Kisah Cinta Pura-Pura Dalam Wedding Game

23 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

THE WEDDING GAME menyatukan pasangan Christopher Lee dan Fann Wong.

Filem komedi romantik menampilkan sindiran perkahwinan sesama artis untuk mengekalkan populariti

APAKAH anda percaya artis kesukaan anda berpura-pura bercinta dengan artis lain hanya untuk mendapat publisiti?

Mungkin agak pelik bunyinya, tetapi usah terkejut andainya kes sedemikian pernah berlaku, bukan hanya di negara ini, malah dalam dunia seni antarabangsa.

Kononnya, dengan disokong kisah cinta menarik antara dua artis yang sama popular dan sama menarik, ia dapat membantu menaikkan lagi nama mereka. Paling tidak, mungkin itulah percaturan oleh pihak pengurusannya.

Sebahagian artis pula didakwa menggunakan artis lain sebagai pasangan kekasih ataupun isteri bagi mengekalkan imej bersih, atau bagi menidakkan segala tohmahan terhadapnya.

Kelihatan seperti jauh daripada kebenaran, bagaimanapun ia tidak mustahil berlaku dalam dunia yang penuh dengan permainan serta lakonan ini. Demi gemerlapan yang berpanjangan, ramai yang sanggup berpura-pura.


BABAK kelakar membabitkan Saiful Apek dan Christopher Lee.

Begitulah juga dengan filem The Wedding Game arahan Ekachai Uekrongtham, yang bakal menemui penonton mulai 25 Januari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina. Antara lain, filem ini mengangkat tema cinta pura-pura di kalangan selebriti yang sengaja direka bagi menaikkan nama mereka.

Filem terbabit membariskan artis terkenal Singapura, Fann Wong dan pasangannya, Christopher Lee. Tidak ketinggalan membintangi filem komedi romantik ini ialah beberapa pelakon Malaysia seperti Daniel Tan, Lai Ming serta pelawak popular negara kita, Saiful Apek. Manakala Syanie pula muncul dalam beberapa adegan, sebagai isteri Apek.

Filem itu diterbitkan secara kerjasama oleh beberapa syarikat termasuk MediaCorp Raintree Pictures, Scorpio East Pictures, Speedy Productions (Singapura) dan syarikat pengedaran terkemuka Malaysia, Double Vision.

Di sini, filem berkenaan diedarkan RAM Entertainment.

Double Vision begitu berharap, gelak ketawa penonton yang pernah menyaksikan filem mereka sebelum ini, Ah Long Pte Ltd, dapat diteruskan dengan kehadiran filem terbabit. Apatah lagi ia muncul gandingan pertama antara pasangan kekasih, Fann dan Christopher, di filem setelah beraksi bersama dalam siri kesukaan ramai kira-kira sedekad yang lalu menerusi Return of the Condor Heroes.

Ditayangkan secara harian mulai 25 Januari, namun begitu peminat sudah pun dapat menonton filem berkenaan menerusi tayangan awal pada 23 dan 24 Januari.

Penonton juga dapat menonton proses pembikinan filem berkenaan menerusi program di sebalik tabir yang disiarkan menerusi Astro AEC dan 8TV pada 23 dan 27 Januari. Pada jam 10.30 pagi, 23 Januari pula, peminat dapat berbual dengan pelakonnya menerusi radio MyFM.

Pengarah dan pelakon filem terbabit turut terbabit dalam beberapa siri promosi The Wedding Game di ibu kota bermula 22 Januari. Di samping menghadiri majlis tayangan gala pada 22 Januari yang berlangsung di GSC Pavilion, Fann, Christopher, pelakon Hong Kong, Alice Lau serta pelakon Taiwan, Charles Chen juga menemui wakil media pada sidang akhbar filem berkenaan pada sebelah siang.

The Wedding Game bermula dengan lamaran Jack (Christopher) terhadap Vikki (Fann) pada sebuah acara anugerah yang disiarkan secara langsung.

Vikki menerima lamaran berkenaan dan kisah cinta mereka menjadi perhatian peminat setelah mendapat liputan meluas. Apa yang peminat tidak ketahui, kisah cinta itu hanyalah rekaan dan dirancang secara teliti oleh pengurus mereka, May dan Tom. Kononnya, kisah cinta mereka mampu membantu perjalanan karier masing-masing.

Pada hakikatnya, kedua-dua saling tidak menyukai sejak awal perkenalan. Begitupun mereka meneruskan lakonan terbabit. Jack dan Vikki juga tidak kerugian apa-apa kerana sudah pun menandatangani kontrak pra-perkahwinan bagi melindungi diri dan aset. Meskipun begitu, satu kejadian menyebabkan peminat mula meragui kasih sayang antara dua selebriti ini.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: