletak di tangan pengarah.

Menyingkap perkembangan terbaru, Faezah kini menghabiskan sebahagian besar masanya di lokasi penggambaran drama komedi berjudul Hartamas arahan Kabir Bhatia.

Drama terbitan bersama Juita Viden dan Filmscape ini berlatarbelakangkan kawasan Hartamas di Lembah Klang yang sinonim dengan gaya hidup mewah.

Mengisahkan Johari, lakonan Rashidi Ishak berkenalan dengan ibu tunggal, Amelia (Ida Nerina). Johari tertarik dengan perwatakan dan rupa paras Amelia. Kebetulan, anak perempuan Johari bernama Juita (Diana Rusdi) menuntut di kolej yang sama dengan anak perempuan Amelia, Edrina (Faezah Elai).

Kedua-duanya memiliki perwatakan berbeza dan saling bermusuhan. Juita popular, cantik dan serba boleh manakala Edrina pula berjaya menarik perhatian senior dan profesor dengan kebijaksanaan dan keperibadiannya yang selamba.

Apabila Johari dan Amelia memutuskan untuk berkahwin, perasaan benci antara Juita dan Edrina makin menjadi-jadi. Siri bakal ke udara pada 8 Februari ini menerusi saluran ntv7

Demi menjayakan siri 26 episod berkenaan, bekas pramugari ini sanggup menolak beberapa tawaran drama dan filem kerana tidak mahu fokusnya terganggu. Bahkan sudah menjadi prinsipnya tidak melakukan banyak kerja dalam satu masa.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah selepas Sutera Maya. Habis saja drama Pemanduku Jutawan, arahan Aziz M Osman, saya terikat dengan penggambaran ini.

“Tawaran menjayakan drama ini datang ketika saya masih di lokasi Sutera Maya. Bagaimanapun ketika itu saya belum memberi sebarang jawapan kerana sibuk dengan penggambaran yang sedang berlangsung.

“Watak saya dalam Hartamas dan Sutera Maya tidak jauh berbeza kerana menuntut saya menjadi gadis berpewatakan kasar. Bagaimanapun, Sutera Maya lebih kepada tomboi manakala drama ini pula ‘minah rock’.

Antara faktor utama menarik perhatiannya terbabit dalam produksi ini adalah bekerja di bawah pengarah ternama selain beraksi di samping dua pelakon senior kegemarannya, Ida Nerina dan Rashidi Ishak.

“Sebagai orang baru, sudah tentu saya teruja beraksi di samping Ida dan Rashidi. Mereka sudah lama dalam industri dan pelakon yang hebat. Saya bertuah dapat berguru dengan mereka sepanjang penggambaran berlangsung.

“Pertama kali bertentang mata dengan Ida saya takut. Terfikir ketika itu adakah saya mampu memberikan persembahan terbaik. Syukur, Ida banyak menasihati dan mengingatkan saya apa yang perlu dilakukan. Sikapnya yang prihatin itu membuatkan saya semakin menghormatinya.

“Bekerja dengan Kabir juga sangat menyeronokkan. Dia pengarah yang sangat teliti dan kerana sikap berhati-hati itu dia mengambil masa yang agak panjang untuk menyiapkan sesebuah produksi. Drama ini misalnya, meskipun hanya 26 episod penggambarannya mengambil masa sehingga Mac ini.

“Saya tidak kisah berada di lokasi ini hampir tiga bulan kerana sedia maklum hasil kerja Kabir tidak mengecewakan. Lihat sajalah filem dan dramanya sebelum ini. Diharap drama kekeluargaan ini memenuhi citarasa ramai,” katanya yang gemarkan watak antagonis.

Meskipun sibuk di lokasi penggambaran, pelakon, model dan pengacara muda ini meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Andai tidak terikat dengan jadual seni, dia lebih senang menghabiskan masa di rumah bersama ibu bapa tercinta.

“Sebagai anak sulung, saya rapat dengan keluarga lebih-lebih lagi ayah dan ibu. Jika tidak berkurung di rumah, kami keluar membeli-belah dan jika jika bercuti panjang, biasanya kami pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang.

“Saya beruntung kerana keluarga sentiasa menyokong karier saya. Sejak beberapa bulan lalu, kerjaya seni saya diuruskan oleh adik saya, Suzzanna Elai. Kebetulan kontraknya dengan syarikat penerbangan sudah tamat, jadi tidak ada masalah untuknya menemani saya ke mana-mana saja.

“Lagipun Suzzanna berminat menceburi bidang lakonan, jadi ini boleh menjadi ‘platform’ terbaik untuknya memperkenalkan diri kepada mana-mana produksi. Ibu bapa kami tidak menghalang asalkan dia pandai jaga diri dan maruah keluarga,” katanya yang belum bersedia menamatkan zaman bujang.

>Profil

NAMA SEBENAR: Noor Faezah Elai

TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang

TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1982

STATUS: Bujang

ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik

PENDIDIKAN: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

HOBI: Mendengar muzik

KERJAYA: Pelakon, Pengacara dan model

FILEM: Otai

DRAMA: Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri,

Sutera Maya dan Hartamas

IKLAN: Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish, Celcom

HOS RANCANGAN: Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro) dan Hypermarket Saga (TV9)

PENCAPAIAN: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People majalah Female

Harian Metro

Borak Pak Nil: Era Baru Saya!

31 Jan

Rap
TIDAK pernah termimpi untuk Paknil jadi DJ atau dalam istilah sekarang Penyampai Radio. Semuanya berlaku secara tak sengaja. Alih-alih kini Paknil mengendalikan ruangan pagi di Era melalui slot Riuh Pagi Era bersama Din Beramboi.

Sebelum Paknil teruskan bercerita mengenai kerja yang baru diceburi ini, biar Paknil ceritakan sedikit betapa peranan radio banyak mempengaruhi kehidupan Paknil sejak dulu.

Zaman Paknil remaja dulu, radiolah teman setia kami. Nama seperti Zainal Abas, Tengku Mariam, Noramin, Nornikman, Zainal Din, Chuari Selamat, Angrahi Selamat, Noraini Ibnu, Wan Noraini, Pakcik Jamal dan ramai lagi menjadi idola kami.

Ketika itu, pelbagai program radio yang diterbitkan dalam sehari. Mereka tak main lagu saja seperti kini. Radio bertindak lebih hebat dari TV!

Kalau di awal pagi rancangan ‘Mutiara Iman’ memang menjadi permulaan hari yang baik. Di samping ayat-ayat suci al-Quran, terdapat juga mutiara kata dan tazkirah yang membimbing pendengar.

Kira-kira jam 10 pagi, rancangan kanak-kanak seperti ‘Taman Kanak-Kanak’ (bersama Pakcik Jamal) dan ‘Apa Itu’ (kelolaan Kak Yong dan Busu Noramin). Memang rancangan seperti inilah yang mengajar Paknil akan cara bercakap dengan kanak-kanak seperti yang anda saksikan dalam Tom Tom Bak.

Pakcik Jamal dan Kak Yong begitu bijak melentur suara sehingga menjadi mesra pendengar cilik. Pernah Paknil menghantarkan pendapat kepada rancangan ‘Apa Itu’ dan dibacakan oleh Kak Yong dan Busu Noramin! Satu hari suntuk Paknil tersenyum. Bangga sangat!

Jam 11 pagi setiap hari pasti Paknil akan terleka dengan drama radio ‘Nombor Lima Persiaran Satu’. Siapa yang membesar di zaman Paknil yang tak kenal dengan rancangan popular ini? Ia drama radio yang mengenai kehidupan satu keluarga Melayu. Walaupun ia hanya sebuah drama radio, tetapi kami pendengar merasakan seolah-olah keluarga itu benar-benar wujud!

Menjelang waktu makan tengah hari sehingga petang, Paknil turut terleka dengan drama radio yang hebat. Sama seperti telenovela di TV, tetapi hanya berbekalkan audio dan kesan bunyi, drama ini boleh membuat pendengarnya menangis, termasuk Paknil!

Adibah Amin dan Fauziah Nawi antara pelakon drama radio yang paling Paknil gemari. Lakonan yang mantap mereka, ramai yang terpaku di tepi corong radio.

Paknil teringin sangat nak terbitkan drama radio untuk dijadikan juadah telinga pendengar masa kini terutama generasi baru yang tidak mengenali drama seperti ini. Kita banyak bermain dengan imaginasi terutama daripada lakaran wajah dan situasi sebab ia tiada visual yang membantu. Di sinilah letaknya kehebatan drama radio.

‘Fajar Di Bumi Permata’ antara drama radio bersiri yang sangat popular. Ia berkisar kehidupan peneroka Felda. Tak silap, jika dikatakan ia lebih berupa medium propaganda kerajaan pada masa itu yang agak berkesan.

Berita radio jangan ceritalah. Hampir setiap awal jam akan kedengaran bunyi detik jam tanda berita radio yang hanya berdurasi selama lima minit. Ayah Paknil orang yang akan menguatkan bunyi suara radio pada ketika ini.

Pada waktu malam, remaja akan memberi tumpuan pula kepada Radio FM satu-satunya radio yang menggunakan gelombang FM dan memulakan siaran pada jam 9 malam selama tiga jam. ‘Pilihan Bersama’ adalah rancangan kesukaan ramai yang memainkan lagu permintaan pendengar secara pukal! Pendengar memilih lima hingga enam lagu secara berterusan tanpa gangguan DJ! Hebatkan?

Itulah radio pada zaman Paknil membesar. Paknil belajar berlakon, menyanyi dan bertutur dengan baik pun di situ. Lengkap pakej yang ditawarkan. Kini masa sudah meninggalkan era radio seperti itu. Radio kini hanya mempertaruhkan lagu dan penyampai untuk menarik minat pendengar.

Hilang sudah rancangan kanak-kanak, drama radio, berita radio dan rancangan untuk suri rumah tangga. Zaman dah berubah. Radio dijadikan sebagai teman ringan di rumah, pejabat dan di dalam kereta.

Sebenarnya Paknil ditawarkan menjadi penyampai Era sejak zaman Seelan Paul di Era lagi. Seelan menawarkan Paknil slot pagi di Era tapi pada masa itu Paknil tak yakin dan lebih menumpukan kepada pengacaraan TV.

Walaupun Paknil sebelum itu pernah menjadi DJ di radio swasta RFM (terima kasih KC Ismail kerana percaya pada Paknil) suatu ketika dahulu, tetapi cinta pada penyiaran radio belum berkembang sepenuhnya.

Masa itu, DJ boleh memutarkan lagu kegemaran sendiri kerana berbekalkan CD koleksi kami. Paknil kira ‘pakar’ jugalah menangani panel konti ketika itu sendirian.

Mulai 2006, Paknil berjinak-jinak dengan Carta Era bersama Nana. Walaupun ia rakaman tetapi Paknil bertindak sebagai penyampai. Cara penyampaiannya pun sudah berubah berbanding dahulu. Kini ia lebih bersahaja dan spontan. Bebas memecahkan keadaan dengan lawak spontan. Ada saja yang kami bualkan selama tiga jam!

Dari situ, Paknil ditawarkan lagi untuk menyertai Era lebih serius untuk bersama kru pagi apabila Khairil dan Kieran berpisah. Oleh kerana jadual kerja TV yang menuntut Paknil bekerja sehingga lewat malam, Paknil terpaksa tolak tawaran Era sekali lagi.

Paknil cuma bersedia untuk bersama Era bermula pukul 10 pagi saja. Di slot itulah Paknil banyak belajar mengenai radio. Walaupun kami tidak memutarkan lagu kerana semua lagu sudah diatur di dalam komputer, tetapi Paknil diberi peluang lebih daripada memutarkan lagu – mendekatkan diri dengan orang ramai.

Tanpa disangka, Paknil sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan pendengar Era. Bukan sekadar jadi penyampai tetapi sebagai teman mereka. Mereka dirasakan begitu dekat dengan Paknil. Ada yang hampir setiap hari menelefon dan menjadi pemanggil tetap. Ada yang berkongsi kesedihan, kegembiraan dan yang paling istimewa apabila ada yang berkongsi kasih sayang!

Itulah magisnya dunia penyiaran radio. Bila Paknil bercuti, perasaan rindu pada kerja dan pendengar Era membuak-buak sehingga tidak sabar untuk kembali bertugas. Begitu juga rupanya dengan pendengar setia yang ingin cepat Paknil kembali ke konti.

Lebih hebat, bila ada yang menghantarkan pelbagai hadiah dan makanan ke studio Era. Ada yang tidak lupa hari jadi Paknil. Ada yang hantar ‘jajan’ seperti coklat, keropok, gula-gula dan sebagainya. Ada pendengar Era dari Seremban yang datang sendiri ke Astro untuk memberikan kek dan kuih muih buatan mereka! Lebih dari itu, ada yang menghantar kuih talam, nasi kerabu, kek cawan dan selimut buatan sendiri!

Namun begitu, itu soal ‘material’ yang Paknil cukup hargai. Yang lebih utama mengatasi segalanya ialah apabila dapat berkongsi kasih sayang Paknil pada mereka. Ada ibu tua yang sering menelefon bertanya khabar dan berkongsi cerita sedih. Ada pesakit kanser yang merintih kesakitan dan hampir menemui ajal tetapi masih mahu mendengar suara ini. Kami bersama pendengar lain menangis dengan pemergiannya dan ini belum pernah Paknil lalui ketika beraksi di TV.

Apa lagi doa-doa yang mereka kirimkan demi kesihatan, keselamatan dan kebahagiaan Paknil. Paknil betul-betul rasa dihargai. Pelbagai suka duka yang Paknil abadikan dan semua ini di luar jangkaan sehingga menerbitkan rasa cinta yang teramat pada bidang ini.

Siapa sangka setelah menolak dua kali tawaran mengendalikan slot pagi di Era, kini Paknil beraksi bersama Din Beramboi meriuhkan pagi pendengar Era! Paknil tak boleh menolak lagi. Paknil dambakan cabaran dan khalayak yang lebih besar. Entahlah῅ masih terlalu awal untuk Paknil nilai prestasi kerja dan minat pendengar.

Namun kerja ini dah jadi rutin harian baru buat Paknil. Tidur seawal jam 9 malam dan bangun jam 4 pagi! Perkara yang belum pernah Paknil lakukan sebelum ini.

Pengorbanan ini bukan untuk sesiapa selain untuk kepuasan diri Paknil dan pendengar Era. Agak mencabar juga waktu di studio. Banyak harus ditangani dan masa empat jam (6 hingga 10 pagi) dirasakan begitu cepat berlalu.

Kami terus menggeletek pendengar kami sehingga pada suatu ketika Paknil dikejutkan dengan satu SMS menyayat hati. Kisah kemalangan ngeri meragut nyawa seorang ibu dan anaknya apabila kereta yang dipandunya berlanggar, meletup dan terbakar! Kisah ini diceritakan oleh pendengar Era yang kebetulan mengenali keluarga mangsa.

Kami tidak boleh ketawa lagi ketika itu. Rupanya dalam sibuk kami menceriakan pagi pendengar, ada insan yang menangisi pagi harinya. Nada kami jadi perlahan terutama apabila kami menghubungi Encik Kamarulzaman, suami dan ayah kepada mangsa.

Ketika itu kami tahu, berjuta pendengar terpaku mendengar cerita sedih ini. Bukan menangguk pada kesedihan, kami benar-benar terpanggil untuk menangis bersama dan menyuntik kata semangat kepada keluarga malang itu.

Ketika itu, Paknil dapat lihat dimensi baru lagi penyiaran radio bila talian telefon tidak henti berdering untuk menghulur kata semangat dan simpati. Besarnya pengaruh radio. Dalam sekelip mata, perhatian sudah diberikan.

Keluarga besar Era tidak berhenti di situ. Selesai bekerja kami terus murung tetapi tetap memikirkan apa yang boleh kami lakukan untuk keluarga ini. Mungkin sumbangan yang kecil tidak dapat mengembalikan sinar keluarga ini, tetapi kami berazam untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka selagi mampu.

Lembaran baru dalam diari hidup Paknil sudah bermula dan Paknil tidak akan menoleh ke belakang lagi. Paknil akan terus pegang tanggungjawab besar dalam masyarakat sebab baru kini Paknil sedar ada tugas berat yang menanti.

Kerja yang ada menyangka mengejar glamor dan nama. Kerja yang sering dikritik ramai dan dibandingkan. Rupanya itu bukan cabaran sebenar bidang ini. Ada yang lebih besar menanti rupanya! Itulah sebenarnya ERA baru dalam hidup Paknil. Wassalam.

Harian Metro

Kata XX: Pesona Pak Lawak

31 Jan

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

Diana Danielle

Lima jejaka kaya sense of humour pilihan pelakon, Diana Danielle

1. Johnny Depp.

Watak Captain Jack Sparrow yang dilakonkannya dalam filem Pirates of The Carribean paling berkesan. Depp tidak perlu bercakap banyak, bahasa badannya saja membuatkan kita ketawa. Sifat kelakar pelakon kacak ini memang unik!

2. Nabil Raja Lawak.

Sebelum berlakon bersama Nabil, saya memang penonton setia program Lu Pikirlah Sendiri. Jenaka spontan Nabil menggelikan hati sesiapa saja. Bagi saya, lawak Nabil boleh dikatakan bijak. Ketika menjalani sesi penggambaran filem komedi Kecoh Betul bersama Nabil, saya tak kering gusi melayan lawaknya sepanjang hari!

3. Saiful Apek.

Tengok muka saja boleh membuatkan kita tergelak! Apek sering menampilkan jenaka spontan dan berbeza. Tidak hairanlah jika beliau digelar pelawak nombor 1!

4. Vince Vaughn.

Vaughn tidak kacak tapi karakter lucunya mudah membuatkan orang tertarik. Saya suka lakonannya dalam filem Wedding Crasher dan The Breakup. Lawak Vaughn nampak macho!

5. Jackie Chan.

Aksi kung fu Chan boleh jadi kelakar apatah lagi jika beliau bertutur dalam bahasa Inggeris. Chan sering menampakkan dirinya seolah-olah bodoh tapi sebenarnya pandai. Gaya lakonan komedi Chan memberi warna dalam industri perfileman antarabangsa.

Berita Harian

Nubhan 'Jual Diri' Kepada Peminat

31 Jan

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

KALANGAN artis muda tidak kurang popularnya mengajak peminat hadir beramai-ramai ke karnival mengisi dana Tabung NSTP Untuk Gaza yang berlangsung bermula jam 10 pagi ini hingga 6 petang, bertempat di Bazz-r, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor.

Pelbagai perkara menarik bakal dilakukan artis ini pada majlis yang dikelolakan penganjur majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08), dalam usaha menarik perhatian pengunjung sekali gus membantu mengutip derma sebanyak mungkin.

Paling menarik apabila pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Ahmad Nubhan (Nubhan) Ahamad mahu ‘menjual’ dirinya kepada peminat bertuah.

Usah salah sangka dengan kenyataan berani Nubhan ini, sebaliknya penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu menegaskan yang dia tidak akan melakukan perkara yang melampaui batas.

Ketika dihubungi mengenai perancangannya itu, jelas Nubhan dia akan menjual masanya kepada pembida paling tinggi pada hari ini dan pembeli bertuah berpeluang menghabiskan masa bersamanya sejam.

“Saya memilih menghabiskan masa bersama penderma bertuah itu kerana berasakan ia lebih menarik daripada melelong barang milik peribadi.

“Selepas berjaya membeli, pembida itu sendiri boleh menentukan masa sesuai untuk mereka bertemu selama satu jam.

“Pembeli boleh menyuruh saya melakukan apa saja mengikut kehendak mereka sama ada keluar makan, mahu saya memasak untuknya, mengemas rumah atau bersiar-siar. Pendek kata saya milik mereka sepenuhnya dalam tempoh masa satu jam itu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nubhan, dia sedih kerana tidak akan berada di lokasi acara diadakan kerana terikat dengan persembahan yang sudah ditempah lebih awal di Kota Kinabalu, Sabah.

“Walaupun tidak dapat bersama dengan rakan lain, saya mengharapkan sokongan peminat untuk menjayakan majlis.

“Lelongan saya akan dilakukan penganjur ABPBH08 sambil disaksikan pihak pengurusan Artistes United Records and Management.

“Saya sendiri sebenarnya tidak sabar mahu melihat siapakah insan berhati murni yang mahu mendermakan wangnya bukan untuk saya semata-mata tetapi bagi membantu mangsa kekejaman Zionis di Gaza, Palestin,” katanya.

Sementara itu Mohd Aizat (Aizat) Amdan memilih untuk menjual gitar lama dan dua jaket miliknya sewaktu menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

Kata Aizat, kedua-dua jaket itu sudah tidak boleh dipakai memandangkan dia kini sudah kurus dan cukup besar untuknya.

“Saya rasakan selain gitar yang akan dijual dengan harga beberapa ratus ringgit saja, jaket AF akan menjadi tumpuan pengunjung terutama kepada peminat setia rancangan itu sejak musim pertama.

“Kepada peminat AF, mereka pasti ingat corak jaket terbabit terutama di belakangnya ada tertera AF dan rasanya lakaran terbabit ‘paling mahal’ membuatkan ramai orang mahu membidanya apabila dilelong nanti,” katanya.

Selain itu, kata Aizat bagi memberikan kesedaran kepada pengunjung, dia akan menjual lencana menunjukkan lambang tiada peperangan yang digayakan di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23), baru-baru ini.

Penyanyi Farawahida yang peringkat awal bercadang mahu menjual roti jala bersama kuah kari terpaksa membatalkan hasratnya apabila pihak penganjur memintanya membantu menjual kek yang ditaja 10 hotel terkemuka.

“Saya akan melakukan apa saja, asalkan peminat bersedia mendermakan wang mereka untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza. Pada saya bukan saja sebagai artis tetapi secara peribadi berasakan ini satu tanggungjawab perlu dilakukan bagi membantu mereka kurang bernasib baik,” katanya.

Harian Metro