TV3 Pasang Strategi Pukau Penonton

12 Jan

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

DARU JURU; Amrin, Shaziman dan Abdul Mutalib pada Majlis Pelancaran Logo Rasmi Ulang Tahun ke-25 TV3 di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Pihak pengurusan stesen televisyen popular mahu pastikan kandungan, format dan penampilan ikut perkembangan terkini

SETELAH suku abad beroperasi, stesen televisyen TV3 kini boleh berbangga dengan pencapaian cemerlang di dalam bidang penyiaran yang diceburi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin, matlamat mereka kini adalah memastikan kandungan, format dan penampilan harus seiring dengan perkembangan terkini.

Katanya, sebagai stesen televisyen nombor satu negara, pihaknya memasang strategi bagi menambahkan pelbagai program dan aktiviti sebagai meningkatkan saingan bersama stesen televisyen lain.

“Pencapaian cemerlang hingga suku abad ini amat bermakna bagi kami dan atas sebab itu sambutan ulang tahun jubli perak diadakan sebagai tanda kesyukuran stesen televisyen kami. Pelbagai rancangan sudah diatur tahun ini bagi meningkatkan saingan. Kami juga amat berbangga apabila melihat beberapa program kami diikuti stesen televisyen lain.

“Ini menjadikan kami lebih bersemangat untuk meneruskan pelbagai rancangan yang bukan saja berbentuk hiburan malah bual bicara yang bertujuan memberi maklumat kepada penonton setia kami,” katanya ketika ditemui pada majlis Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat Sambutan Jubli Perak TV3 di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini.


MAJLIS doa selamat turut diadakan.

Menurut Amrin, majlis yang turut menyaksikan pelancaran logo istimewa TV3 ke-25 dengan tema Inspirasi Hidupku yang dilancarkan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor itu akan digunakan sepanjang tahun ini.

“Tema ini sebenarnya adalah gambaran ilustrasi TV3 yang sentiasa berada di sisi masyarakat tanpa mengira suka dan duka sepanjang 25 tahun.

“Dengan pendekatan itu juga kami akan lebih menumpukan aktiviti luar bersama penonton. Antara program terbesar yang dirancang adalah Kembara TV3 yang menjadi kesinambungan kepada program Jom Heboh.

“Program jelajah Kembara TV3 ini akan ke pekan kecil dan akan melawat ke 25 destinasi sepanjang karnival Jom Heboh. Ini adalah usaha kami untuk mendekati penonton bersama artis dan personaliti kami,” katanya.


ANTARA artis yang hadir memberi sokongan.

Majlis Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat yang diadakan Khamis lalu dimulai dengan solat maghrib diikuti solat hajat untuk penduduk Gaza di Palestin, bacaan Yassin dan doa selamat.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak.

Antara artis yang hadir memberi sokongan adalah Hijjaz, Ifa Raziah, Azwan Ali, Lidyawati, Anita Baharom, Aziz M Osman, Ahmad Idham, Sharuddin Thamby, Fauziah Nawi, Rozie Rashid, Sabrina Ali dan personaliti TV3.

Pekerja beri komitmen tinggi

SEPANJANG 25 tahun beroperasi, perkembangan stesen televisyen itu turut dirasai pekerjanya yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan peningkatan demi peningkatan.

Bagi Sudarnee Shamsuddin, 48, sepanjang 25 tahun berkhidmat bersama TV3 pelbagai suka duka turut dirasai sehingga pernah menolak pelbagai tawaran syarikat lain.

“Saya mula berkhidmat sejak awal penubuhan TV3, bermula di Jalan Liku di Bangsar sehinggalah TV3 berpindah ke Bandar Utama pada tahun 1995.

“Semua perkembangan saya sudah rasai dari pada sebuah pejabat yang kecil dan mempunyai jumlah pekerja yang sedikit sehinggalah ke hari ini di mana pekerja pun sudah susah untuk dikenali.

“Dulu kami seperti sebuah keluarga kerana setiap pekerja mengenali antara satu sama yang lain. Disebabkan hubungan antara kami terlalu rapat membuatkan saya sangat sayang untuk meninggalkan tempat ini walaupun banyak tawaran syarikat lain,” katanya.

Sudarnee yang memulakan jawatan sebagai ketua jurutera di bahagian kejuruteraan TV3 ditugaskan untuk melatih pekerja untuk diserapkan ke semua bahagian.

“Saya adalah salah seorang yang bertanggungjawab memilih pekerja di sini. Bermula di Jalan Liku, Bangsar, pejabat TV3 terus berkembang ke Menara Tun Abdul Razak dan Wisma YPR dan akhirnya ke Bandar Utama.

“Apa yang membuatkan saya terus kekal di sini adalah banyak keistimewaan yang diberikan syarikat kepada pekerja terutama kebajikan pekerja dan rawatan perubatan untuk keluarga.

“Selain itu juga jarak pejabat dari rumah saya sangat dekat dan ia dapat menjimatkan masa saya untuk ke tempat kerja,” katanya yang kini selesa dengan jawatan terkininya sebagai Setiausaha Sulit kepada Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak.

Selain itu, Jebat M Roseli, 45 berkata, TV3 sudah menjadi seperti darah dagingnya sendiri kerana memulakan khidmatnya daripada tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam akademik.

“Saya bermula di sini tanpa mempunyai asas yang kukuh bukan saja dari akademik malah pengalaman dalam bidang penyiaran.

“Apa yang dapat saya lihat di sini adalah, TV3 sentiasa memberi peluang kepada setiap pekerja menonjolkan diri untuk meningkatkan mutu kerja. Memang saya tidak mempunyai asas apa-apa di dalam bidang ini dan peluang sentiasa diberi sehinggalah saya selesa dengan jawatan saya sebagai Eksekutif Jurukamera.

“TV3 juga dianggap seperti sekolah saya dan pekerja lain yang mengajar di dalam bidang penyiaran. Banyak pekerja-pekerja yang tidak mempunyai asas bermula di sini dan setelah mendapat pengalaman yang mendalam, mereka mengambil jalan untuk mencuba di stesen televisyen lain dan ada juga yang berani untuk menjalankan kerja sendiri melalui pengalaman yang dikutip di sini,” katanya yang turut pernah mendapat tawaran kerja daripada syarikat lain namun menolak dengan baik kerana terlalu selesa bersama TV3.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: