Mahu Bebas Kontroversi

7 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Rozita Che Wan

Rozita Che Wan terus tingkat prestasi kerja, tepis gosip akhiri zaman janda

BERLABUH sudah 2008, menyusuri kini 2009 yang bakal dilayari semua insan di muka bumi, termasuklah aktres dan ibu tunggal jelita, Rozita Che Wan yang berazam untuk terus bekerja kuat demi mencari rezeki untuk diri sendiri, anak dan keluarga.

Sambil berseloroh, Rozita berkata, dia mahu mengurangkan kontroversi yang tak tercapai dek akalnya dan terus meningkatkan prestasi. Harapannya semoga 2009 takkan ada lagi kontroversi yang singgah di dalam diari hidupnya.

Tahun 2008 adalah tahun kemuncak nama aktres kelahiran Alor Setar, Kedah meniti bibir peminat dan dalam pada itu, dia juga tidak lepas dihimpit kontroversi yang cukup menyesakkan nafas dan jiwanya.

Ibu kepada Ammar Effendy dan Aniq Ezzra ini pernah dikatakan kononnya menjalinkan hubungan dengan VIP dan aktor Zizan Nin. Kalau nak disebut nama singkatan Datuk yang timbul, pelbagai versi abjad yang timbul seperti A, K, R dan banyak lagi. Itu belum lagi dikatakan cuba merampas kebahagiaan orang, kononnya Rozita cuba merampas suami orang.

Kereta mewah, BMW 3 Series (M Sports) yang dipandunya kini juga mengundang persoalan apabila timbul khabar angin ia adalah pemberian seorang ahli perniagaan, yang juga suami kepada seorang penyanyi popular tanah air. Hakikatnya, ia dibeli dengan hasil titik peluh Rozita sepanjang bergelumang dalam dunia seni.

Menurut Rozita, ada akhbar tabloid yang sanggup ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk memeriksa nama pemilik kereta itu demi mencari kesahihan.

Terbaru pada keluaran Hip 31 Disember lalu menerusi ruangan Dengarnya Oleh Normah Becok melaporkan Rozita bakal menamatkan status ibu tunggalnya kerana dilihat sedang memilih kain di sebuah premis tekstil popular dan khabarnya premis itu bakal menaja perkahwinannya.

“Saya betul-betul terkejut membaca ruangan itu kerana apa yang diceritakan oleh sumber berkenaan memang tidak betul sama sekali. Saya ke premis Jakel di Jalan Tunku Abdul Rahman awal Disember lalu, atas undangan majikan mereka kerana saya antara artis yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana.

“Ketika berada di sana, saya diberi peluang untuk memilih kain yang berkenan di hati. Saya memilih kain lace, berwarna hijau kekuningan tapi bukan untuk dibuat baju kahwin sebaliknya saya pakai ke majlis pertunangan adik saya (Jaja) 12 Disember lalu.

“Kalau saya nak kahwin pun, saya nak kahwin dengan siapa, calon pun belum ada. Nanti gara-gara artikel Cik Normah, mungkin ada yang nak mengurat atau meminang saya, sudah tak berani pula nak dekati,” usik Rozita di awal bicaranya.

Menurut Rozita, boleh dikatakan 90 peratus kerjayanya berjalan lancar dan mendapat perhatian, sekali gus azam tahun lalu tercapai, namun sebagai selebriti, kontroversi yang datang tanpa diundang tidak mampu dijauhi. Sambil mempersoalkan kenapa dia sering difitnah, Rozita akur dengan jalan seni yang dipilihnya.

Kata pemilik tubuh montok ini, dia belum mempunyai agenda kahwin lagi pada tahun ini. Baginya, dia belum bersedia melaburkan masa untuk sebarang emosi dan berusaha memiliki cinta. Tahun ini, juga dua adiknya, Jaja (Rohaiza Che Wan) dan Shidi (Roshidi Che Wan) akan menamatkan zaman bujang mereka. Jaja dijangka berkahwin dengan pilihan hatinya pada Mac ini manakala Shidi pada Ogos.

“Nampaknya nanti hanya tinggal saya dan Ayu Raudah (adiknya) saja yang belum berkahwin. Saya tak tipu memang hingga saat ini, saya belum pernah terfikir untuk berkahwin buat kali kedua lagi biarpun orang di luar sana sering berteka-teki mengenai hari bahagia saya dan dengan siapa saya berdating. Jujur, saya lebih selesa hidup sendiri tanpa cinta.

“Mungkin ini masa terbaik untuk saya memberi tumpuan kepada kerjaya dan anak. Lagi baik, saya tak perlu berasa sakit hati, sentap atau makan hati, itupun andai saya sudah punyai kekasih. Saya tak berminat nak kenal dengan sesiapa dan kalau ada yang nak kenal, lupakan saja niat itu. Bukan saya tidak mahu berkasih, mungkin juga saya sudah tawar hati,” katanya serius yang memerlukan ruang untuk terus bernafas dan melebarkan legasi seninya.

Ditanya mengenai senario artis yang kebelakangan ini lebih gemar berselindung perihal kahwin, Rozita menjawabnya dengan secara umum. Katanya, mungkin ada sebab pasangan (artis) ini terpaksa merahsiakan perkahwinan mereka dan kita sebagai orang luar harus akur dengan keputusan mereka.

“Saya sendiri seboleh-bolehnya tak akan berahsia kalau nak kahwin nanti. Saya pun tidak tahu siapalah calon suami yang bakal bertamu di hati saya nanti. Kalau boleh saya nak canang satu dunia dan tunjuk siapa bakal suami saya nanti. Ketika itu, saya pasti bangga memperkenalkan lelaki yang saya cukup hargai.

“Kalau saya kahwin, Insya-Allah, pasti saya jemput. Tapi macam saya cakap, setahun dua ini agak mustahil untuk saya berbicara soal kahwin. Sebagai manusia biasa, kita hanya merancang, Tuhan saja menentukan. Mungkin juga ke depan nanti, siapa tahu saya juga terpaksa berdepan dengan situasi yang sama demi menjaga hati pihak tertentu.

“Hal ini bersifat subjektif dan sesuatu perkara itu pasti ada alasan serta sebab konkrit kenapa ia terjadi. Saya hanya mampu bercakap sekarang ini, bimbang juga kenyataan saya ini memakan diri kelak,” katanya yang kini sudah dilantik menjadi duta Avon Jewelleries.

Rozita Che Wan NAMA PENUH: Rozita Che Wan ASAL: Alor Star, Kedah UMUR: 35 tahun KELUARGA: Anak Ke-2 (daripada tujuh beradik) STATUS PERKAHWINAN: Ibu Tunggal ANAK: Ammar Effendy, 12, dan Aniq Ezzra, 10 PROFESION: Model, duta produk dan pelakon PENGALAMAN KERJAYA: Pramugari (Penerbangan Malaysia) PRODUK: Rorine, Egyption Potion dan L’oreal DRAMA BERSIRI/TELEMOVIE: Sesuci Cinta Sofia, Jelatang, Susuk 2, Ai Di Beijing, Bara Yang Ku Genggam, Diari Ramadan Raffique dan Ayyad FILEM: Misteri Balan Balan The Movie, Sepi, Dunia Baru The Movie, Kantoi, Jangan Tegur dan Sifu & Tonga DUTA: Avon Jewelleries, Egyption Portion dan jurucakap Garnier Age Lift.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: