Demam Obama Landa Dunia

27 Jan

Ramai taruh harapan presiden Amerika yang baru bawa era bebas krisis

PARIS: Demam Obama melanda seluruh dunia menjelang upacara beliau mengangkat sumpah jawatan Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 semalam.

Ramai berharap pentadbiran Encik Obama akan membawa dunia ke satu era baru bebas daripada krisis.

Namun, segelintir pemimpin dunia menyuarakan keraguan sama ada Encik Obama dapat membawa perubahan yang diharapkan.

Semalam, gambar Encik Obama terpampang di muka depan akhbar dan kaca televisyen di seluruh dunia.

‘Saya tidak pernah menyaksikan masyarakat dunia begitu ghairah dengan pemilihan seorang presiden Amerika (seperti saat ini),’ kata Cik Madeleine Albright, mantan setiausaha negara Amerika dalam pentadbiran presiden Bill Clinton, kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Di Sepanyol, akhbar El Pais menyiarkan gambar Encik Obama dan isterinya, Cik Michelle, dengan tajuk berita ‘Impian Amerika Menerajui Kuasa’.

Perdana Menteri Sepanyol, Encik Jose Luis Zapatero, berkata ‘kesan Obama’ boleh memendekkan kemelesetan sejagat.

‘Pada pendapat saya, krisis ekonomi mungkin lebih singkat daripada yang dijangka jika pentadbiran baru Barack Obama dapat menjana keyakinan,’ tegas Encik Zapatero.

Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, berharap beliau dapat bekerjasama dengan Encik Obama.

Perdana Menteri Britain, Encik Gordon Brown, berkata Timur Tengah harus menjadi keutamaan dasar luar Encik Obama.

Russia pula berharap Encik Obama akan bertolak ansur mengenai rancangan Amerika membangun sistem penangkis peluru berpandu di Eropah Tengah dan isu keanggotaan Georgia dan Ukraine dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Namun, Perdana Menteri Russia, Encik Vladimir Putin, semasa melawat Berlin Sabtu lalu berkata:

‘Saya yakin kekecewaan besar selalunya lahir daripada jangkaan yang keterlaluan.’

Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat yang dibuat oleh BBC ke atas penduduk 17 negara mendapati dua pertiga responden yakin Encik Obama boleh memperbaiki hubungan antara Amerika Syarikat dengan negara lain di seluruh dunia.

Secara purata, 67 peratus responden berpendapat Encik Obama dapat mengukuhkan hubungan Amerika di seberang laut.

Tinjauan juga mendapati responden mahu Encik Obama memberi keutamaan terhadap krisis kewangan sejagat, disusuli pengunduran tentera Amerika dari Iraq, menangani masalah perubahan iklim dan memastikan proses damai di Timur Tengah berjalan lancar.

Tinjauan mendapati rakyat Ghana paling positif mengenai Encik Obama, dengan sokongan sebanyak 87 peratus, Italy (79 peratus), Jerman dan Sepanyol (masing-masing 78 peratus) dan Perancis (76 peratus), diikuti oleh Mexico dan Nigeria (masing-masing 74 peratus).

Semalam penduduk di seluruh dunia mengikuti siaran langsung menerusi televisyen upacara Encik Obama mengangkat sumpah jawatan presiden baru Amerika.

Di bandar Obama, Jepun, penduduknya mengadakan sambutan di luar sebuah kuil Buddha dengan tema ‘Obama for Obama’ dengan menampilkan tarian hula berasal dari Hawaii, pulau kelahiran Encik Obama.

Datuk bandar Obama, Encik Koji Matsuzaki, berkata: ‘Kami sudah lama menunggu saat paling gembira ini.’

Di Indonesia, tempat Encik Obama menghabiskan empat tahun zaman kanak-kanaknya, pelajar bekas sekolahnya mengadakan sambutan dan nyanyian di pusat bandar Jakarta selain menonton ucapan Encik Obama menerusi televisyen.

Di Hongkong, Muzium Madame Tussauds di Victoria Peak pula mempamerkan buat pertama kali patung lilin Encik Obama, sekali gus menambah koleksi selebriti dunia termasuk Jackie Chan, bekas pemimpin China, Encik Mao Zedong dan Encik Jiang Zemin, selain angkasawan pertama China, Encik Yang Liwei. — AP, AFP.

Cyberita

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: