Ombak Hidup Iwan

3 Jan

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

Biar sebesar manapun ombak mendatang, anak muda berjiwa kental ini tidak pernah goyah. Begitu metafora hidup Mohd Fairoz Azwan Ali…

PUKULAN ombak besar dan ganas yang menakutkan kebanyakan orang menjadi barang mainan. Lebih tinggi dan ganas pukulan ombak, lebih bersemangat mereka merintanginya.

Begitulah jiwa peluncur. Laut dan pesisiran pantai menjadi lokasi paling digemari kerana di sinilah mereka menguji kehebatan menyusur ombak dengan papan luncur masing-masing.

Biarpun ombak besar di perairan negara datangnya bermusim, ia tetap dinanti si peluncur yang rindukan saat berjemur di bawah terik mentari dan berpesta luncur bersama teman-teman.

Senario ini dapat disaksikan XY-Ikon Lelaki ketika diundang membuat liputan pertandingan luncur antarabangsa, International Surfing Competition-Billabong Pro Am 2008 di pantai Cherating, Pahang, baru-baru ini.

Program anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Pahang yang masuk kali ketiga ini mendapat sambutan. Ramai tidak mahu ketinggalan menyaksikan peluncur bermain ombak.

Hampir 100 peluncur tempatan dan luar negara mengambil bahagian dalam pertandingan tiga hari itu. Lima kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, wanita, junior (bawah 15 tahun), kategori man surfing (35 tahun ke atas) dan body boarding.

XY – Ikon Lelaki juga sempat berbicara dengan seorang peluncur tempatan yang bersaing dalam kategori terbuka lelaki, Mohd Fairoz Azwan Ali.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Iwan, berkongsi kisah hidup peluncur seperti dirinya. Pada pertandingan itu, Iwan mendapat tempat keempat dalam acara terbuka lelaki.

Anak muda berusia 27 tahun ini agak popular di kalangan penggemar aktiviti luncur. Ketika ditemubual, ada saja penyokong menyapa Iwan dan bertanya kedudukannya dalam kategori yang disertainya.

Iwan yang juga anak jati Cherating, menjalani hidup seperti anak muda lain. Dibesarkan dalam suasana pantai, hatinya begitu dekat ombak dan lautan. Kata Iwan, peluncur sepertinya sering bertumpu di pantai Chendor, tidak jauh dari Cherating untuk meluncur.

“Sejak kecil hingga sekarang, pantai menjadi tempat saya menghabiskan masa lapang bersama teman. Boleh dikatakan, pantai dan lautan sudah sebati dengan kehidupan ramai anak muda di sini,” katanya memulakan bicara.

Walaupun sudah 11 tahun berkecimpung dalam aktiviti luncur, kata Iwan, minatnya terhadap sukan luncur masih lagi menebal seperti mengenali papan luncur.

Malah, dalam diam, ada beberapa impian yang mahu dicapai Iwan dalam sukan ini. Ikuti bicara Iwan bersama XY – Ikon Lelaki…

Bagaimana anda diperkenalkan dengan sukan luncur?

Saya diperkenalkan dengan sukan luncur oleh seorang rakan kira-kira 10 tahun lalu. Rakan saya itu adalah antara anak tempatan terawal yang menceburi sukan ini.

Sebelum itu, saya lebih aktif bermain windsurfing. Tapi kos untuk aktiviti ini agak mahal, jadi saya beralih kepada sukan luncur. Kos untuk aktiviti luncur agak murah jika dibandingkan dengan windsurfing. Papan luncur terpakai boleh dibeli pada harga RM500 dan tahan lama.

Adakah sukan luncur sudah terkenal di Malaysia ketika itu?

Populariti sukan luncur ketika itu belum meluas jika dibandingkan dengan negara seperti California dan Hawaii di Amerika Syarikat (AS) mahupun Australia . Peralatan meluncur juga sukar diperoleh dan kami perlu menempah papan luncur dari luar negara yang rekaannya disesuaikan dengan ketinggian tubuh.

Sejak bila anda mula serius dalam aktiviti ini?

Pada mulanya, aktiviti ini hanya dijadikan hobi. Namun, sejak pertandingan luncur mula dianjurkan di peringkat tempatan, saya tertarik menyertainya lantas serius dalam sukan ini.

Pertandingan pertama yang saya sertai adalah pada 2003 dan ketika itu, saya meraih tempat ketiga untuk kategori tempatan. Boleh dikatakan, bila ada saja pertandingan luncur yang dianjurkan, saya akan ambil bahagian.

Sekerap mana anda bermain luncur?

Disebabkan kami hanya dapat meluncur pada musim tengkujuh, kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya. Dalam tempoh antara bulan November hingga Mac, bila saja ada kelapangan, saya akan pergi ke pantai untuk meluncur.

Saya akan turun meluncur lebih kerap bila ada pertandingan yang ingin disertai.

Apa yang menarik minat anda untuk menceburi sukan ini?

Aktiviti air seperti meluncur dapat menenangkan minda dan mengurangkan tekanan. Bagi saya sendiri, perasaan akan menjadi lebih gembira kalau dapat meluncur.

Selain itu, aktiviti ini membuka peluang berkenalan dengan ramai orang, tahu mengenai banyak perkara baru dan bertukar-tukar pengalaman.

Selain sukan luncur, apakah aktiviti lain yang sering anda lakukan?

Bila tidak dapat meluncur di pantai, kami akan bermain bola sepak. Kalau tidak pun kami akan bermain bola tampar atau sukan pantai yang lain. Maklumlah, budak pantai ini, kebanyakan aktiviti tidak dapat lari daripada pantai.

Sepanjang menjadi peluncur, apakah perkara paling menggembirakan anda?

Setiap kali saya memenangi pertandingan luncur. Saya juga paling gembira setiap kali membeli papan luncur baru.

Pernah menempuh pengalaman pahit yang mungkin tidak dapat dilupakan?

Pernah waktu mula-mula belajar meluncur, saya hampir lemas selepas dipukul gulungan ombak besar. Disebabkan panik, saya tidak dapat mengawal keseimbangan badan saya lalu tenggelam timbul serta tertelan air laut dengan banyaknya. Mujur saya selamat.

Adakah peristiwa itu membuatkan anda ingin berhenti dari kegiatan luncur kerana ia berisiko?

Mulanya saya risau tapi minat mengatasi kebimbangan saya. Justeru, saya jadikan perkara ini sebagai pengalaman untuk memperbaiki kemahiran meluncur.

Apa pula impian dan cita-cita anda dalam sukan luncur ini?

Selepas beberapa lama saya meluncur di Malaysia, timbul keinginan meluncur di tempat orang pula. Antara lokasi luncur yang saya ingin pergi adalah di Bali, Indonesia.

Berbeza dengan negara kita, aktiviti luncur di luar negara boleh dilakukan sepanjang tahun. Jadi, tidak hairanlah mereka begitu mahir meluncur dan aktiviti ini berkembang di luar negara. Ombak laut yang lebih mencabar menaikkan semangat saya untuk meluncur di luar negara dan mempelajari pelbagai teknik meluncur.

Bagaimana anda melihat perkembangan sukan luncur tempatan?

Semakin mendapat sambutan ramai dan makin banyak aktiviti membabitkan luncur dianjurkan. Saya berharap, aktiviti sukan luncur tempatan dipergiatkan setanding sukan lain di Malaysia.

Biodata: Nama : Mohd Fairoz Azwan Ali (Iwan) Usia : 27 tahun Tarikh lahir : 21 November 1981 Tinggi : 164 sentimeter (cm) Berat : 52 kilogram (kg)

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: