Teruja Jadi Hantu

28 Jan

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

MEWARISI bakat ibu, penyanyi kecil molek, Raja Putri Atilia Raja Haron atau Atilia, 34, turut menceburi bidang nyanyian sebagai kerjaya pilihan. Pengalaman sejak kecil ketika mengikut ibunya, Salamiah Hassan mengadakan persembahan pentas memberi pendedahan padanya untuk berjinak sebagai penyanyi.

Sungguhpun ramai penyanyi baru muncul mewarnai persada muzik tanah air, ia sebaliknya tidak menggugat minat Atilia untuk terus menyanyi. Dari aspek persembahan, Atilia sebenarnya mempunyai kelompok peminat tersendiri yang menyokong kerjayanya.

Namun, sejak dua tahun berkecimpung dengan bidang lakonan menerusi pementasan teater P Ramlee The Musical di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dia mula menyedari minat berlakon makin bertambah.

Tahun lalu, Atilia diberi kesempatan penerbit, Adlin Aman Ramlie untuk membintangi drama Sumpahan Orang Minyak Naik Minyak yang diterbitkan sebagai penghargaan pada sumbangan seni Tan Sri P Ramlee pada persada hiburan tanah air.

Atilia berkata, dia makin mencintai bidang lakonan selepas menimba pengalaman di pentas teater dan drama sebelum ini. Walaupun pengalamannya masih dianggap setahun jagung, dia tidak berputus asa untuk menggilap bakat dalam diri. Selain menyanyi, dia mahu mengembangkan bakat lakonan seiring.

“Terus terang saya katakan, sejak berlakon sebagai Junaidah menerusi teater P Ramlee The Musical, saya makin suka berlakon. Bagi saya, lakonan memberi kepuasan berbeza berbanding nyanyian.

“Sejak itu, saya menantikan tawaran berlakon yang difikirkan sesuai dengan diri saya. Hingga ditawarkan membintangi drama Sumpahan Orang Minyak Naik Minyak yang ditayangkan pada Aidilfitri tahun lalu, saya melakonkan watak pembantu sebagai kekasih pada Jerry Sulaiman, lakonan Que Haidar.

“Walaupun watak itu kecil tetapi saya suka dengan karakter dalam drama itu. Saya setuju untuk berlakon drama itu kerana saya berpendapat skripnya menarik. Sebenarnya tidak sukar untuk saya menghayati karakter itu yang memerlukan saya menjadi wanita gedik.

“Adlin bersama pengarah, Afdlin Shauki banyak membantu saya dari aspek lakonan dan respons yang saya terima daripada peminat turut menyukai lakonan saya. Mereka memberi galakan pada saya untuk terus berlakon. Malah, jika ada lagi tawaran untuk karakter sebegini, saya berminat untuk berlakon,” katanya.

Terbaru, Atilia dilamar membintangi dua filem baru iaitu Bisikan Puaka dan Ransan. Menariknya, dua filem ini menyaksikan dia melakonkan karakter yang sama iaitu menjadi hantu. Filem Bisikan Puaka akan mula menjalani penggambaran pada April ini manakala Ransan sebulan selepas itu.

“Saya baru terima tawaran berlakon filem Bisikan Puaka dua minggu lalu. Untuk filem ini, saya melakonkan watak pembantu iaitu Sasha di samping pelakon utama, Aaron Aziz dan Julia Ziegler. Sasha bekerja sebagai pembantu peribadi seorang lelaki berpangkat Datuk. Namun, suatu hari dia mati dibunuh secara misteri. Sejak kematiannya itu, dia menjelma menjadi hantu yang mahu membalas dendam atas kematiannya.

“Dalam filem Ransan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin pula, saya diberi peluang membawakan watak utama iaitu Iris yang menjadi kekasih seorang lelaki dilakonkan Aaron. Namun, watak ini bukan realiti kerana dia juga adalah jelmaan.

“Beza antara dua watak ini, saya berpeluang melakonkan watak hantu baik dan jahat. Pada saya, ia memberikan cabaran dalam menghayati karakter lebih mendalam.

“Ketika ini, perasaan saya turut diselubungi takut untuk melakonkan dua watak ini. Saya percaya watak ini memerlukan saya menampilkan banyak ekspresi pada muka dan perlu menyesuaikan diri apabila disolek tebal dengan wajah yang menakutkan.

“Sebagai persediaan, hingga kini saya menonton lebih 20 filem hantu dari Hollywood dan Indonesia. Pastinya, saya teruja dan bersemangat untuk melakonkan dua watak ini. Saya mahu membuktikan saya boleh lakukan dengan baik,” katanya.

Sungguhpun Atilia sibuk dengan lakonan menjelang April nanti, dia tidak melupakan tanggungjawab menyanyi. Kini, dia dalam proses menyiapkan album kedua yang dijangka berada di pasaran pada Jun depan. Menariknya, untuk album kali ini, dia berduet bersama ibunya menerusi lagu popular Gelombang yang pernah dirakam pada 1972.

“Lagu Gelombang antara lagu kegemaran saya ketika masih kecil. Saya sering mendengar ibu menyanyikan lagu ini dulu tetapi tidak sangka kini saya berpeluang duet bersamanya. Pada saya, peluang merakamkan lagu ini membuatkan impian saya tercapai.

“Dalam mempelbagai lagu, saya turut berduet bersama penyanyi Indonesia, Maliq D’ Essential menerusi lagu Harus Bagaimana. Album ini yang diberi judul Leka menggunakan khidmat Roslan Aziz sebagai perunding. Saya percaya dengan pengalaman Roslan yang pernah menerbitkan album pertama saya dulu dapat membantu kualiti album saya kali ini.

“Roslan antara komposer yang saya kagumi. Dia mempunyai idea menarik dan saya tidak tahu sama ada saya mampu hasilkan album sendiri sehebatnya. Dalam album ini, saya juga mengembangkan bakat menulis lirik lagu. Antara 10 lagu yang dimuatkan dalam album ini, enam lagu tulisan lirik saya sendiri.

“Selain Roslan, album ini juga menggunakan khidmat beberapa komposer berpengalaman seperti Moharis Yaakup, Jason Voo, Paul Morisson dan Mike Bloemental. Saya berharap album ini dapat dijual apabila berada di pasaran kelak.

“Meskipun penjualan album tempatan kini masih belum stabil tetapi saya tidak putus asa untuk menghasilkan album baru. Sebenarnya, punca pendapatan seseorang penyanyi tidak hanya bergantung pada jualan album tetapi peluang membuat persembahan.

“Buat masa ini, saya gembira dan bersyukur kerana masih mendapat banyak tawaran khususnya persembahan untuk majlis korporat. Walaupun jumlah tawaran persembahan ini berkurangan, hingga kini mencatatkan empat hingga lima persembahan dalam sebulan tetapi ia masih ada dan saya tidak menolak rezeki yang datang,” katanya.

Atilia juga menyatakan dia bersama ibunya mendapat tawaran untuk terbabit dengan sebuah program realiti TV. Katanya, dia tidak dibenarkan menghebahkan maklumat lanjut program itu tetapi menyatakan dia bersama ibunya akan bergandingan sebagai pengkritik tetap.

>Profil

NAMA SEBENAR: Raja Putri Atilia Raja Haron.

NAMA KOMERSIAL: Atilia.

TARIKH LAHIR: 15 September 1974

ASAL: Muar, Johor

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Ariff Johan Abdul Jalil

KERJAYA: Penyanyi dan pelakon

ALBUM: Album Kompilasi RAP & Sangkar

FILEM: Bisikan Puaka dan Ransan

DRAMA: Sumpahan Orang Minyak

TEATER: P Ramlee The Musical 1 dan 2

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: