Rezeki Kate Winslet

17 Jan

Susunan Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kate Winslet dan suami tersayang.

Heroin Titanic akui suami banyak bantu aktres terbaik Golden Globes

PERMULAAN 2009 yang cukup membanggakan buat Kate Winslet, 33, untuk terus meluncurkan kerjaya seninya apabila tarikh keramat 12 Januari lalu memberikan kejayaan berganda buat aktres kelahiran England ini apabila dinobatkan sebagai Aktres Terbaik (menerusi filem Revolutionary Road) dan Aktres Pembantu Terbaik (filem The Reader) dalam Anugerah Golden Globes ke-66.

Kemenangan hebat dan cukup mengesankan untuk kategori Aktres Terbaik apabila Winslet memadamkan impian pelakon hebat Hollywood seperti Meryl Streep, Anne Hathaway dan Angelina Jolie.

Malahan kebanyakan akhbar di Britain menganggap kemenangan Kate dalam anugerah yang setaraf dengan Academy sebagai pencapaian paling membanggakan untuk negaranya kerana kategori Aktres Terbaik ini selalunya dikuasai aktres dari Amerika. Lihat sajalah pada senarai pencalonan bagi kategori ini, semuanya dari negara Uncle Sam.

Hakikatnya selepas sekian lama memperhambakan diri di dalam bidang seni, tuahnya kali ini di dalam Golden Globe memberi lembaran baru yang boleh dibanggakan.

“Perasaan untuk menang dalam anugerah ini memang sentiasa ada. Itu saya tidak nafikan sama sekali.

“Kadang-kadang saya berasakan datang ke majlis ini bukan sekadar untuk tunjuk muka semata-mata, kemudian tengok orang lain naik ke pentas ambil trofi kemenangan.

“Lalu saya terfikir, kenapa tidak pada satu hari nanti saya pula yang naik ke pentas diumumkan sebagai pemenang dan mengambil trofi,’ katanya ketika dipetik dari portal hiburan mlive.com.

Bukan tidak pernah dicalonkan dalam acara anugerah berprestij itu, bahkan sudah lima kali namanya menjadi calon pemenang kategori ini menerusi filem Sense And Sensibility ( 1995), Titanic (1997), Iris (2001), Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004) dan Little Children (2006).

Mula hangat menempa nama dan menjadi fenomena menerusi filem penuh tragik, Titanic arahan James Cameron dengan gandingan hero, Leonardo Dicaprio, mereka sekali lagi dipertemukan menerusi filem Revolutionary Road arahan suaminya sendiri, Sam Mendes.

Winslet mula memacu kerjayanya sebagi pelakon TV sejak tahun 1991 dan mula berlakon filem pada tahun 1994 berjudul Heavenly Creatures memegang watak Juliet Hulme. Peluang berlakon di bawah arahan suami sendiri bagaikan mimpi indah yang menjadi kenyataan yang cukup berbaloi.

“Saya memang sudah lama memendam perasaan untuk memegang peranan wanita yang rumit bernama April Wheeler seperti di dalam filem Revolutionary Road dan tidak sangka suami saya sendiri mampu menjayakan impian saya itu. Jika ada peluang lagi untuk berlakon di bawah arahannya, saya sedia menanti dengan tangan terbuka.

“Terima kasih kepada ‘sayang’ kerana mengarahkan filem ini dan terima kasih juga kerana ‘membunuh’ kami setiap hari dan kami sangat seronok dapat berlakon di dalam filem yang mengerikan ini,” katanya sambil merujuk ‘sayang’ tu kepada suaminya, Sam Mendes.

Mengintai kehidupan peribadi, Mendes adalah suami kedua yang dikahwininya sejak 2003 hingga sekarang dan dikurniakan seorang anak lelaki, Joe Alfie Winslet Mendes pada 22 Disember 2003 di kota New York.

Suami pertamanya adalah seorang pengarah, Jim Threapleton dan dikurniakan seorang anak perempuan, Mia Honey. Selepas bercerai pada 2001, Winslet mula menjalinkan hubungan dengan suaminya kini, Mendes dan mereka sepakat berkahwin pada 24 Mei 2003 di sebuah pulau, Anguilla di Caribbean.

Sebelum melalui fasa bahagia ini, Winslet pernah menjalinkan cinta dengan pelakon dan penulis, Stephen Tredre sewaktu di set penggambaran drama Dark Season.

Ketika itu, mereka sepakat berpindah ke London. Selepas selesai penggambaran filem Titanic, Tredre disahkan meninggal dunia kerana sakit kanser tulang. Kerana menghadiri majlis pengebumian mendiang Tredre di London, Winslet tidak berada di Tayangan Perdana Titanic yang sepatutnya dihadirinya.

Selepas berduka dengan kisah kematian Tredre, Winslet memulakan hubungan barunya dengan Rufus Sewell.

Selain berlakon, Winslet turut berbakat sebagai penyanyi dan pernah memenangi anugerah Grammy pada 2000 menerusi kategori ‘Best Spoken Word Album For Children’ untuk album Listen To The Storyteller. Winslet pernah menyanyikan lagu single seperti What If daripada album runut bunyi, Christmas Carol: The Movie. Winslet juga pernah menyanyikan lagu Sono Andati untuk filem lakonannya Heavenly Creatures.

PROFIL: Nama penuh: Kate Elizabeth Winslet

Nama komersial: Kate Winslet

Tarikh lahir: 5 Oktober 1975

Umur: 33 tahun

Tempat lahir: Reading, Berkshire, England

Berkahwin kali pertama dengan Jim Threapleton dan kemudiannya selepas bercerai, berkahwin kali kedua dengan Sam Mendes

Anak: Mia Honey (perkahwinan pertama) dan Joe Alfie Winslet Mendes (perkahwinan kedua).

INFO: Untuk kategori Aktres Pembantu Terbaik Golden Globe ke-66, Winslet membenamkan impian pelakon Penelope Cruz, Amy Adams dan Marisa Tomei.

Drama sulung lakonannya ialah Dark Season di stesen BBC.

Berat badannya pernah naik mendadak, namun sejak kebelakangan ini Winslet sudah tampil kurus lagi bergaya. Winslet sendiri pernah berkata yang dia tidak mahu membiarkan ‘karma’ Hollywood yang sering menjadikan selebriti wanita yang cantik dan kurus sebagai keutamaan, mengawal berat badannya sendiri.

Majalah QQ (Gentleman Quarterly) edisi Britain 2003 pernah menampilkan Winslet sebagai penghias muka depan, namun perubahan ketara dilakukan pihak majalah itu demi menampakkan sisi kurus dirinya berbanding berat badan asalnya yang agak berisi. Bagaimanapun, Winslet memberitahu perubahan itu dilakukan bukan atas kehendaknya sendiri, sebaliknya atas inisiatif majalah itu. Akhirnya, pihak majalah itu memohon maaf berhubung isu itu.

Pernah ditawarkan watak utama di dalam filem Moulin Rouge yang mana akhirnya Nicole Kidman berjaya memegang peranan itu.

Ibu bapanya, Sally Ann dan Roger John Winslet, juga pelakon.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: