BORAK LOKASI: Berlakon Bersama Haiwan

1 Jan

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
MUNGKIN ada segelintir pengarah dan produksi tempatan menempuh cabaran sukar untuk mengetengahkan lakonan membabitkan babak kanak-kanak atau haiwan.

Begitu juga bagi kru dan pengarah drama bersiri, Radio Gaga yang berdepan cabaran besar apabila memilih beberapa jenis haiwan dalam setiap babak utamanya.

Drama yang meneruskan kesinambungan daripada sambutan positif telefilem Radio Gaga yang disiarkan menerusi saluran RTM1 penghujung 2007 lalu, turut mengetengahkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Diana Rafar, Ezany Nazarif, Maria Farida dan Mahmud Ali Bashah.

Teraju utamanya, Diana sebagai Norlela berdepan kebolehan luar biasa apabila dapat membaca isi hati atau perasaan manusia dan binatang selepas memakai alat pembantu peribadi digital (PDA) khas. Selain kenalan dan keluarga, Norlela turut berpeluang berbicara dengan haiwan seperti kucing, ikan dan arnab. Cuma, bezanya Radio Gaga menggunakan alat pemain MP3 manakala PDA bagi drama bersiri.

Ketika kunjungan wartawan Rap dan jurugambar di lokasi penggambaran di rumah contoh Duta Suria, Taman Putra Sulaiman, Ampang, baru-baru ini, kru produksi berkenaan sedang menyiapkan beberapa babak penggambaran drama bersiri 13 episod itu.

Cabaran sukar dilalui kru produksi serta pengarahnya, Murali Abdullah apabila terpaksa merakamkan setiap gerak- geri kucing bernama Oskar. Kucing yang memiliki bulu putih tebal terpaksa dikawal dan dipegang rapi kru berkenaan.

Walaupun jinak tetapi kucing berkenaan tetap mempunyai ‘mood’ tersendiri ketika rakaman berlangsung. Malah kucing yang dipinjamkan untuk penggambaran berkenaan seperti sudah lali dan memahami tugasnya selepas beberapa hari penggambaran bersama pelakon dan kru produksi itu.

Kebanyakan mereka juga menganggap kehadiran haiwan dalam drama cukup menceriakan suasana di lokasi penggambaran.

Diana sendiri memaklumkan betapa sejarah keluarganya cukup fobia dengan kucing. Begitupun, selepas terbabit menjayakan telefilem dan seterusnya drama bersiri itu, fobia berkenaan semakin terhakis. Malah sejak membintangi drama itu, perasaan menyayangi haiwan semakin menebal dalam dirinya.

Begitu juga bagi Murali yang sebelum ini berdepan alahan kepada binatang terutama yang berbulu. Alahan itu membuatkannya bersin dan selesema. Begitupun, situasi itu juga berjaya diatasi.

Menurut Murali, dia masih mengekalkan konsep dan idea penulis skrip iaitu Nizam Zakaria serta Sofia J Rhyland. Malah lebih menarik apabila drama berkenaan memaparkan cerita berlainan dalam setiap episodnya.

“Tema yang dibawakan drama ini berkisar kepada kehidupan remaja masa kini serta ikatan persahabatan yang utuh berlatarbelakangkan dunia sains dan teknologi. Drama komedi ringan dan sesuai ditonton seisi keluarga padat dengan mesej pendidikan dan pengajaran.

“Ini pengalaman pertama saya merakamkan babak bersama kucing. Saya pula cukup alah dengan binatang berbulu seperti kucing. Namun, kerana kerja saya tetap berusaha mengatasinya. Ada yang berpendapat penggambaran membabitkan kanak-kanak lebih sukar daripada haiwan. Namun, bagi saya penggambaran membabitkan haiwan lebih sukar dan cukup mencabar,” katanya.

Murali menyifatkan drama berkenaan ternyata berbeza daripada penghasilan drama berat yang sebelum ini seperti Obsesi, Iktikad selain Suara Solehah terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd yang mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi anugerah drama serta pengarah terbaik pada Anugerah Skrin 2008, November lalu.

“Kekuatan drama ini mungkin kepada konsep atau jalan ceritanya yang santai malah sesuai ditonton kanak-kanak dan dewasa. Penceritaannya pula berkisar kepada kebolehan Norlela yang mampu membaca isi hati atau perasaan manusia dan binatang menerusi PDA.

“Berbanding drama serius, penghasilan drama berbentuk komedi ini agak sukar kerana membabitkan penelitian yang menyeluruh bergantung kepada situasi yang cuba ditampilkan dalam setiap babak lakonan,” katanya.

Drama yang dijangka membabitkan penggambaran selama 26 hari berlangsung di sekitar Lembah Klang seperti Pusat Sains Negara, makmal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan sekitar Ampang.

PROFIL

DRAMA: RADIO GAGA

TERBITAN: Zeel Production Sdn Bhd

PENERBIT EKSEKUTIF: Muhamad Norazhar Baharuddin

PENGARAH: Murali Abdullah

PENOLONG PENGARAH: Nazir Jamaluddin

PENGURUS PRODUKSI: Khairul Anuar Mat Noor

JURU KAMERA: Mohd Jufri Ayob

JURU BUNYI: Mohd Sany A Samah

PENATA CAHAYA: Mat Fazli Kamaruddin

PROP MASTER & HANDY: Iskandar Kamarudin

PEMBANTU PROP: Izma Shah Ismail

KESINAMBUNGAN: Lenny Merlina Md Yusof

PEMBANTU TEKNIKAL 1: Mohd Roslan Mohd Ghazali

PEMBANTU TEKNIKAL 2: Rozailan Zakaria

SOLEKAN & WARDROBE: Zulkifli Zali @ J-Lo

RUNNER: Shahrizal Abu Bakar

KATERING: Nora & Bahrin Catering Services

PELAKON: Diana Rafar (Norlela), Safa Mazlan (Safri), Mahmud Ali Bashah (Wahab), Ezany Nazarif (Fahim), Zachery (Dr Izwan), Maria Farida (Ramona), Linda Helmi (Dr Fatimah), Julie Dahlan (Madam Zazam), Murali Abdullah (Dr Andrews), Liya Iryani Banks (Elina), Halim (Mahmud), Asri Azizan (Yeop) dan Afzan Rahman (Mamat).

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: