Pelajar UTAR Menang Besar

16 Jan

Oleh Nor Akma Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
MALAM Anugerah Festival Filem & Video Pelajar Malaysia (FFVPM) keenam yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini menyaksikan kemenangan besar penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) apabila dua karya mereka menang hadiah utama menerusi Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta.

Dua karya itu, The Last Exit diilhamkan Chin Fui Hian, 22, dan Witty Wings oleh Quek Shio Chuan, 22. The Last Exit dipertandingkan dalam kategori Filem/Video Pendek manakala Witty Wings dipertaruhkan dalam kategori Dokumentari.

Pada malam yang penuh kenangan itu, menerusi Anugerah Cipta, The Last Exit menang Sinematografi Terbaik, Suntingan Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik dan Produksi Terbaik. Witty Wings yang dipertandingkan dalam Anugerah Perdana menang Suntingan Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Johan Video Pendek.

Ketika ditemui pada akhir majlis penganugerahan itu, Shio Chuan berkata, idea untuk menerbitkan dokumentari Witty Wings muncul apabila dia melihat masyarakat semakin kurang berminat memelihara burung.

Menerusi Witty Wings, Shio Chuan membongkar kisah kehidupan burung secara mendalam dan turut merakamkan pertandingan Seni Suara Burung di Batu Pahat, Johor.

“Saya juga pergi ke Endau, Rompin, untuk melihat pelbagai spesis burung di sana. Merakamkan kehidupan mergastua itu adalah yang paling susah sekali. Ia terbang ke sana ke mari tanpa dapat kita mengawalnya. Selain saya, tugasan ini dibantu lima lagi rakan dan dapat disiapkan dalam masa seminggu.

“Jadi walaupun saya tidak menjangka akan menang besar pada anugerah ini tetapi kemenangan itu bagai mengubat kerumitan dan kesusahan membuat rakaman dokumentari itu. Kemenangan ini juga bermakna buat saya kerana julung kali menyertai festival ini,” katanya yang bercita-cita menjadi produser selepas tamat pengajian nanti.

The Last Exit pula mengenai keganasan rumah tangga. Jelas Fui Hian, dia mahu masyarakat menyedari keganasan rumah tangga menyebabkan keluarga berpecah-belah dan kesan itu paling dirasai anak.

“Separuh daripada penceritaan dalam video itu berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri. Saya juga tidak membuat penyelidikan kerana ia hanya cerita pendek dan kisah penderaan rumah tangga pun banyak disiarkan dalam akhbar.

” Oleh itu saya gabungkan pengalaman sendiri, pembacaan menerusi akhbar dan memerhatikan setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.

FFVPM disertai pusat pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), UPM, Universiti Teknologi Mara, Melaka, Universiti Lim Kok Wing, Universiti Malaysia Sabah, Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Kolej Yayasan Melaka dan Universiti Malaya.

Suasana malam penganugerah itu diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim, Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Maaruf, Pengarah Eksekutif Astro Shaw, Tengku Datuk Anuar Mussaddad dan Presiden Filem Malaysia, Ahmad Fuad Onah.

Antara artis popular dijemput menyampaikan hadiah dan trofi, Hans Isaac, Elly Suriati, Ahmad Idham Nazri, Liyana Jasmay, Shaharudin Thamby, Kencana Devi, Vanidah Imran, Pierre Andre, Siti Shahrizah (Eja), Ahmad Ibrahim (Mat London), Datuk Aziz Satar dan personaliti TV3, Zainal Ariffin.

Malam festival anjuran bersama UPM dan Finas itu dihiburkan dengan persembahan Datuk Ahmad Jais, Amylea AF dan artis UPM.

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: